Followers

Wednesday, December 1, 2010

::Apa yang Dirasa::

Wajah muram di luar jendela menyimpan sejuta rasa.  Air yang bakal menyembah bumi mungkin membawa kisah duka juga sebuah rahmat dari Yang Maha Esa.  Dentuman irama langit berselang-seli menyampaikan lagu alam.  Amarah atau sebarang petanda tiada siapa yang mengerti, yang pasti terjentik juga seram sejuk di tangkai hati.  Sukar untuk dimengerti ragam alam semesta walau ruang untuk menyelami rasanya setiasa luas terbuka.  Rahsia alam milik Sang Pencipta.

Manusia juga tidak kurang hebat ragamnya.  Semakin di duga semakin tidak mengenali siapakah dia.  Benarlah kata bidalan, rambut sahaja sama hitam tetapi tersimpan rapi di dalam tiada siapa yang mengetahui.  Menuntut untuk difahami tetapi adakah dia memahami dirinya?  Kesempurnaan yang dicari, adakah diri begitu sempurna?  Meminta langkah tari sentiasa sama, sedarkah yang diri sendiri tempang?  Benar, keinginan menguasai segalanya tetapi tidakkah boleh diseimbangkan supaya tidak timbul kejanggalan.  Apa pun jua alasan yang diberi, janganlah lupa bahawa setiap apa yang direncanakan mahupun dilakukan harus berserta keizinan dari Maha Pencipta.  Mungkin segala kenikmatan dan kebahagiaan yang dikecapi hari ini adalah ujian terbesar yang diturunkan untuk menguji tahap kealpaan manusia itu sendiri.

Penuh beremosi di dada tatkala meniti ke penghujung hari.   Hujan lebat juga seolah berkongsi rasa.  Entah mengapa terasa lelah dengan gelagat manusia berjuta warna hingga sukar menembak ketepatannya.  Saya juga tidak sempurna, mungkin saya juga tergolong di antara mereka-mereka yang melelahkan ini kerana saya tidak pernah mengadili diri saya sendiri dan meletakkan di tempat seolah-olah bagus.  Kelemahan-kelemahan yang ada masih cuba diperbaiki tetapi bukan untuk menjadi sempurna tetapi ingin menjadi manusia biasa yang mampu membuat pertimbangan rasional dalam menempuh hari-hari mendatang.  Yang pasti saya tidak akan pernah melupakan mereka-mereka yang sudi berkongsi tangis disaat saya berduka lara.  Bagi mereka yang berkongsi tawa, terima kasih kerana sentiasa menceriakan.  Moga senyum tawa di antara kita dihulur bersulam ikhlas.
nota:  Andai bisa difahami.....

 

No comments :

Post a Comment