Orang seronok berhari raya, saya bersin tanpa henti di pagi hari. Itulah saya! Jika tidak sakit pada hari pertama, penyakit menyusul pada hari berikutnya. Ada-ada sahaja yang menanti. Masuk hari ini sudah tiga hari selsema melekat di hidung dan disusuli pula sakit tekak. Tidak berjangkit dari sesiapa, tiba-tiba sahaja datang menyerang. Akibat dari itu, GM dan Manje Fyrash pula sekarang sedang mengerang sakit sama :(
Seperti tahun-tahun sebelumnya, tiada perancangan khusus di Eid Adha. Cuma tahun ini, Macho Man dan Abang sekali lagi membakar lemang. Gemar betul mereka mengerjakan aktiviti 'berlemang' ni. Merancang saat akhir namun jadi juga, tapi tidak sebanyak Hari Raya lepas. Hanya 17 batang sahaja. Bolehlah buat makan keluarga.
Kebetulan tahun ini, keluarga Abang pulang ke kampung bagi mengerjakan korban dan Abang tidak dapat turut serta. Jadinya dia ada bersama saya di pagi Eid Adha. Tetapi disebabkan pagi raya saya diserang selsema, mood untuk bergambar terus pudar. Selesai solat sunat dan makan di rumah, kami ke pusara. Aktiviti wajib setiap kali di hari raya, tak kira samada Aidilfitri mahupun AidilAdha.
Saat mendengar laungan takbir, kepala menerawang mengenang GP yang jauh di mata, sedang ralit mengerjakan rukun Haji. Walau setiap hari berita dikirim, hati tetap digayut pilu. Tak sabar menanti tibanya Disember, Insyaallah GP akan pulang ke tanah air.
Malam GM berangkat ke Kelantan dengan kapal terbang. Ninie buat Aqiqah buat Cayang Ejiki. Selesai di lapangan terbang, kami adik beradik ke rumah adik saudara di Wangsa Maju bagi sambutan harijadi kedua-dua anaknya. Berlarutan hingga lewat malam juga. Pakej menghadiri sambutan dan sekaligus beraya. Mereka semua dari sebelah GM, seronok bersua!
Semalam pula banyak menghabiskan masa di jalanan. Abang kerja hingga jam 2 petang. Kemudian dia mengarah ke kedai tayar. Ada episod luka di situ namun beri pengajaran kepada kami. Memang lepas ni takkan jengah lagi ke kedai tersebut. Selesai di sana Abang segera pulang ke rumah ibu bapanya. Tak lama pun di sana tapi sempat jugalah kami makan tengahari berlaukkan daging semata. Musim korban, maka lauk terhidang menerima tempias dagingan.
Selepas Asar, kelam kabut pulang ke rumah. Mimie dan Soraya nak datang menziarah. Rumah tiada siapa haruslah bergegas. Ayu Bam Bam tidur tak tahu jam berapa bangun. Nanti nak hidangkan apa pula. Nasib baiklah Ayu Bam Bam bertindak pantas, ada jugalah makanan terhidang buat mereka.
Dari petang hingga ke tengah malam berbual, macam-macam cerita keluar. Sebenarnya lama juga tak jumpa mereka berdua. Kalau jumpa pun tak lama jadinya banyak kisah tidak dapat dikongsi. Kiranya konsep balas dendam. Sambil makan sambil menceceh. Sedap ok!
Akibat dari itu, hari ini bangun pagi lemau. Ingatkan selesema akan berkurangan, rupanya tidak. Bertambah teruk diiringi pedih tekak. Kiranya minggu ini bermula dengan segala sakit dan kepayahan. Sekejapan sahaja Eid Adha berakhir. Bagaimana sambutan rakan-rakan? Maaf saya tiada sebarang gambar untuk dikongsi, selamat menjamu mata dengan patah perkataan yang disusun tunggang-langgang dan mengikut rentak hati.
nota: maafkan daku duhai kawan....bukan sengaja tetapi terpaksa rela....
No comments :
Post a Comment