Meluap-luap keinginan mahu menarikan jari di atas papan kekunci meski tiada sebarang butir bicara. Melihat sekilas pada gambar-gambar yang belum dikongsi, perasaan kosong meraja di hati.
Tenang dan dingin malam menambah rasa berat yang telah lama bersarang di dalam diri. Betapa cemburu diri ini melihat segalanya penuh ketenangan tetapi tidak diri ini.
Andai punya kekuatan untuk diluah satu persatu, barangkali diri menjadi sebegitu ringan hingga mampu diterbang tiupan angin damai. Mengapa begitu sayu malam ini?
Berbisik kuat kepada hati ini semua anugerah Allah, jangan pernah meratap setiap apa diberikan. Berbanggalah kerana Allah beri dugaan sebagai tanda sayang Maha Pencipta buat hambaNya.
Sorot minda pada kenangan lalu betapa gahnya diri berhadapan apa jua cabaran, mengapa pula hari ini lelah menghambat secara berterusan?
Kenangan kekal menjadi sesuatu yang terindah, usah rosak momen dengan deraian airmata. Yang berlalu biarkan terus pergi kerana hidup hari ini buat keesokkan hari dan bukannya demi semalam.
Mungkin benar terjahan dugaan semakin kuat tetapi ianya juga bukan alasan buat diri berundur ke belakang. Apa sahaja yang tinggal di belakang? Hanyalah secebis memori.
Kuatlah diri demi esok, demi masa depan, demi hari penentuan. Andai tiada kekuatan untuk terus berlari, berjalanlah, tak bisa berjalan merangkaklah. Selewat mana pasti tiba jua ke destinasi ditentukan!
Gelombang - Salamiah Hassan Sumber: YouTube
nota: ;(
No comments :
Post a Comment