Musim hujan kembali lagi. Asal petang sahaja hujan mencurah, Alhamdulillah dapat juga menghilangkan jerebu yang hebat melanda seminggu dua ni. Tidur malam pun kurang meruap panas, tak adalah tinggi nak membayar bil elektrik dek penangan penghawa dingin tanpa henti.
Tapi hujan lebat ni, risau pula dengan berita banjir. Kasihan melihatkan mangsa banjir terpaksa berdepan musibah sedemikian. Sepanjang usia, Alhamdulillah tidak pernah berdepan bencana alam sebegitu. Yang pasti mangsa bah pasti runsing dan kalut fikiran. Mana nak fikir barang musnah, keadaan rumah tunggang-langgang, kehidupan tak tentu arah dan macam-macam lagi.
Kita manusia beginilah gayanya. Serba tak kena!! Panas terik salah, hujan lebat salah. Apa sebenarnya kita mahukan. Tatkala mentari terik berbahang, kita berdoa mohon diturunkan hujan, tanpa disedari Allah kabulkan doa dengan curahan air dari langit, kita merungut meminta mentari kembali bersinar. Bila agaknya lidah melafazkan kesyukuran di atas kurniaan tersebut?
Dalam hidup, matahari dan hujan adalah sebahagian kisah. Pasti banyak lagi telah kita lakukan dengan bertindak dangkal. Tidak pernah puas dengan apa dihidangkan di dalam kehidupan sehingga tanpa disedari kita kufur dengan segala apa yang Allah turunkan.
Saya tidak melihat jauh, tetapi menerawang kembali ke dalam kehidupan sendiri. Sebagai manusia, kepuasan tidak pernah ditakluki. Ada sahaja keinginan dan kehendak yang dipohon moga Allah perkenankan. Setiap kali berjaya, setiap kali itu juga semakin lupakan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Hanya tersedar apabila musibah melanda. Walau kecil diuji, seolah menanggung derita beribu tahun lamanya. Itulah manusia dan Itulah saya!!
Moga Allah (mohon lagi) berterusan memberi peluang untuk saya terus menghayati erti kesyukuran dari pelbagai segi dan berusaha untuk menjadi seorang hamba yang semakin menghampiriNya dan sebagai timbal balik, moga Allah (mohon sekali lagi) beri belas ihsanNya dan kurangkan segala beban ditanggung pada saya dalam melayari kehidupan di dunia sehingga penjanjian bertemuNya hadir suatu hari nanti.
nota: berusaha dan terus berusaha...
No comments :
Post a Comment