Followers

Tuesday, November 15, 2011

::Bahang SPM Melanda::

Di sebabkan tak berapa nak sihat, keadaan sekeliling pun tak ambil peduli.  Isi surat khabar pun selak mana-mana yang penting.  Rupanya demam peperiksaan sedang melanda.  Yelah, mana ada lagi di rumah ni yang menduduki peperiksaan besar.  Sekarang ni, bila cuti sekolah bermula pun dah tak berapa ambil pusing.  Tunggu Buah Hati betul-betul masuk sekolah agaknya barulah ambil tahu semula.

Apa agaknya perasaan adik-adik yang sedang bertarung di dewan peperiksaan itu ya?  Saya menduduki SPM, hampir 15 tahun lampaunya tetapi kenangan tetap terpahat.  Masakan tidak, SPM merupakan penentu arah ke mana selepas itu.  Jika boleh diulang kembali, saya akan memperbaiki mana kelemahan yang tertera di dada kertas jawapan.  Boleh saya muncul sebagai pelajar paling cemerlang..he..he..he..

Rasa gementar di awal pagi pastinya ada tetapi setelah helaian demi helaian dijawab, berhadapan dengan set soalan menjadi biasa.  Cuma tahu atau tidak, itu sahaja.  Segala apa dipelajari bertahun-tahun habis dikeluarkan.  Saat itu rasa menyesal pun ada kerana tidak berusaha dengan lebih gigih, jika tidak setakat pejam mata mampu menjawab soalan.  


Saya bukan pelajar cemerlang atau terbaik.  Zaman persekolahan diguna sebaik mungkin tidak semata belajar tetapi lebih kepada aktiviti-aktiviti kegemaran.  Senang cerita kegiatan luar kelas lebih menarik minat.  Nak kata nakal tu tidaklah cuma diberi pilihan antara belajar ataupun meneruskan aktiviti tersebut, pasti bukan berada di dalam kelas adalah jawapan yang pasti.

Jangan tak tahu, pada malam sebelum kertas Sejarah, saya masih lagi ligat mengikuti persembahan kebudayaan di Pusat Islam.  Balik rumah jam 11 malam dan keesokkan harinya seawal jam 6, mata harus paksa celik.  Nak kata pandai sangat matapelajaran Sejarah tu tidaklah, tetapi bolehlah.  Keputusan pun tak mengecewakan cuma kalau usaha lebih sedikit 1A dalam tangan *mode:  perasan*

Tidak cukup dengan itu, saya sempat ke Pulau Langkawi di kala ada jarak dalam minggu peperiksaan dan hanya pulang ke rumah sehari sebelum menduduki kertas Ekonomi Rumah Tangga (ERT).  Amacam hebat tak?  Waktu itu perasaan gerun tidak kuat menyelubungi.  Ianya akan hadir saat melangkah masuk ke dewan keramat.

Tapi aktif macamana sekali pun, tatkala berada di dalam kelas saya akan fokus sebaik mungkin.  Saya bukan jenis boleh belajar sendiri di rumah oleh itu perhatian di dalam bilik darjah amat penting.  Jika tidak sampai kesudah takkan memahami apa tertulis di dalam buku.  Ciri ini saya praktikkan hingga peringkat Universiti.  Jika tidak hadir ke kelas, kirim salam mampu jawab soalan diberi.. (tapi kaki ponteng juga, macamana tu??) 


Dari pengalaman, apa yang ditanya di dalam kertas peperiksaan sebenarnya mudah.  Kenapa saya kata mudah kerana ianya sesuatu yang tidak asing sekiranya seorang pelajar itu memberi sepenuh perhatian di dalam kelas dan membuat ulangkaji.  Soalan tidak akan menjurus kepada perkara yang tidak terkandung di dalam buku teks.  Cumanya kemampuan seorang pelajar itu mengingat dan mengimbas apa telah dipelajari akan banyak membantu di dalam dewan peperiksaan.

Apa yang penting calon peperiksaan harus tenang dan jangan kelam kabut.  Gunakan masa diperuntukkan sebaik mungkin.  Bila tenang, dengan mudah apa sahaja yang pernah dipelajari mampu diimbas.  Walau hanya samar tetapi ia membantu membina keyakinan tatkala berhadapan dengan soalan.

Buat yang beragama Islam, banyak-banyak berselawat supaya hati tidak bercelaru dan mampu menghadapi segalanya dengan tenang.  Sebelum memulakan segalanya, tak salah lafazkan doa penerang hati yang telah dipelajari seawal usia 7 tahun.  Ingat dan tekad di dalam hati, setiap apa dilakukan hari ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi ianya juga buat kedua ibu bapa yang telah bertungkus lumus membesarkan kita.  Tanpa keredhaan mereka, kejayaan tidak akan dimiliki. 

Jangan kalut!  Tatkala gementar, apa yang tersimpan juga tidak mampu dikeluarkan.  Bila dalam keadaan demikian, kita akan memaksa tapi sayang ianya tidak lancar.  Sampai ke satu tahap pelajar akan putus asa dan bosan hendak terus menjawab.  Langkah mudah, buat mana termampu lantas meninggalkan meja peperiksaan.  Hanya berada di luar barulah dapat pembayang bagi jawapan dan ianya sudah terlewat.  

 
Dalam banyak-banyak mata pelajaran, saya langsung tidak meletakkan harapan pada kertas Matematik dan Sains.  Sejak dari Tingkatan 1 hinggalah 5 kedua-dua subjek ini akan diungguli dengan pen berwarna merah.  Puas berusaha tapi hasil tetap sama (usaha hangit-hangit macam tulah) hingga saya redha keputusan besar akan kecundang. 

Tetapi saat menerima slip keputusan, juling juga biji mata kerana kedua-dua subjek ini saya lulus dengan cemerlang..ngeh..ngeh..ngeh.. *mode:  riak*  dan membantu saya peroleh aggregat baik.  Zaman saya masih lagi menggunakan sistem Pangkat dan Aggregat dan kerana itu saya yakin sekiranya usaha digiatkan sekali ganda lagi, saya pasti berjaya dengan lebih cemerlang!

Oklah, panjang berjela pula jadinya.  Andai ada adik-adik yang membaca entri ini, saya ucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan dan Selamat Menjawab dengan tenang.  Belajar sudah, usaha sudah, bertarung sudah dan kini sampai masa mohon dari Allah SWT supaya setiap apa dilakukan diberkati dan membuahkan hasil.  Insyaallah, segala apa diusahakan akan memberi ganjaran terbaik.  



nota:  andai dapat ku undurkan putaran dunia.... 




 





No comments :

Post a Comment