Followers

Wednesday, November 2, 2011

::Lambaian Kaábah buat GP::

Pada yang mengikuti Twitter saya, pasti tahu GP telah ke Tanah Suci buat menunaikan Rukun Islam ke-5 dan hari ini hampir seminggu dia telah berada di sana.  Khabar dari sana setakat ini, GP mengalami batuk dan selsema agak teruk disusuli demam dan sakit tekak.  Cuaca panas dan kepadatan manusia menyebabkan penyakit normal ini mudah merebak.  Kami iringi doa moga GP selamat dan sentiasa dilindungi Allah SWT.

Sebenarnya pemergian GP ke Tanah Haram diluar jangkaan, tapi jika telah tertulis nama dia  akan terpilih sebagai tetamu Allah pada kali ini, biar apa sahaja berlaku tetap akan ke sana juga.  Menyorot kisah lama, GP sering melafazkan pada usia 55 tahun dia akan menunaikan ibadah haji.  Itulah, orang kata, setiap lafazan adalah doa dan ternyata Allah menyambut doa-doa GP itu.


Tahun ini memang genap usia 55 tahun GP.  Ikut perancangan serta berbekal wang tabungan di KWSP, GP hendak mendaftar terus ke Tabung Haji.  Apa yang diperoleh selama menghambakan diri dengan bekerja jauh lebih mampu dan jika dia hendak menunaikan haji berkali-kali juga tidak punya masalah.  

Sayangnya, keluarga kami dirundung kesempitan lantaran wang sedia ada harus disalurkan ke arah lain, meant for survival dan GP menangguh hasrat menjadi tetamu Allah.  Tanggungjawab beliau sebagai ketua keluarga dan bapa menuntut dia mengorbankan niat tersebut.  Namun kami berjanji, tiba masa sesuai GP akan dihantar juga bersama GM.  

Tapi itulah, jika memang tersurat dan rezeki GP siapa dapat menghalang takdir Allah.  Lebih kurang tiga minggu sebelum tarikh 27 Oktober 2011, GP mendapat pengesahan yang dia akan turut serta di dalam rombongan seorang Menteri untuk menunaikan ibadah haji.  Terpempan juga kami sekeluarga mendapat berita tersebut dan disusuli dengan kesyukuran.

Siapa Menteri itu dan bagaimana GP boleh turut serta tidak perlu saya khabarkan di sini.  Sememangnya GP mempunyai talian persahabatan erat dengan beberapa orang Menteri di Malaysia, namun tidak digunakan untuk kepentingan.  Mereka bersahabat sehinggakan GP punya kelebihan untuk masuk ke dalam rumah VVIP ini dan salah seorang dari merekalah yang menyenaraikan nama GP sebagai menyambut Lambaian Kaábah.

Bila mengetahui sahaja, GP mula membuat persiapan ala kadar termasuklah dengan mengadakan sedikit kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan.  Tetamu dijemput dikalangan saudara mara terdekat dan rakan-rakan rapat.  Anggaran jemputan hanya lingkungan 50 orang sahaja.  Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.  Sekali lagi Allah SWT menampilkan bukti betapa GP amat dipanggil menjadi tetamuNya.  Tiada sebarang halangan ditempuhi GP sejak dari mengetahui akan ke sana sehingga berlepas ke Tanah Suci.  

Pada tarikh tersebut, kami sekeluarga berkumpul di KLIA mengiringi pemergian GP.  Perasaan hiba benar-benar menghambat rasa.  Sepanjang usia saya, GP sering ke luar negara hingga memakan masa berbulan lamanya.  Kami biasa dengan keadaan sedemikian sehinggakan ada satu ketika hampir 2-3 bulan tidak bersua muka dengan bapa tercinta.  Tetapi kali ini perasaannya lain benar.  Sukar diungkap dengan kata-kata walaupun perasaan tersebut sedikit dicemari.  Biarlah kami yang berhadapan sahaja mengetahuinya.

Serasa berat melepaskan pemergian GP namun kami redha kerana bukan senang untuk dipanggil dan turut serta di dalam jutaan umat di sana.  Moga GP berjaya mendapat Haji Mabrur dan segala ibadahnya diterima Maha Pencipta.  Apa yang saya kesalkan, GP pergi di kala saya tidak punya apa-apa untuk dikongsikan.  Perit rasanya di usia sebegini tiada apa mampu saya hadiahkan melainkan kalungan doa serta nilai Riyal yang tidak seberapa langsung.

Setiap kepayahan, kedukaan dan keperitan sepanjang tahun telah Allah balas dengan hadiah paling bermakna buat GP.  Ketentuan dan takdir itu semakin kuat membuktikan bahawa Allah tidak pernah menzalimi umatnya.  Namun, kami masih berdoa biarlah segala apa yang sedang kami harungi ini akan mendapat belas ihsan dariNya dan diberikan sesuatu yang manis dipenghujung.  

Saya kongsikan sedikit gambar dari lensa Macho Man :)

 GP ke Tanah Suci menggunakan Saudi Arabian Airline dan dia juga tidak berkumpul di Tabung Haji kerana ianya merupakan kumpulan khas  


Kerana berlepas dari KLIA, kami berkumpul di McDonalds sahaja.  Berhampiran dengan pintu perlepasan, sambil melayan si kecil makan, kami berbual riang :).  Gambar ini Macho Man yang rakam kerana itu kelibatnya tiada


Kali ini giliran suami Ninie pula mengambil tempat Macho Man.  Tengok gelagat Buah Hati tu, tak pernah serius.  Dah besar susah betul nak bergambar!


GP memberi kucupan buat isteri tercinta.  Ok, sebak waktu ni dan saya sepantas kilat bergerak keluar.  GM nampak cool and steady tapi dalam hati siapa yang tahu


Sekeluarga sebelum melepaskan GP masuk ke Balai Perlepasan


Bersalaman dan memohon maaf di atas segala kesalahan.  Menguatkan diri supaya empangan tidak pecah, namun sesuatu berlaku di luar jangkaan dan kesedihan berbaur geram.  Tak apalah, malas hendak bercerita panjang!  Yang penting GP tersenyum bahagia


Pengganti GP sepanjang dia berada di sana.  "Adikku, berat tanggungjawab yang digalas tapi Along tahu adik mampu melaksanakannya"


Drama King yang bisa membuat hati meruntun kesedihan.  Siapa ke lagi jika bukan Buah Hati.  Waktu ini boleh pula dia melambai keluar sambil berkata "Babai Aki, Aysh sayang Aki.."  hwa..hwa..sedih ok!!


Banyak lagi gambar sebenarnya, tapi biasalah saya agak lembab untuk menempek watermark jadi mana yang ada sahaja sudah mencukupi buat kenangan di satu hari kelak.  Insyaallah, jika diizin Allah SWT, GP akan kembali ke tanah air pada 9 Disember 2011 dan kami menghitung hari buat GP melaksanakan Rukun Islam kelima dan pulang ke pangkuan keluarga tercinta.




nota:  saya bakal anak Pak Haji...he..he..he.. 

No comments :

Post a Comment