Semalam mengomel dengan adik-adik, Ninie dan Macho Man mengenai masalah gaya Bahasa Melayu di kalangan budak-budak sekarang ini. Bukanlah ingin mengatakan yang kami ini bagus sangat di dalam penguasaan Bahasa Melayu tetapi sebagai orang Melayu risau juga bila memikirkan bagaimana nasib masa depan bahasa di tangan generasi muda kelak sedangkan Bahasa Melayu seharusnya disanjung tinggi.
Walaupun menyedari di sekolah mereka ini diberi pendedahan Bahasa Melayu yang secukupnya tetapi dari segi praktikal ramai yang tidak mengendah serta tidak menggunakan Bahasa Melayu mengikut nahu dan ejaan yang betul. Malahan kini kita amat menyedari kaedah kependekkan dan penyingkatan ejaan begitu terserlah terutama dikalangan para remaja. Gaya bahasa yang digunakan melalui pesanan ringkas (SMS) telah menular dengan meluas.
'aq tdak ske klu d owrg yg kco aq'
'bla nq pon ak da lame ak tuonggo'
'dy jnhji ngan ku sok nk rpair brang yg rowsak etu'
'ader kew owrang mchm owang x siuoman'
'ader kew owrang mchm owang x siuoman'
Antara contoh yang saya dapat dari FB anak-anak sedara dan adik rakan-rakan. Pening bukan? Seorang teman yang bertugas sebagai guru bahasa di sekolah kebangasaan turut melontarkan kerisauan perihal ini. Ini kerana semakin ramai pelajar terutamanya murid Melayu yang cuai dan sering menggunakan gaya bahasa sebegini sewaktu pembelajaran dan juga peperiksaan. Esok lusa entah bagaimana pula ejaan yang akan keluar pula, manakan tidak habis segalanya hendak dipendekkan dan mengikut sesedap jari membentuk ayat.
Pada pengamatan saya isu ini semakin dipandang serius terutama apabila ramai yang memberi komen negetif terhadap budaya ini. Cumanya kita tidak pasti apakah jalan penyelesaian kerana kita tidak boleh menyekat penggunaan gaya bahasa tersebut terutama di kalangan rakan-rakan sebaya apatah lagi menegah mereka dari mengeja sebegitu. Satu formula harus dicari bagi memastikan keindahan Bahasa Melayu tidak tercemar dengan anasir-anasir ejaan buruk ini.
nota: Janganlah satu hari nanti anak Melayu tidak lagi mengendahkan keindahan Bahasa Melayu
No comments :
Post a Comment