Sementara menunggu waktu berbuka, jom saya kongsi lagi kenangan berpuasa. Nak cerita mana satu ye, hmm...ok!! Peringkat menengah, saya belajar di sebuah sekolah perempuan. Agak terkenal juga di Kuala Lumpur ini. Biasalah jika bukan sekolah campur, pergaulan di antara teman-teman tiada batasan. Kaum sejenislah katakan. Jadinya tiada apa nak disegankan sesama sendiri.
Sewaktu sekolah rendah, sekiranya ada yang tidak berpuasa status harus disorok tetapi tidak perlu di sekolah menengah. Sewaktu di tingkatan 2, boleh dikatakan zaman nakal kami semua. Saat itu, berada di sekolah adalah waktu bebas dari kongkongan keluarga. Berkawan, bergurau, segalanya dilalui dengan suasana menyeronokkan. Waktu itu, saya bersekolah sessi petang.
Sebahagian dari teman-teman tidak berpuasa. Dek kerana terpengaruh, dari jumlah yang sedikit menjadi satu jumlah agak besar. Ada yang berpuasa tetapi berbuka kerana ikutkan kawan. Saya nak kata baik tu taklah juga, masih kebal berpuasa cumanya agak nakal bila menjadi dalang kepada mereka yang tidak berpuasa. Tanpa segan bantu rakan-rakan membeli air, malah siap jadi mata-mata buat mereka. Sekiranya pengawas datang cepat-cepat beritahu mereka yang sedang curi-curi minum.
Nak tergelak pun ada bila mengenang. Macamana agaknya saya boleh jadi Pak Turut, cumanya saya jenis yang tidak memilih kawan. Baik ke jahat ke seseorang itu, jika dia boleh berkawan dengan saya, tiada masalah. Adat berkawan, mesti tolong menolong, mungkin kerana itu saya membantu mereka. Entah macamana, mungkin telah lama diperhatikan barangkali, aktiviti tidak berpuasa dapat dihidu oleh guru sekolah terutamanya Ustazah. Saya yang berpuasa turut diheret sama.
Dah buat salah, pasti menerima hukuman. Apa lagi, Ustazah telah membawa kami semua ke kawasan perhimpunan, jika tak silap dalam jam 4 petang macam tu dan kami semua diarah melutut beramai-ramai di kawasan tersebut. Jangan tak tahu, lantai kawasan perhimpunan tersebut merupakan jalan raya berbatu-batu kecil ya. Masakan tidak, situlah tempat perhimpunan, situ juga tempat letak kereta para guru.
Dengan panahan matahari atas kepala, melutut di atas lantai berbatu di tambah pula dengan keadaan diri berpuasa. Ha, rasakan!! Memang riuh kawasan tersebut kerana yang di denda bukan setakat 2-3 orang tetapi berbelas orang. Cuma agak parah sayalah, kerana saya memakai seragam sekolah pinafore atau skirt paras lutut. Boleh bayangkan tak betapa sakitnya lutut saya waktu itu? Rakan-rakan lain memakai baju kurung, kuranglah sedikit perit di lutut.
Hampir sejam juga kami dijemur sebagai pengajaran kerana mengambil enteng ibadah berpuasa. Tapi biasalah, hari ini kena denda, esok lusa belum tentu serik lagi. Budak sekolah mana tahu erti sesal. Selagi membara semangat untuk mencuba sesuatu, ikut sahaja rentak hati.
Bila mengenang memori tersebut, ada sedu di hati. Telah jauh saya tinggalkan hari itu, namun segala masih terpahat di ingatan. Betapa kita semua berdoa andai masa lampau dapat diulang kembali, pasti lebih banyak kenangan indah berjaya kita coret.
Okay, Selamat Berbuka buat anda semua. Jika punya kesempatan rebut ganjaran Sunat Tarawih buat malam ke-17. Moga kita semua berada di dalam rahmatNya..
nota: Kenangan Demi Kenangan....
No comments :
Post a Comment