Bila bercinta, berkasih sayang dunia serasa milik berdua. Hari-hari yang dilalui terasa cukup indah, perasaan berbunga di dada dan sudah semestinya harapan hanyalah satu, memeterainya dengan sebuah perkahwinan. Tidak sesuai rasanya bagi saya untuk bercerita hal ehwal perkahwinan semetelah diri sendiri belum terikat dengan komitmen tersebut.
Cuma sering terfikir mengapa ikatan cinta yang dibina bersulamkan restu begitu mudah terlerai? Mengapa pelbagai cerita kurang enak mula didengari sebaik sahaja sah menjadi teman sehidup semati? Baru-baru ini sebuah akhbar arus perdana mengeluarkan kenyataan bahawa setiap tahun peratusan perceraian meningkat dengan begitu mendadak dan ianya membimbangkan. Apakah faktor utama yang menyumbang ke arah perkara ini?
Kalau kita mengatakan mungkin kerana pasangan tersebut terburu-buru, ada juga pasangan yang bercinta mencecah puluhan tahun tetapi bercerai juga akhirnya. Jika kita beranggapan dek kerana terlalu lama bersama, kemanisan dalam perhubungan itu mulai berkurangan tetapi ada juga berpisah di peringkat seawal mengecap kemanisan bersama. Bukan faktor tempoh sebenarnya yang boleh menjadi kayu pengukur di dalam perhubungan tersebut.
Entahlah, sepak terajang alam perkahwinan belum lagi saya rasai tetapi kadangkala kerisauan mengusik juga tangkai hati tatkala melihat gagalnya institusi perkahwinan mereka-mereka yang berada disekeliling. Benar, jodoh pertemuan di tangan Allah tetapi kita boleh merubah keadaan tersebut dari menjadi sesuatu yang tidak diingini. Jika berpisah sewaktu di alam bercinta, impaknya tidaklah terlalu besar tetapi berada di dalam status bercerai pelbagai dugaan yang lebih perit lagi bakal mendatang dan kebiasaannya perempuanlah bakal menjadi mangsa di sini. Walhal kita bukannya tahu mengapa mereka terpaksa memilih keadaan sedemikian rupa.
Pernah bertanyakan soalan ini pada teman-teman yang kini kembali solo. Banyak perkara yang menyumbang ke arah perpisahan. Tidak boleh menunding jari kepada mana-mana pihak sekali pun cuma apa yang mereka utarakan, keadaan bertambah rumit bila melangkah ke arah tersebut. Keputusan diambil telah mengambil kira pelbagai sudut dan demi kebaikan kedua belah pihak. Apa yang pasti sewaktu Si Suami melafaz akad, tidak pernah terdetik sekelumit rasa untuk menempuh perjalanan seumpama ini.
Saya sendiri tidak pasti mengapa isu ini menjadi inti pati ruangan cumanya saat melakarkan butir bicara ini saya sedang mengenang seorang lagi teman seusia yang dalam proses bercerai. Pelbagai usaha dan cara telah dilakukan demi menyelamatkan institusi yang telah mereka bina hampir enam tahun lamanya. Kedua mereka bukanlah calang-calang orangnya. Masing-masing memegang jawatan yang hebat di dalam dunia korporat. Masalah kewangan bukan menjadi punca utama tetapi itulah, bila ditanya mana silapnya? Mereka sendiri tidak mempunyai jawapan yang khusus. Yang mampu terkeluar dari mulut mereka "JODOH TIDAK PANJANG".
Apa yang saya nampak berkahwin dan kemudian bercerai seolah menjadi satu trend masyarakat hari ini. Harapnya trend ini tidak berjangkit ke dalam ahli keluarga saya mahupun diri sendiri. Saya bermohon jika benar jodoh telah sampai biarlah selamanya bersama, hanya ajal yang memisahkan. Tidak dapat membayangkan andai satu hari nanti saya berdepan denga masalah sedemikian. Buat teman saya yang berada di dalam kemelut tersebut, saya mendoakan semoga dirinya terus tabah dalam meniti hari mendatang. Andai esok lusa berjumpa pengganti moga berkekalan. Buat mereka yang pernah meniti detik perit ini dan kini kembali bahagia,tahniah diucapkan kerana berjaya mengatasi segala masalah yang diuji dengan tenang dan berfikiran terbuka dan akhir sekali kepada mereka yang seolah menuju ke arah itu, berfikirlah dan berusaha supaya tidak meneruskan perjalanan ke arah itu.

nota: Perkara Halal yang dibenci Allah adalah Perceraian....
No comments :
Post a Comment