Followers

Friday, November 11, 2011

::Biasa-Biasa Sahaja::

Dari pagi lagi ramai memperkatakan tentang keindahan tarikh hari ini.  11-11-11 tarikh keramat bagi sebahagian dari kita samada baik atau sebaliknya.  Saya bukan seorang fanatik terhadap perkara sebegini kerana itu agak bingung juga tatkala riuh berkicau pagi tadi.  Apa pun hari ini akan tetap berlalu pergi yang tinggal kenangan abadi.  

Bagi yang memilih menamatkan zaman solo hari ini, tahniah diucapkan.  Khabarnya, merata tempat kadi adalah insan paling sibuk sepanjang hari.  Bayangkan, seorang kadi terpaksa menikahkan hampir 15 pasangan dari pagi sampailah ke malam.  Itu yang saya tahu melalui seorang teman, yang kita tak tahu....Pengsan Tok Kadi!  he..he..he..

Ada juga memilih tarikh ini untuk melahirkan zuriat.  Teman saya berbangsa Cina, setelah melalui tilikan feng shui dia akan bersalin melalui proses pembedahan walaupun mengikut perkiraan doktor belum tiba masa.  Saya yakin ramai juga diluar sana berbuat sedemikian demi mencatatkan sesuatu yang indah di dada nombor ini. 

Tak kurang juga ada menerima perkhabaran sedih atas pemergian orang yang disayangi.  Ajal maut di tangan Tuhan, tiba masa dijemput siapa kita untuk menidakkannya.  Kita yang tinggal di ruang fana ini panjatkan doa moga roh mereka telah tiada sentiasa dicucuri rahmat.    

Sebenarnya ini semua berlaku dalam kehidupan kita seharian bukan?  Suka duka bersilih ganti tanpa mengira samada tarikh itu cantik atau tidak.  Cuma kelebihan hari ini, keunikkan tersebut diangkat dan kerana dunia kini berputar tanpa sempadan, keghairahan mengenainya tersebar merata.

Apa yang pasti, sebagai Muslim seharusnya kita tidak fanatik.  Janganlah kerana urutan nombor begitu cantik lantas kita mengharap tuah darinya.  Jangan kerana tarikh tersebut tersusun sempurna kita mengharap ada keramat disebaliknya.  Tidak wajar perlakuan sedemikian kerana ketentuan, Qada' dan Qadar datangnya dari Allah SWT.  Berlakunya ia pada 11-11-11 merupakan satu kebetulan.

Entri ini bukan untuk menasihati sesiapa tetapi lebih catatan peringatan buat diri sendiri kerana sesekali lalai mahu terikut juga dakyah sebegini.  Hari ini mungkin berpedoman, esok lusa siapa tahu.  Tatkala Syaitan rancak berbisik mahu terpedaya juga.  Iman setipis kulit bawang tiada yang mustahil namun saya berdoa moga Allah SWT menjauhkan saya dari hasutan Syaiton Nirrajim!!

Nikmati keluhuran hari ini sebaik mungkin kerana yang pasti 11-11-11 tidak akan kembali semula di dalam kehidupan kita.  Salam Jumaat penuh Barakah dari saya insan kerdil masih mencari-cari diri.... 



nota:  tetap menjalani hari ini seperti hari sebelumnya...

No comments :

Post a Comment