Keesokkan harinya kami semua bangun seawal 6.30 pagi. Tidur yang lena membantu kesegaran kami sepanjang hari kerana banyak aktiviti yang telah disusun. Walaupun bangun awal tetapi kami keluar dari sangkar lebih kurang jam 9.00 pagi. Aktiviti kami pada hari tersebut bakal disertai oleh seorang lagi kawan mereka, Abang Pejai sekeluarga. Dia yang telah berada di Langkawi sejak hari Rabu lagi sibuk bertanyakan ketibaan kami. Dari 9 orang, kumpulan kami menjadi bertambah besar dengan penyertaan Abang Pejai dan keluarga.
Jika semalam, Husin yang memandu tetapi kali ini Abang pula mengambil giliran dan saya diarah menjadi pembaca peta. Memang benar kami berdua pernah menjejakkan kaki ke Langkawi tetapi ianya lebih enam tahun yang lalu. Pasti banyak perubahan telah berlaku di Langkawi. Sebagai jalan selamat, kami menggunakan khidmat peta. Banyak yang telah berubah dan sistem trafik di Langkawi juga semakin baik. Entah kenapa kali ini saya agak kekok menggunakan peta yang ada. Perancangan destinasi pertama adalah ke Gunung Mat Chincang untuk menaiki kereta kabel tetapi kerana kelemahan saya membaca peta dan juga perut masing-masing minta diisi kami telah berhenti di Padang Mat Sirat bagi tujuan bersarapan. Terlanjur berada di Padang Mat Sirat kami terus sahaja bersinggahan di kawasan Beras Terbakar.
Sedikit info mengenai Beras Terbakar, kawasan tersebut merupakan tempat di mana penduduk Langkawi diarah menyorokkan padi dan membakarnya bagi mengelakkan pihak Siam merampas bekalan makanan yang ada di mana pada ketika itu Langkawi dilihat akan kalah dalam peperangan tersebut. Dahulu seingat saya kita boleh mencari beras terbakar tersebut tetapi kini kawasan tersebut telah berpagar dan menjadi kawasan hak persendirian. Sebelum sampai ke kawasan tersebut, akan melalui pasar yang menjual pelbagai cenderamata dan pakaian untuk semua golongan. Di Langkawi sudah pasti Minyak Gamat dan Kain Batik yang bakal mencuri tumpuan para pengunjung. Hampir setiap gerai menjual minyak gamat dan kain batik. Setelah puas bergambar di Beras Terbakar kami mula mengatur langkah ke destinasi seterusnya tetapi mereka sempat singgah mencuci mata dan membeli sedikit barangan di gerai-gerai tersebut. Antara gambar-gambar yang bakal saya kongsi:
Inilah rumah di mana mereka mengatakan Tuan Rumah tersebut adalah pemilik kawasan Beras Terbakar. Pasti pemilikan melalui warisan nenek moyang
Tapak kawasan Beras Terbakar yang telah dipagar. Mungkin tidak mahu lagi orang ramai sibuk mencari beras terbakar tersebut.
Bergambar beramai-ramai di hadapan pintu masuk tapak Beras Terbakar
Sang Jejaka mengambil kesempatan bergambar bersama. Turut serta Abang Pejai dan bapanya. Di dalam kotak kaca itulah antara beras terbakar yang dijumpai diletakkan bagi tatapan umum
Mencuci mata sambil membeli belah secara ringan bagi mereka semua tetapi tidak bagi saya dan Abang kerana kami telah puas memborong pada kali pertama kami ke sana, tahun 2004
Sementara menantikan mereka semua selesai membeli barangan, kami bergedik di padang letak kereta. Banyak sebenarnya gambar kami tetapi cukuplah dengan sekeping ini :)
Dari Padang Mat Sirat kami mengatur perjalanan ke Gunung Mat Chincang dengan melalui kawasan Harbour Park. Harbour Park adalah tempat berlabuhnya kapal-kapal layar dari perairan antarabangsa. Sayang tiada gambar untuk dikongsi bersama kerana kawasan tersebut amat menarik penglihatan seolah berada di luar negara. Dahulu berhampiran Harbour Park ada binaan istana penggambaran Anna and The King. Jika ingin mengetahui bagaimana binaan tersebut, silalah menonton kembali filem Anna and The King yang membuat penggambaran di Malaysia di mana Istana Raja Siam itulah binaan di atas tapak tersebut. Sayang ianya telah dimusnahkan bagi mendirikan hotel bertaraf tinggi. Hairan juga kerana bukankah ianya satu tarikan pelancong tetapi dimusnahkan. Kami bersiar-siar menggunakan kenderaan di kawasan tersebut dan menyusun perjalanan ke destinasi seterusnya seperti yang dirancang.
nota: Mengantuk pula, makanya dengan ini akan bersambung lagi....
No comments :
Post a Comment