Sepanjang minggu lalu, telah saya katakan mood mengenang kisah silam. Mengimbau kenangan samada pahit mahupun manis segalanya mampu mengukir senyuman. Cuma tatkala kita mengetuk pintu memori seolah ianya merupakan petanda usia sepantas kilat berlari. Benar, sesiapa sahaja jika diberi peluang pasti ingin berpatah semula ke belakang dan memperbaiki segala kesilapan bagi memastikan hanya memori indah bakal tercipta.
Saya sering berbual dengan adik-adik bagaimana kami dahulu sewaktu kecil. Yelah, sulung sudah pasti banyak perkara tersimpan di dalam kantung seluar saya. Hari ini kami mengenang bersama mereka yang tidak pernah berada di waktu itu dan sedikit sebanyak membantu mereka mengenal dengan lebih rapat siapa sebenarnya orang yang mereka kahwini.. ;)
Dan kebetulan pula, saya dihubungi dua tiga orang rakan di zaman persekolahan. Agak lama jalinan persahabatan terputus dan kini kembali bersatu atas kecekapan lingkupan teknologi semasa. Apa yang nyata kita masing-masing punya cerita tersendiri. Segala tampak sempurna, mampu menghulur senyuman pada sesiapa sahaja, tetapi apa berkocak di dalam tiada siapa mengetahui.
A dengan kisah tersendiri, B dengan dugaan hidup yang tidak dipinta dan C akan terus berusaha memastikan kebahgiaan bakal miliknya. Ibarat sebuah antologi novel, kisah kita semua adalah bab-bab di dalam novel tersebut. Saya tumpang gembira tatkala mereka bahagia dan saya mengalirkan mata di kala kisah kehidupan begitu menghayat hati. Segala saya lakukan dengan ikhlas atas ikatan persahatan.
Saya berkongsi sedikit ceritera A. Dia bukanlah seorang gadis yang tidak bijak, malahan keputusan peperiksaan sudah cukup baik untuk menempatkan diri di pusat pengajian tinggi. Namun atas dasar cinta, dia sanggup bekerja bagi memastikan kekasih hati boleh meneruskan pengajian. Katanya, lelaki perlu pergi jauh kelak berkeluarga tidak berhadapan masalah kewangan.
Seawal 18 mula bekerja dan nasibnya baik berjaya menjawat sebagai penjawat awam. Puas keluarga memujuk untuk meneruskan pelajaran, namun ditolak kerana baginya tiada lain dari bakal menjadi suri hati kekasih hati. Hasil pendapatan 3/4 diperuntukkan buat kekasih hati. Segalanya diberi dengan ikhlas kerana yakin kejayaan kekasih hati adalah kejayaan bersama.
Tamat pengajian kekasih hati sibuk menumpu perhatian dalam mengukuhkan kerjaya. Sekali lagi A menunggu dan terus menunggu. Alasan diberi, jika tidak bekerja bagaimana mahu menanggung anak bini kelak. Mengiakan sahaja apa kata kekasih hati. Tatkala ini, perhubungan dibina mula goyah. Ada-ada sahaja masalah. Namun segala itu mereka harungi hinggalah ke jinjang pelamin. Tiada lain mampu dilafazkan selain bersyukur kerana segala jerih perih dalam menanti akhirnya membuahkan hasil.
Tapi, sesudah 3 bulan ikatan perkahwinan menjadi tegang. Episod pergaduhan mewarnai hari-hari mereka sehingga suami ambil keputusan keluar rumah. Setelah diselidiki, sudah ada wanita lain setia menanti dan perkahwinan diteruskan atas dasar ingin membayar balik segala budi yang telah ditabur. Aduhai, hampa sekali A dan sehingga hari ini status masih lagi "Gantung Tidak Bertali." Seawal di usia 30-an A terpaksa berhadapan dengan kepincangan rumah tangga. Mujur juga belum dikurniakan cahaya mata.
Jalan cerita seperti drama di televisyenkan? Tetapi inilah realiti. Saya menasihkatnya dari segi keputusan bakal diambil beserta pandangan undang-undang. Tersedu-sedu dia bercerita dan saya hanya mampu mohon dia peroleh kesabaran yang begitu tinggi kerana Allah sayangkan orang bersabar.
Kemungkinan-kemungkinan perkara apa berlaku di hari muka dapat diagak. Mungkin ada rahmat disebalik kejadian menimpanya. Kita sendiri tidak tahu. Usai berbual, terus berkongsi kisah dengan Abang. Walau tiada sebarang reaksi dari dia, saya sempat mengeluarkan peluru kapur buat dirinya supaya sentiasa berfikir jangan sekali-kali menyakiti hati wanita.
Harapan A sememangnya menanti kepulangan suami, namun dia tetap redha atas segala apa yang terjadi. Dia menyesal kerana tidak berusaha menjadikan dirinya terbaik supaya sang lelaki tiada alasan untuk digunakan. Saya nasihatinya untuk tidak menyalahkan takdir kerana segalanya berkaitan jodoh dari Allah SWT.
Sedang mengenang nasib A, tiba-tiba lagu di bawah berkumandang seolah menjeritkan isi hati A. Sebuah lagu lama nyanyian Ali Terra Rossa berjudul Gering. Berulang kali dengar sehingga jalan cerita A begitu terkesan di hati. Saat itu saya bersyukur kerana tidak diduga sedemikian rupa. Bagi sesiapa yang ada kenangan bersama lagu ini, jom kita kembalikan memori silam yang tersemat di kotak hati...
nota: jika hendak diduga, biarlah bukan yang melibatkan hati dan perasaan. Tidak tertanggung pedihnya
No comments :
Post a Comment