Umum tahu sekarang Sukan SEA sedang giat berlangsung di Palembang, Indonesia dan seperti yang lepas-lepas Malaysia tidak pernah melepaskan peluang menyertainya. Mengejar pungutan pingat adalah objektif utama penyertaan disamping mengeratkan lagi hubungan di antara negara-negara yang turut serta serta bersaing secara sihat.
Tak perlu rasanya untuk dihuraikan segala kebaikan bersukan terutamanya di peringkat antarabangsa ini. Kita sedar akan faktor-faktor positif. Sejak zaman sekolah, saya tidak akan melepaskan peluang menonton di peti televisyen sekiranya ada siaran langsung mahu pun tertunda. Semangat cintakan negara tiba-tiba meruap setiap kali melihat kontijen Malaysia bertanding. Tak kiralah sukan apa pun, asal ada dari Malaysia akan saya tonton.
Cuma kali ini menonton Sukan SEA melalui kaca televisyen memberi seribu satu rasa bercampur baur terutamanya dengan layanan tuan rumah terhadap negara kita. Saya menerima berita dari teman media yang sedang bertugas, kerjasama amat sukar pihak penganjur berikan sehingga merasakan adakah kerana bernaung bawah Jalur Gemilang lantas menimbulkan rasa kurang senang.
Penonton yakni secara purata merupakan rakyat tempatan begitu benci dengan peserta Malaysia. Kontijen negara sering diejek dan dipermainkan dengan kata-kata menghina. Hingga ada terbawa-bawa ke luar stadium atau pun luar padang. Rakyat Malaysia di sana merasakan tidak selamat untuk keluar, risau akan diganggu. Kenapa berlaku perkara sedemikian ya? Ini perkhabaran saya terima dari sana.
Tatkala lagu kebangsaan berkumandang juga mereka langsung tidak menunjukkan rasa hormat. Sekiranya mereka berada di dalam keadaan kita, perilaku sedemikian akan menjadi isu besar. Emosi membuak-buak hingga sanggup melakukan keganasan kelak.
Tidak cukup dengan itu, ada beberapa acara sukan pengadilnya tidak mahu menyebelahi peserta Malaysia seolah telah dibeli. Ini bukan mendengar khabar angin ya, kerana saya menonton sendiri sewaktu siaran langsung lantas mengakibatkan peserta negara kehilangan pingat emas.
Sejak akhir-akhir ini negara kita dan negara jiran itu mempunyai hubungan begitu tegang. Banyak isu berbangkit namun Malaysia seolah tidak mahu memanjangkan konflik sedia ada lantas mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Tetapi mengenangkan apa yang rakyat meraka lakukan semenjak sebelum Sukan SEA lagi, sakit hati sebenarnya!
Sudahlah rakyat Indonesia mencari rezeki di sini ada bersikap culas dan tidak jujur hingga menyusahkan majikan. Namun, pihak kita tidak pernah memperbesarkan isu tersebut. Cuba jika pihak kita pula melakukan cemar walau sebesar zarah, habis diamuknya. Antara kejadian yang terkesan di hati rakyat Malaysia pastinya insiden membakar bendera Malaysia.
Benar, bukan semua rakyat mereka bersikap sedemikian. Lagi pula kepadatan penduduk mereka berganda, mungkin yang berkelakuan begitu 10% dari itu. Tetapi ianya tetap menyinggung perasaan kita umumnya dan para atlet khususnya. Gelagat ditunjukkan boleh mengakibatkan rasa gementar dan hilang fokus keterlaluan. Pertandingan secara sihatkah itu?
Nampak gaya seolah Malaysia sahaja mahu menjaga hati negara serumpun, tetapi mereka tidak. Beberapa teman saya begitu geram ke tahap maksima hingga melafazkan jika Malaysia dan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik sekali pun, tiada siapa akan rugi. Mereka yang kelak akan rugi adalah.
Sebagai seorang warganegara sejati, saya turut sakit hati lebih-lebih lagi menonton sendiri gelagat penyokong tempatan di sana. Agaknya kerana itulah negara mereka kurang aman dek perangai rakyat yang terlampau emosi. Bersyukur saya dilahirkan di sini, walau sebuah negara kecil, sekurangnya kita diajar menghormati negara orang lain hingga mereka sanggup memijak kepala!
Tapi gelagat peserta Malaysia pun ada juga kurang senang di mata saya terutamanya bila lagu Negara Ku berkumandang. Ada segelintir atlet berat untuk membuka mulut untuk turut sama menyanyikan lagu kebangsaan. Ha, ini pula berkaitan prinsip jati diri rakyat kita. Sepatutnya setelah berhempas pulang mengerah tenaga, hasil berjaya dituai, laungkanlah lagu Negara Ku dengan sepenuh hati sebagai tanda kepuasan. Balik nanti ganjaran menanti.
Saya menonton di rumah pula menjadi emosi dan sebak apabila lagu berkumandang dan bendera dinaikkan. Serasa bersemangat dan bangga melihat Jalur Gemilang berkibar. Adakah saya seorang berperasaan sedemikian atau rasa cintakan negara sudah semakin luntur di kalangan rakyat kita?
Entah, malaslah nak fikir jauh-jauh. Nanti seolah menyalahkan sana sini pula. Sekali lagi saya tegaskan, bukan membenci negara jiran Indonesia tetapi kecewa dengan apa dihidangkan. Ya, saya yakin mereka punya alasan tersendiri di atas segala perbuatan, tetapi kita juga punya alasan terpendam. Janganlah kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar!
Terpulang andai ada yang tersinggung hati lantas membenci saya hanya kerana entri ini, tetapi saya juga punya hak untuk menyuarakan apa dirasa kerana Malaysia tanah tumpah negara!
Gambar di ambil dari Google Image!
nota: Semalam bola sepak Malaysia menang...yea!!!
No comments :
Post a Comment