Followers

Friday, December 17, 2010

::Dua Hari Yang Lalu::

Dua hari tidak muncul di alam siber ini, adakah yang merindui?  :) Tempoh dua hari yang lalu adalah jangka masa yang agak panjang juga buat saya lalui.  Pelbagai irama dan tari dimainkan di pentas dunia ini dan secara terangan serasa lelah tatkala cuba mengikut rentak.  Episod emosi tercalar pada pagi Rabu masih terkesan di hati, walau menerima pelbagai kata semangat supaya mengendahkan sahaja perangai buruk manusia yang berakal haiwan.  Benar Allah itu ada dan setiap perlakuan akan mendapat balasan yang setimpal, tetapi saya bukan ahli sufi waima malaikat untuk tidak membenci apa yang telah terjadi.  Amarah bergumpal menjadi dendam lantas bertukar makian.  Ahli keluarga mohon bertenang dan buat pertimbangan yang waras serta jangan putus asa.  Keyakinan harus ada untuk menempuh hari mendatang kelak.

Petang yang sama ketemu teman baik, Fieza dan dalam masa yang sama Abang mencuba rezekinya di organisasi baru.  Jika memang tersurat rezekinya, Insyaallah.  Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupnya.  Tatkala bertemu Fieza sekali lagi menghamburkan apa yang tersimpan di dalam hati.  Bukan memancing simpati ataupun mohon dia turut berduka tetapi cukuplah sekadar menumpang bahunya untuk menceritakan apa yang terbuku.  Sedar yang dia tidak punya kuasa untuk mengubah ataupun menghulur pertolongan tetapi separuh berat bebanan rasa terlepas juga.

Malam pula satu pertemuan berlangsung.  Pertemuan yang diharap membuahkan hasil buat kami semua.  Bukan mudah untuk menjadi senang tetapi amat senang untuk segalanya menjadi tidak mudah.  Sekali lagi berharap agar Allah memberkati segala-galanya.  Melihatkan muka-muka yang begitu berinspirasi pada pertemuan tersebut, keyakinan semakin tekad di dalam hati bahawa inilah sebenarnya yang kami ingini.  Sekarang memerlukan motivasi yang tinggi untuk melaksanakan tugas kerana kegagalan diri sendiri akan memberi kesan kepada keseluruhannya.

Semalam entah mengapa tiba-tiba boleh jatuh sakit.  Sakit yang tidak pasti berpunca dari mana.  Mungkin Allah hendak menguji barangkali.  Hanya berpunca dari sakit tangan melarat sehinggalah satu badan terasa nak demam.  Bergerak tangan dah tentu sakit ditambah pula dengan sakit sebelah badan manalah tak rasa nak demam.  Seharian terbaring di atas katil terasa sunyi pula.  Lebih-lebih lagi Buah Hati pulang ke Ampang, kalau ada dia gagah juga turun ke bawah main bersama.  Cuaca semalam seharian mendung seolah seiring dengan emosi diri.  Apa yang terjadi di pagi Rabu masih lagi terbawa-bawa walaupun ketegangan telah mula mengendur.  Tidak putus doa dikirim moga memberi kekuatan diri untuk terus berjuang.

Kembali menjadi normal hari ini walaupun semangat tidak cukup kental.    Apa yang penting pandang ke hadapan.  Kesihatan masih lagi 50-50, sakit masih bersisa namun tidaklah seteruk semalam.  Hari menghampiri ke penghujung minggu dan hanya tinggal kurang dua minggu 2010 untuk melabuhkan tirai.  Berharap tatkala 2011 menyingkap tabirnya akan adalah sinar cahaya yang bisa menerangi impian bergantung harapan.  



nota:  sebenarnya sedang menaip entri sambungan Langkawi, tetapi lokasi hard disc tidak dapat dipastikan dan gambar-gambar pula di dalam hard disc jadinya terpaksalah menggantung sementara entri tersebut tidak seronok bercerita jika tidak diselitkan sebarang gambar

No comments :

Post a Comment