Followers

Friday, December 3, 2010

::Langkawi 1::

Jika melihat kepada tajuk, sudah dapat mengagak entri ini akan berkisar tentang apa.  Sebenarnya sudah hampir sebulan lebih yang lalu menjejakkan kaki ke sana tetapi tidak begitu bersemangat untuk berkongsi cerita sehinggalah pagi semalam Kak Mya bertanyakan tempat menarik di Langkawi melalui laman FB terus keinginan timbul untuk bercerita.  Mungkin ianya boleh dijadikan panduan buat mereka yang belum lagi berkesempatan ke sana.

Perancangan untuk pergi ke Langkawi telah dibuat semenjak 2009 lagi tetapi kali ini saya tidak merancang bersama teman baik saya, Fieza.   Saya dan Fieza pernah ke sana pada tahun 2004, percutian yang terpalit seribu satu kenangan buat mereka-mereka yang turut serta.  Perancangan adalah antara kami berdua (saya dan Abang) bersama Ejump sekeluarga.  Sesiapa yang mengikuti blog saya sejak awal mesti kenal Ejump dan isterinya Nova, kami pernah ke Melaka bersama pada penghujung tahun lepas.  Rancang punya rancang, akhirnya kami terpaksa membatalkan pada saat akhir atas sebab tertentu.  Disebabkan Nova tidak pernah menjejakkan kaki ke sana dan suami tercinta telah pun berjanji, makanya haruslah ditunaikan.  Lantas tatkala teman Ejump membuat tawaran untuk pergi bersama ke Langkawi pada pertengahan tahun membuatkan Ejump terus bersetuju.


Mendengarkan mereka akan pergi saya bersyukur.  Sekurang-kurangnya saya tidak perlu rasa bersalah sangat kerana tidak dapat menunaikan hajat mereka.  Entah macamana, pelawaan tersebut dipanjangkan kepada kami berdua.  Tidak silap pelawaan tersebut dilakukan pada bulan Julai.  Sememangnya teragak juga untuk turut serta tambahan kami tidak mengenali teman Ejump yang membuat perancangan tersebut namun atas pujukan mereka berdua kami mula mempertimbangkan ajakan tersebut pada kadar 50-50.  Saya bersetuju tetapi dengan syarat jika tiket kapal terbang pada harga yang munasabah kerana mereka berdua telah pun membeli tiket seawal perancangan.

Hanya mencuba nasib, saya mula melayari laman web Air Asia bagi melihat harga tiket.  Terjojol juga biji mata apabila harga tiket pada tarikh dan waktu yang sama bersama mereka amatlah murah.  Saya dan Abang hanya perlu membayar RM50++ untuk ke Langkawi.  Sudah pasti hati berbunga riang seolah merestui pemergian kami kelak tetapi harga tiket pulang agak mahal jika dibandingkan dengan apa yang telah Ejump bayar.  Lantas bertanyakan kepada Abang samada dia masih mahu meneruskan niat untuk turut serta ke Langkawi.  Entah dari mana datang ilham darinya, dia mencadangkan saya mencuba nasib dengan melihat Fire Fly.  Sekali lagi kami amat bernasib baik kerana tiket pulang tidaklah terlalu mahal jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan Air Asia pada awal.  Pembelian di buat dan dengan rasminya kami akan menuruti Ejump sekeluarga beserta keluarga teman mereka, Husin sekeluarga ke Langkawi pada 28 Oktober 2010 - 31 Oktober 2010.  Harga keseluruhan tiket penerbangan kami dengan menaiki Air Asia dan Fire Fly = RM450++.

Penerbangan kami ke Langkawi pada 28/10, Khamis dijadualkan pukul 4.30 petang.  Perbincangan di antara lelaki-lelaki itu telah memutuskan bahawa kami akan ke LCCT dengan menaiki bas di KL Sentral.  Pengalaman pertama menaiki bas ke LCCT agak mendebarkan juga, lantaran risaukan masa yang ada makanya seawal mungkin kami ingin bertolak dari KL Sentral.  Ini kerana paling lewat kami boleh tiba di LCCT adalah pada pukul 3.30 petang bagi mengelakkan sebarang masalah.  Lagi pula tidak pasti perjalanan bas akan mengambil masa berapa lama, begitu juga dengan kekerapan bas yang akan bertolak ke LCCT menyebabkan kami memilih untuk tiba seawal mungkin di KL Sentral.

Saya dan Abang tiba lebih kurang jam 11.00 pagi dengan dihantar oleh rombongan keluarga saya, iaitu GM, Macho Man, Ayu Bam Bam dan Buah Hati.  Seolah hendak pergi ke oversea gayanya.  Tapi saya gembira sekurangnya keluarga merestui perjalanan saya kelak walaupun tidak sejauh mana :).  Tunggu punya tunggu Ejump dan Husin tiba lebih kurang pukul 12.00 tengahari.  Disebabkan mereka belum lagi bersarapan, Chicken Rice Shop menjadi pilihan untuk mengisi perut yang berkeroncong.  Abang dan saya hanya melihat sahaja kerana kami baru sahaja makan dengan mereka yang menghantar kami.  Apa yang membuatkan kami tidak terlalu terkejar ialah apabila kami telah mengetahui perjalanan ke LCCT mengambil masa sejam dan bas yang membawa penumpang ada setiap setengah jam.

Muka ceria tidak sabar untuk meninggalkan hiruk pikuk KL buat seketika

Ejump suami isteri sedang menikmati hidangan di Chicken Rice Shop

Tidak silap, Abang sempat memesan sepiring Pai Tee dan Milo Ais

Usai menikmati makanan, kami mula beredar untuk menaiki bas.  Boleh pula saat hendak menaiki bas, Husin boleh berlari ke arah Brickfield untuk mencari barang.  Bas hampir bertolak tetapi batang hidungnya masih belum kelihatan.  Isteri dan anak-anak Husin pula mula risau, mujurlah pemandu bas sanggup menunggu buat seketika.  Dengan wajah berpeluh kerana terpaksa berlari, Husin mengambil tempat duduk.   Tambang bas RM9 seorang.  Kanak-kanak yang duduk di riba tidak dikenakan sebarang bayaran. Menambahkan insiden kelakar, boleh pula air milo anak Husin terbalik di dalam bas.  Apa lagi, melimpahlah air milo ke segenap ruang bas sehingga ada yang mula tidak berpuas hati.  Ejump dan Abang sibuk memerhatikan air yang mengalir sambil berbisik-bisik dan berpura tidak melihat kejadian.  Punyalah kami semua menahan perut supaya tidak terburai gelak.  Ini semua gara-gara kelam kabut.

Di dalam bas.  Lama juga tidak menggunakan bas sebagai pengangkutan.  Sepanjang perjalanan saya sempat melelapkan mata buat seketika

Tiket bas, cuba menjadi seorang blogger yang berinfo :)

Kami selamat tiba di LCCT lebih kurang pukul 2.30 petang.  Sampai sahaja terus daftar masuk beg yang ada.  Pendaftaran masuk mengambil masa hampir setengah jam apabila ada timbul sedikit kekeliruan mengenai pelekat keselamatan.  Apa pun segalanya selesai dengan baik.  Seperti biasa, bukan namanya Air Asia kalau tidak lewat.  Disebabkan kami masuk awal, makanya kami berlegar sahaja di ruang menunggu.  Jadual awal iaitu 4.30 petang tertunda hampir setengah jam.  
Abang dan Husin sedang mendaftar masuk bagasi.  Sedikit info yang ingin dikongsi, pada sesiapa yang belum pernah membeli tiket Air Asia, kini Air Asia tidak lagi memberikan kilogram percuma kepada bagasi yang masuk ke dalam kargo.  Penumpang harus membelinya seawal membeli tiket dengan harga 15kg=RM20.  Jika membeli sewaktu mendaftar masuk, Air Asia akan mengenakan kadar 1kg=RM15 (tidak silap).  Tetapi bagi yang ingin menjinjing  beg ke atas kapal terbang, setiap penumpang di beri sebanyak 7kg secara percuma.

Bersama Nova di ruang menunggu.  Ibu mengandung yang gigih berjalan

Sang Lelaki yang kadar emosi agak menurun akibat dari kepenatan menunggu kapal terbang yang tidak kunjung tiba

 Sedang berjalan menuju ke dalam perut kapal terbang.  Masing-masing sibuk dengan anak, kami berdua sibuk dengan anak mata bagi tumpuan lensa kamera milik peribadi.


Walaupun ada gaya ala-ala menjakun seperti tidak pernah naik kapal terbang, tetapi kami suka :).  Oh ya, sekarang ni Air Asia telah siap-siap memberi nombor tempat duduk, bukannya seperti dahulu free seating.  Jadinya kami telah terpisah daripada kumpulan, mereka semua naik ikut pintu depan dan kami berdua dari pintu belakang.  Siapa tak suruh kendong anakkan?? he..he..he..


Tepat 5.05 petang bergeraklah kami meninggalkan Kuala Lumpur buat seketika.  Penumpang adalah ramai dan saya tidaklah suka kerana kerusinya adalah rapat-rapat dan padat.  Tetapi nak rungut banyak-banyak pun tak guna kerana ini penerbangan murah.  Kalau inginkan keselesaan siapkan sahaja duit dan selesalah menaiki MAS.  Dek penat menunggu hampir seharian, berkeroncong juga perut lalu Abang membeli sandwich di dalam Air Asia sementara menanti untuk mendarat.  Seperti biasa, setiap kali menaiki kapal terbang saya akan berhadapan dengan masalah telinga yang sakit akibat dari tekanan udara tinggi.  Sakitnya amatlah teruk sehingga tidak berupaya untuk mengangkat kepala dan kalau boleh mahu sahaja memaksa pilot untuk terus turun jam-jam tu juga.

Bersambung.....




nota:  Pada ketika ini, Fieza sedang berjimba di Langkawi dan saya adalah sangat cemburu!!!! Kerana dia pergi meninggalkan saya!!!

3 comments :

  1. ahkak dah lama tak pegi langkawi..last tahun lepas la...macam nak pegi lagi plak

    ReplyDelete
  2. Terharunya akak yg ngetop nie dtg jenguk blog picisan..TQ so much Kak!!!

    Apa lg Kak,ajak la Abg Geli ke Langkawi 4 honey moon yg ke beberapa kali... :)

    ReplyDelete
  3. ceshh...

    takde la nye dia nak layan lagi pemintaan ahkak...honeymoon kat rumah sudey..hahahha

    picisan apenye..sama je la kita semua..

    ReplyDelete