Followers

Tuesday, November 15, 2011

::Kemalangan Suatu Ketika Dahulu::

Buntu tak tahu nak buat apa dek sakit melampau, tangan rajin pula menggodek fail simpanan dari komputer riba Abang.  Bukan sport check ya, lagi pula dia mana ada rahsia.  Semua pun diberitahu.  Sekali terpandang sekeping gambar menggamit memori.  Kenangan pahit dan pedih pada waktu itu namun memberi pengajaran berharga buat kami semua.

Rakan-rakan pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang besar?  Sepanjang memegang lesen memandu, dua kali saya pernah.  Pertama kali dalam tahun 2005 kalau tak silap dan saya sendiri yang memandu.  Kali kedua dalam tahun 2007 tetapi bukan sebagai pemandu.  

Bila terlibat dalam kemalangan, tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan.  Mengigil satu badan sudah pasti disusuli pula dengan buntu serta panik.  Kalau boleh minta dijauhkan insiden sedemikian.  Kadangkala, perkara ini terjadi bukan kesilapan kita namun takdir menentukan untuk turut sama jadi mangsa.

Sewaktu kejadian saya, Ayu Bam Bam dan Abang dalam perjalanan pulang dari Perak.  Dalam jam 7 petang macam tu di pintu masuk Jambatan Sungai Perak nak menghala ke Teluk Intan, 3 biji kereta di hadapan kami brek mengejut dan memaksa kami tiga di belakangnya melakukan perkara sama.

Dek kerana jalan licin kerana baru lepas hujan, ketiga-tiga kereta tersebut tidak dapat menyelamatkan keadaan lantas melanggar punggung belakang kereta di hadapan, termasuklah kereta kami.  Berdecit tayar kereta berbunyi kerana kuatnya tekanan brek.  

Dentuman agak kuat dan saya terdorong ke hadapan.  Walhal pemanduan hanyalah 60km/j.  Yalah keadaan jalan agak menaik seperti bukit, tidak selaju manalah Abang memandu.  Nyaris saya terhantuk cermin, tapi Abang sempat menghadang tangannya dari saya terkehadapan.  Beginilah keadaan kereta kami sewaktu terlibat dalam kemalangan itu


Kereta Proton di yang kami langgar dari belakang teruk juga.  Yalah, bahagian belakang dan depan kereta berdentum.  Mujur kami semua tiada kecederaan tetapi keretalah paling teruk sekali.  Hampir 2 minggu juga berada di bengkel.  Waktu ini memang kami pakai insuran.  Mahal kosnya, lagipula kereta Proton yang kami langgar juga terpaksa ditanggung pihak kami.

Tak lama selepas kemalangan tersebut, Abang pun beli kereta baru.  Bukan fobia cuma kebetulan tukar ke sebuah kereta lebih selesa.  Kereta ini merupakan kereta pertama saya yang saya jual pada Abang kemudiannya.  Abang pula jual pada adiknya di Johor, tapi hari ini kereta tersebut telah tiada.  Baru-baru ni, adik Abang tu dah beli kereta baru.  Biasalah, kereta dua pintu bukan sesuai untuk yang telah berkeluarga.

Banyak kenangan dengan kereta ini.  Hajat hati mahu sahaja saya ambil semula tapi kewangan tidak berapa mengizinkan terpaksalah lepaskan begitu sahaja.  Tak apalah rezeki masing-masing.  Lagi pula kereta bukan boelh dijadikan aset simpanan.  Cuma ianya aset memori buat pemilik.

Apa jua kenangan biarlah tersimpan menjadi memori indah.  Kemalangan bukan sesuatu yang dipinta namun kita boleh mengelak supaya tidak menyusahkan banyak pihak.  Semenjak kemalangan itu juga, saya tidak lagi berani memandu laju dan menjarakkan kenderaan sejauh mungkin.  Tali pinggang keledar juga tidak pernah saya abaikan.

Buat pemandu di luar sana, berhati-hati semasa memandu.  Ingatlah insan-insan tersayang sebelum mengambil tindakan kurang bijak.  Benar kemalangan tidak berbau tetapi kita punya pilihan untuk tidak menjadikannya realiti.  



nota:  bila lihat semula, banyak rupanya kisah tersimpan di sebalik kereta tersebut :)


 
 

No comments :

Post a Comment