Followers

Wednesday, November 16, 2011

::Berjayakah Macam Tu?::

Petang tadi singgah sebentar di restoran makanan segera McDonalds (McD) membeli makanan buat Buah Hati.  Sekali tu, dia tak mahu bawa pulang.  Panggilan taman permainan di dalam McD menyebabkan dia enggan balik segera.  Mood baik bolehlah melayang kehendak dia hari ni.  Jika tidak saya abaikan sahaja.

Sambil perhatikan dia bermain, saya memandang ke sekeliling.  Ramai pelajar duduk berkumpulan sambil buku terbentang di atas meja makan.  Mengulangkaji pelajaranlah tu.  Tertanya di hati, masukkah apa yang dipelajari saat berada di dalam restoran yang agak bingit dengan para pelanggan dan diselang seli dengan muzik latar?

Zaman saya dahulu, tidak kami praktik sedemikian rupa.  Berkunjung ke restoran sebegini hanya untuk mengisi perut dan berbual sesama sendiri.  Ada masanya kami berkawan dengan pelajar dari sekolah berlainan.  Jika ada buku terbuka di hadapan, boleh beri jaminan takkan masuk segala apa dibaca.  

Lagi pula duit poket bukan banyak mana.  Sesekali bolehlah mengunjungi restoran makanan segera, hari-hari mau menjerit GM.  Waktu tersebut perbelanjaan sekolah bukanlah besar.  Ada masanya setakat cukup tambang pergi balik sekolah.  Mana-mana kawan baik hati ingin belanja, kecil tapak tangan padang sekolah kami tadahkan.


Ternyata suasana jauh berubah.  Ibu bapa pula lebih bersifat santai dengan membenarkan anak-anak menghabiskan masa di restoran makanan segera.  Duit poket pun kenalah berlebih-lebih, jika tidak nanti anak-anak telan air liur dek penangan bau makanan menikam selera.  Malah ada pelajar membawa bersama gajet terkini seperti I-Pad, komputer riba, tablet dan macam-macam lagi, sambil mengulangkaji sambil berlibur.

Cuma persoalan saya, berhasil ke?  Atau lebih mengikut trend  semasa?  Jika tidak melepak di mana-mana restoran makanan segera, kiranya kurang gempak.  Andai enggan turut serta, mungkin nanti di sekolah bakal dipulau.  Ini semua agakkan sahaja.  Mungkin ada baiknya, dari membuang masa tak tentu hala, sekurangnya duduk di situ ada juga hala tuju dan benda dilakukan.

Melihat keletah pelajar sekarang dan bandingkan dengan waktu saya dahulu jauh berbeza, tetapi mereka beruntung.  Kebanyakkan mereka mampu memiliki apa diidamkan, hanya cepat atau lambat.  Ibu bapa akan cuba memenuhi kehendak asal anak-anak menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Entri ini bukan untuk menilai atau menunding jari tetapi persoalan timbul tatkala berada di suasana tersebut.  Timbul rasa pelik dan ragu namun saya matikan segera.  Bersangka baiklah pada adik-adik yang rajin ini.  Belajar di McD kurang sikit peluh keluar, malahan bantu menjimatkan perbelanjaan elektrik rumah.  Jika pasang penghawa dingin 24 jam pasti melambung bil.  

Apa-apa sahajalah ya...


nota:  mana-mana pun boleh, asalkan belajar..   

 

No comments :

Post a Comment