Followers

Wednesday, December 1, 2010

::Malu pun Ada::

Hampir sebulan Festival Filem Malaysia (FFM23) telah berlangsung.  Kita pun telah mengetahui siapa pemenangnya.  Walau ibarat "Rumah Siap Pahat Berbunyi" gaya keputusannya tetapi yang menang tetap menjulang piala dan yang tewas masih ada masa menunjukkan bakat seni mereka.  Biasalah, mana ada keputusan di dalam dunia ini boleh memenuhi citarasa manusia yang keinginannya pelbagai rasa.  

Bukanlah keputusan FFM23 yang saya ingin celotehkan.  Siapalah saya pula yang bakal memandai-mandai mempertikai keputusan mereka yang arif.  Saban tahun saya setia menonton anjuran FFM sementelah pendedahan mengenai FFM ini telah saya terima seawal usia kanak-kanak.  Ini kerana sewaktu zaman kegemilangan GP di dalam dunia hiburan (bekas wartawan), beliau sentiasa mengikut festival ini malahan pernah juga menjadi antara barisan panel juri.  Apa yang menarik perhatian saya setiap kali berlangsungnya sebarang anugerah ataupun festival yang melibatkan penggiat seni tanahair adalah fesyen yang mereka peragakan.  Waktu inilah pereka fesyen berlumba-lumba mempamerkan hasil ilham mereka bagi tujuan promosi.

Cuma sewaktu FFM23 yang lepas saya amatlah tertarik dengan penampilan fesyen Janet Khoo dan Kavitha Sidhu.  Benar-benar menarik perhatian saya.  Mungkin pakaian yang disarungkan ke tubuh mereka nampak ringkas ataupun tiada sebarang nilai estetika yang bisa menarik perhatian orang ramai, ianya tetap tampak istimewa di mata saya.  Ini kerana apa yang mereka pertontonkan amatlah sopan dan tidak terdedah langsung walhal kedua-dua artis tersebut bukanlah artis Melayu.  Jika bukan berbangsa Melayu sudah semestinya mereka juga tidak beragama Islam.  Semenjak terpandang akan Janet Khoo  dan Kavitha Sidhu sewaktu menyampaikan anugerah pada malam anugerah tersebut, hampir setiap hari saya mencari jika ada gambar-gambar mereka dirakam oleh lensa kamera yang bergemerlapan pada malam itu.  Tetapi sayang, selama seminggu mencari, saya gagal menemui gambar mereka.  Adakah kerana mereka tidak memaparkan bahagian-bahagian yang terbuka, makanya mereka tidak menarik sebarang cahaya lensa?

Akhirnya, selepas menggodek laman web Murai barulah terjumpa gambar mereka berdua.  Kebetulan pula digandingkan sebelah menyebelah.  Pada saat melihat kedua artis ini, terdetik di hati saya "tidak malukah agaknya artis-artis Melayu yang sibuk menayang segala aset yang mereka miliki?"  Sedangkan artis bukan Melayu beria-ia menutup liuk tubuh mereka.  Bukan itu sahaja, mereka seolah cuba mengangkat pakaian tradisional kaum Melayu sedang artis-artis Melayu berlumba-lumba ingin tampil elegant  bagi menggambarkan mereka ini berfikiran terbuka.  Benar bukan semuanya yang sibuk menayangkan kepada umum perincian kulit mereka tetapi hakikat yang harus kita terima, sememangnya ramai antara mereka yang lebih selesa tampil seksi tanpa memikirkan tatasusila dan juga agama yang didukungi.

Tetapi siapalah saya.  Seorang yang juga tidak sempurna di mata Allah dan sering kali khilaf dalam segala hal.  Saya hanya menyuarakan rasa terkilan tatkala melihat bangsa asing lebih bangga memilih busana yang menjadi hak milik kita.  Harapnya golongan artis kita sentiasa menyokong busana tinggalan nenek moyong kita supaya tidak di telan zaman kerana artis antara golongan yang bisa meluaskan pengaruh mereka terutama di kalangan golongan muda.  Apa pun saya bangga dengan Kavitha Sidhu dan Janet Khoo dan sememangnya saya sentiasa meminati lakonan mereka yang berada di dalam liga yang tersendiri.
Sopankan pakaian mereka?  Terserlah kejelitaan mereka tanpa perlu berlebih-lebihan.  Gambar adalah di ambil dari laman web Murai






nota:  kalaulah saya juga boleh menyarung antara busana tersebut, alangkah gembiranya hati.  Terutama yang dipakai oleh Janet Khoo 

No comments :

Post a Comment