Followers

Thursday, November 3, 2011

::Maharaja Lawak Mega::

Mulai minggu lalu, program baru Maharaja Lawak Mega (MLM) telah bersiaran dengan  menggunakan konsep yang sama seperti Maharaja Lawak, bezanya MLM menghimpunkan antara pelawak-pelawak tempatan, Singapura dan Indonesia dan bukannya pemenang-pemenang dari program Raja Lawak.

Saya menjangkakan persaingan bakal sengit, jika tidak takkan mereka ini digelar pelawak terkenal.  Terlalu awal untuk membuat penilaian, masing-masing masih belum menampakkan taring.  Cuma setakat minggu lalu, saya senang dan berpuas hati dengan persembahan PIMAI iaitu gabungan di antara Imuda, Sulaiman Yassin dan Sathiya.  Mereka amat bersahaja seolah mementaskan rancangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Selain mereka, kumpulan Boboi iaitu Afdlin Shauki dan Harus Salim Bachik juga boleh tahan.  Begitu juga dengan persembahan kumpulan BP, persembahan mereka berjaya mengudang tawa.  Lain-lain biasa sahaja tetapi seperti yang saya katakan, pertandingan masih awal.  Momentum persembahan belum dikuasai sepenuhnya.  

Pelawak solo juga bagus cuma bila tiada side-kick usaha mereka harus berganda jika tidak tenggelam dengan peserta berpasukan.  Ada dua tiga kumpulan lain mampu memberi saingan sengit terutamanya dari negara jiran Indonesia.  Awas pelawak Malaysia, jika kurang berusaha mereka pasti memukul anda sehabis mungkin.


Selain dari peserta, perihal juri MLM juga hangat dibincangkan.  Ramai tidak bersetuju dengan barisan juri tetap, tetapi saya melihat sebaliknya.  Benar ketiga-tiga juri iaitu Chef Wan, Zainal Abidin Hassan dan Siti Nurhaliza bukan datang dari dunia lawak, tetapi mereka manusia biasa dan adegan kelakar serta mencuit hati amat perlu.  Jika ketiga-tiga mereka tidak ketawa, ini beerti peserta tersebut gagal.  Sebenarnya juri-juri ini adalah cerminan kita semua.

Para peserta tidak perlu pandangan berunsur teknikal mahupun panduan-panduan untuk berlawak, ini kerana ianya merupakan makanan mereka.  Antara bagus dengan tidak sahaja kita nantikan.  Berjaya mengundang tawa, berjayalah para peserta.

Alasan lain pula, siapa yang boleh dipanggil untuk menjadi juri?   Ingin memanggil seseorang yang arif dalam bidang lawak, bukankah mereka datang dari medium yang sama.  Pastinya mereka-mereka mempunyai hubungan baik di antara satu sama lain.  Kelak sikap berat sebelah boleh timbul.  Jadinya adalah selamat memilih juri-juri dari luar skop supaya tidak berlaku ketidakadilan.

Okay, kita nantikan sahaja persembahan para peserta di minggu ini.  Siapa bakal menjadi mangsa pertama untuk disingkirkan?  Pendapat saya masih terlalu samar, kena tonton pada minggu ini untuk melihat prestasi mereka.  Anda mengundi?  Saya hanya akan mengundi jika dapati mereka benar-benar layak mendapat undian dari saya =)

Apa pun, saya sokong program tempatan dan berharap peserta tanah air akan menang kelak.  Apa hadiah utama ya?  Mungkin hanya akan diketahui pada penghujung episod sama seperti Maharaja Lawak yang lalu.



nota:  hidup tanpa tawa ibarat air kopi tidak bergula... 

No comments :

Post a Comment