Followers

Wednesday, December 8, 2010

::Ngangkung vs Narnia::

Berkesempatan menonton dua buah filem pada Ahad lepas.  Ngankung dan Chronicles of Narnia -Voyage Of The Dawn Trader.  Kedua-dua mempunyai genre yang berbeza.  Kenapa memilih Ngangkung?  Kerana meminati lakonan Shaheizy Sam yang saya rasakan boleh menggalas apa sahaja watak yang diberi.  Kenapa memilih Narnia?  Kerana telah mengikuti cerita tersebut dari bahagian pertama dan jalan cerita yang mempuyai tarikan tersendiri.  Antara kedua-dua tersebut Narnia adalah cerita yang saya tidak sabar untuk menantikan kemunculannya di pawagam.

Mula-mula kita berbicara mengenai Ngangkung dahulu kerana kami menonton cerita tersebut dahulu dan baru ke sebuah lagi cerita.  Ngangkung berkisarkan bagaimana ketaksuban si pemain nombor ekor sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kemenangan.  Apa yang ada di dalam filem tersebut lebih kurang apa yang pernah kita dengari turun temurun apa yang si kaki judi ini lakukan untuk mendapatkan nombor tersebut dan ianya adalah amalan syirik dan kurafat.  Seperti biasa setiap apa yang dibuat melanggar hukum syarak pasti mendapat balasan, begitu jugalah mereka-mereka semua.  Setiap dari mereka akhirnya menerima akibat dek kerana ketaksuban mereka pergi ngangkung dan kesudahannya sudah pastilah keinsafan yang mereka peroleh.  

Filem komedi seram ini biasa-biasa sahaja bagi saya.  Menonton buat pertama kali bisa menggeletek hati tetapi tidak untuk kali kedua.  Cumanya watak Shaheizy Sam agak tidak natural dan nampak ianya dibuat-buat walaupun yakin ianya adalah tuntutan dari Sang Pengarah.  Filem ini berjaya di dalam genre tersebut tetapi untuk membanggakannya dan untuk filem ini memangku tema "Filem Kita Wajah Kita" tidak berapa menyerlah.  Jika ianya dihasilkan sebagai sebuah telemovie juga tidak mengapa.  Daripada 5 bintang, saya memberinya 3.  


Gambar di ambil melalui enjin pencarian Google

Filem kedua antara yang saya nantikan sejak berakhirnya bahagian kedua.  Bila sahaja mengetahui yang Narnia akan memasuki panggung pada tahun ini hati melonjak riang.  Tidak sabar menantikan apakah yang bakal terjadi seterusnya.  Kepada sesiapa yang tidak pernah mengikuti filem ini dari awal amatlah disarankan menonton filem-filem terdahulu, jika tidak sememangnya agak sukar untuk memahami jalan cerita pada kali ini.  

Buat pertama kalinya saya menonton wayang secara 3D.  Meletakkan harapan tinggi serta berharap saya akan menyukainya tetapi bertukar menjadi keadaan yang kurang menyenangkan.  Rimas sebenarnya apabila terpaksa memakai cermin mata 3D tersebut.  Di tambah pula dengan saiznya yang tidak padan langsung dengan diri saya.  Bila tidak menyarungkan kaca mata tersebut, tidak cantik pula gambar yang ditayangkan.  Masalah lain pula dari segi sarikata.  Penayangan melalui kaedah 3D ini tidak menyediakan sarikata buat para penonton.  Masalah ini timbul kerana filem Narnia menggunakan dialek Bahasa Inggeris yang pekat (British style).  Pasti agak sukar untuk memahaminya kerana agak asing di pendengaran telinga walaupun sebenarnya semakin lama menonton pemahaman semakin baik.

Apa yang pasti musim pertama dan kedua lebih hebat dari yang ketiga ini.  Mungkin kerana empat beradik Pevensie tidak kelihatan, yang ada hanya Lucy dan Edmund dan ditambah dengan watak baru, Eustace.  Pengembaraan mereka kali ini lebih mencabar di mana Prince Caspian berusaha mencari tujuh orang pemimpin yang dihapuskan oleh Lord Miraz dan berhasrat menyatukan mereka kembali demi Narnia.  Sepanjang perjalanan mereka di uji dan berdepan dengan pelbagai halangan bagi menghapuskan kuasa jahat yang hanya boleh tamat penguasaannya melalui gabungan tujuh bilah pedang yang dimiliki oleh ketujuh-tujuh Lord tersebut.


Cuma bagi saya siri kali ini nampak seperti lebih kepada pengembaraan kanak-kanak.  Tiada sebarang cabaran yang dianggap sangat mencabar.  Watak Lucy dan Edmund juga tidak berkembang dan agak statik sama seperti siri sebelum.  Tiada sebarang keistimewaan terhadap watak mereka walaupun mereka berdua sudah dewasa.  Saya mengharapkan sesuatu yang WOW dengan mungkin dua beradik Pevensie ini lebih memiliki kuasa-kuasa magis.  Malahan pada kali ini, Lucy langsung tidak menggunakan air hikmahnya.  Aslan juga muncul pada penghujung cerita dan sejak dari mula kita sudah dapat mengagak keseluruhan perjalanan filem tersebut.  Jika siri-siri sebelum ini, pada penamat cerita saya merasa sedih apabila mereka terpaksa meninggalkan dunia Narnia tetapi tidak terjadi pada penamat kali ini.  Sekiranya cerita ini bakal bersambung, pengarah filem harus meletakkan suatu formula yang lebih UMPH untuk menarik penonton seperti saya kekal hingga ke akhir siri.

 Poster ini diambil melalui Google Image


Apa pun, janganlah menjadikan ulasan saya ini untuk tidak menonton kedua-dua filem tersebut.  Ulasan ini hanyalah pendapat peribadi.  Lain orang lain pandangannya.  Tetapi saya yakin pengikut setia filem Narnia pasti tidak akan teragak-agak ke panggung wayang untuk menonton filemnya dan bagi filem Ngangkung, apa salahnya kita menyokong produk tempatan.  Sekurangnya mampu jugalah bersaing dengan produk luar di panggung wayang.  Hujung minggu hampir menjengah, jadi apa kata rakan-rakan menerjah panggung wayang berhampiran.





nota:  Tidak sabar menantikan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, arahan Mamat Khalid.

No comments :

Post a Comment