Salam Jumaat.. pastinya saat ini ramai di antara kita telah pun berada di rumah. Hari terakhir buat minggu ini dan juga merupakan Jumaat terakhir bagi tahun 1432 Hijrah. Bersuanya kita dengan Penghulu hari pada minggu hadapan, kita sudah pun berada di dada kalendar Islam yang baru.
Sepantas kilat, itulah ungkapan paling sesuai mendefinasikan pergerakan waktu. Sekelip mata kita telah tiba di penghujung tahun dan bakal membuka lembaran baru di dalam kehidupan. Jatuh bangun sebagai insan yang masih mencari ketentuan menjadi intipati coretan diari tahunan. Gerun memikirkan bagaimana pula loretan bakal diisi kelak.
Melalui keperitan dan kepayahan mengajar saya erti ketabahan dalam menjadikan diri sebagai insan dipandang mulia di sisi Allah SWT. Benar, terlalu jauh untuk sampai ke tahap itu, namun mengaku kalah di atas segala ujian tidak sama sekali. Jika Allah memandang dengan belas kasihan, doa dipohon moga sempena Tahun 1433 Hijrah akan lebih sempurna dari sebelumnya.
Tanpa disedari, Allah menurunkan rahmatNya buat saya di akhir Jumaat bersamaan 29 Zulhijjah 1432. Walau ia perlu dilaksanakan dengan usaha dan tawakal, saya redha. Andai Allah menetapkan rezeki sedemikian, saya akur kerana di saat ini saya hanya memohon yang terbaik buat diri serta keluarga. Jika bukan rezeki saya juga tidak mengapa kerana yakin sesuatu besar sedang menanti, Insyaallah.
Benar-benar merasai ketenangan melalui detik-detik penghujung tahun. GP sendiri bertuah kerana dapat menyambut Awal Muharram di Tanah Suci walau saya tahu dia sudah kepingin untuk berada di Madinah. Semalam dapat mendengar suara GP buat pertama kali sepanjang beradanya dia di Tanah Haram, benar-benar mengusik nurani. Ada getaran sewaktu melontarkan kata-kata namun ditahan sebaik mungkin. Dari desir suara GP, saya juga yakin ada sendu di sebalik perbualan. Moga Allah panjangkan umur kami untuk menyambut kepulangan GP kelak.
Sempena menyambut kedatangan Awal Muharram, dikongsikan di sini Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun. Saya yakin doa ini pasti telah tersebar meluas. Tapi apa salahnya saya pamerkan di sini, lagi pula saya berhajat untuk malafazkannya esok petang, Insyaallah jika tiada aral melintang.
Sedikit ilmu yang saya peroleh juga untuk pengetahuan, Tahun Baru Islam bukan bermula pada detik 12 malam tetapi pada waktu Maghrib dan waktu Asar adalah detik terakhir hujung tahun. Jadi ambil segala kelebihan pada waktu itu dengan amal ibadah sewajarnya.
Moga Allah menerima segala amalan kita selama ini dan diberi keampunan ke atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya kita adalah hamba hina dan tidak lepas melakukan kesilapan. Semoga apa sahaja yang dihajati, Allah ketahui rahsianya.
Di ambil dari Laman Google, dan sesiapa memuat naik saya mohon halal di atas perkongisan ini. Di baca 3 kali pada penghujung waktu Asar sebelum masuk waktu Maghrib.
Doa ini pula dibaca 3 kali selepas Solat Maghrib, juga di ambil dari Google Image
nota: harap kita dapat melaksanakannya
Salam Maal-Hijrah akak...
ReplyDelete