Kita punya jalan cerita berbeza. Masing-masing dengan rentak tersendiri. Jika pernah bertemu titik persamaan, langkah setapak ke hadapan pasti jalan lain akan dirintis. Nasib sabut timbul, nasib batu tenggelam dan suratan rezeki sememangnya telah tertulis. Orang ini rezekinya begini, orang itu rezekinya begitu.
Saya sememangnya cemburu tatkala melihat kejayaan orang sana, orang sini. Selalu bertanya bila agaknya hendak menjadi seperti mereka. Tatkala itu, lelah terasa menusuk dada apabila membandingkan diri dengan individu berjaya. Ibarat langit dan bumi bezanya. Namun segera saya tersentak apabila sedar liku jalanan kita berbeza. Jadi biarlah sahaja mencemburui mereka-mereka itu dengan aura positif, manalah tahu satu hari kelak saya pula bakal merangkul kegemilangan.
Kerana itu saya tidak faham apabila ada sesetengah individu menggunakan akal pendek sanggup menikam belakang waima saudara sendiri. Perlu ke? Kita lihat dia mewah, dia bahagia, tahukah kita pula bagaimana dia mengharungi kepayahan hidup sebelum berada di tempat itu? Kita tampak dia sempurna, segala apa dilalui indah belaka, tapi tahukah kita tiada siapa sempurna di dunia dan mungkin keindahan hidup dikecapi mungkin satu cabaran dan dugaan Allah turunkan buat dia?
Kesimpulannya, kita tidak tahu luaran dan dalaman seseorang itu. Oleh itu janganlah kita sesuka hati menyakiti mereka dengan sifat buruk kita yang dikuasai Syaitan. Kadangkala dengan sepatah perkataan keluar dari mulut, ibarat sembilu tajam menusuk ke jantung. Meski berjaya dikeluarkan kelak, bisa tetap tinggal. Tatkala itu, segalanya bakal berubah dan kita adalah antara penyumbang utama.
Payah sebenarnya bergelar manusia tetapi itulah cabaran buat khalifah dunia yang Allah turunkan. Kalau jadi binatang pun susah juga ya. Tak ada yang mudah di dunia. Tetapi jangan kita berakal ini menjatuhkan taraf pemikiran seperti haiwan pula kerana mereka juga tahu erti kasih sayang sesama sendiri, inikan kita manusia. Fikirkanlah...
Selamat memulakan minggu baru!!!!
nota: berhentilah menyakiti.....
No comments :
Post a Comment