Ingatkan nak bercerita hal lain tetapi sayangnya external hard disc boleh pula ditinggalkan di rumah. Nampak gayanya cerita-cerita yang dirancang kenalah tangguh dahulu sampai saya rajin kembali. Bukan senang untuk saya rajin seperti hari ini, berceloteh sambil meletak gambar. Tak mengapa, mana gambar yang ada kita kongsi.
Ramai agaknya sejak dua menjak ni tahu saya sakit bersilih ganti. Nak dekat tiga bulan jugalah rasanya begini. Ok bukan nak cerita pasal sakit di sini. Sebenarnya nak kongsi pasal menu makanan yang sedap-sedap (pada tekak sayalah).
Adalah satu hari tu, kalau tak silap setelah dua minggu sakit teruk, tiba-tiba tekak teringin sangat nak makan. Lantas telefon Abang, tanya nak tak dia makan asam pedas di One Utama. Biasalah dia tu, bab makanan Melayu jarang dia tolak. Tak sampai satu jam dia dah terpacul di depan rumah untuk bawa saya ke sana. Lagu pula dia belum makan tengahari lagi.
Sebenarnya saya bukanlah nak makan asam pedas. Saya tidak makan ikan, jadi lauk berasaskan ikan memang tak akan disentuh. Tapi di kedai tersebut ada dua menu yang membuat saya kecur air liur, Udang Sambal Petai dan Baby Kailan. Abang sudah semestilah memesan asam pedas, sayangnya hari itu ikan jenahak dah habis. Hanya tinggal ikan pari. Dia ok sahaja.
Makan di restoran ini, bila memilih lauk ianya termasuk sepinggan nasi putih, sambal belacan dan telur masin. Kebiasaannya memang kami akan pesan dua jenis lauk ini sahaja kerana portion makanan agak besar. Yelah, asam pedas seperiuk kecil dan hanya Abang sahajay menyentuhnya. Saya setakat hirup-hirup kuah sahaja. Harga pun tak adalah mahal mana.
Bila segalanya dah terhidang, saya makan tak ingat dunia. Tambah nasi sampai dua kali. Ratah sayur lagi. Tapi cara masakan sayur tersebut memang lain dari yang lain dan sangatlah sedap kerana belum pernah saya makan baby kailan dimasak sebegitu. Sampai sengkak perut. Usai makan, tiada jalan ke mana pun. Terus balik kerana saya masih belum sihat sepenuhnya.
Selepas beberapa jam makan, perut mula buat hal. Serba tak kena jadinya. Saya sakit perut sampai rasa nak demam dan pada tengah malam isi perut berjaya dikeluarkan dengan jayanya. Mungkin agak menggelikan, tetapi sewaktu saya memuntahkan semula makanan-makanan tersebut terasa apa yang saya makan di tekak. Dan dengan berjayanya saya telah mendemamkan diri sendiri untuk tempoh satu minggu lagi.
Sebelum ini makanan tersebut memang sedap tapi entah apa silapnya. Mungkin sayalah silapnya. Perut tak tahan barangkali. Kalau nak kata keracunan makanan mesti rakan kongsi turut kena sama. Ini tidak, saya sahaja yang kena. Masuk hari ini dah nak dekat dua bulan jugalah saya tidak terliur akan menu tersebut. Masih teringat betapa seksanya sakit dan terpaksa meluahkan semula. Bila terpandangkan gambar, loya terasa sampai hari ini.
Jangan silap tafsir, makanan tersebut sedap. Saya bagi jaminan kerana saya seorang yang cerewet bab makan-makan. Kalau terasa ingin mencuba pergi sahaja ke One Utama. Ala nama kedai saya tidak ingat tapi senang sahaja nak mencarinya. Tahukan KFC dan McD baru di sana. Ok di situ ada satu pintu untuk keluar dan ada air pancutkan? Turun ke bawah dan restoran tersebut di sebelah kanan. Berhampiran tempat kanak-kanak belajar berenang. Cubalah terutamanya peminat asam pedas. Tapi harus diingat, kedai tersebut tiada penghawa dingin dan anda mungkin berpeluh.
Setiap lauk akan disertakan sepinggan nasi putih macam ni. Nampak simple je, tapi telur asin dan sambal belacan amatlah membuka selera
Hidangan wajib Abang di restoran ini. Cuma ikan sahaja yang sering bertukar-tukar. Kuah asam pedas ini boleh tahan tetapi cara masakan lebih kepada Chinese Style. Kalau tak silap semangkuk asam pedas ni beserta nasi RM8.90
Ini pula hidangan wajib saya. Sambalnya pekat melekat ditambah pula dengan petai, aduhai. Nasi panas-panas pun tak terasa. Kalau tak ada udang pun tak apa sebab sambalnya amatlah sedap!!
Inilah baby kailan yang buat saya termimpi-mimpi pada hari tersebut. Di masak sekali dengan daun kari goreng garing beserta ikan bilis halus. Ratah macam tu sahaja memang sedap.
Baru perasan, gambar orang yang menikmati makanan tiada. Hmm..biasalah kami pemalu orangnya. Asal ada gambar makanan cukuplah, gambar kami nanti-nanti pun boleh. Apa lagi, rakan-rakan pergilah terjah ke kedai tersebut. Lepas makan boleh cuci mata di OU. Kami sekeluarga dah muak gila dengan OU, manakan tidak dalam seminggu mesti menjejakkan kaki ke sana.
nota: tengahari makan apa ye??
No comments :
Post a Comment