Followers

Thursday, September 22, 2011

::Luahan Hati Hari Khamis::

Agak sibuk juga hari ni menyiapkan segala perkara yang tergendala semalam.  Tak pasti samada berbaloi atau tidak melaksanakan apa yang diminta, harapnya tidaklah seperti yang saya sangka.  Dah penat mengharap sebenarnya, takut untuk meletak harapan setinggi gunung.  

Masih tercari-cari apa sebenarnya saya harus lakukan buat masa ini.  Benar setiap pilihan ada baik buruk cuma jika punya kesempatan, ingin meminimakan segala apa yang buruk supaya sendiri tidak menanggung beban rasa.  Pada usia sebegini, saya perlu sesuatu yang pasti, dan bukannya pada tahap mencuba-cuba mana tahu mengena.

Saya tidak pernah mencari kesempurnaan di dalam hidup, begitu pun saya juga tidak mudah berpuas hati dengan apa yang ada.  Bukan untuk menjadi terbaik tetapi bagi saya apa sahaja diusahakan perlu dilakukan sebaik mungkin sehingga memberikan hasil memuaskan hati jika bukan bagi pihak ketiga, cukup puas di hati.

Mungkin kerana itu, ujian datang bertimpa.  Adakah saya tidak bersyukur dengan pemberianNya sebelum ini?  Hati saya yakin berkata TIDAK, malahan setiap saat saya sering memanjat kesyukuran di atas segala kurniaan.  Bukan untuk menunjuk-nunjuk ketulusan hati, tetapi bencana menimpa pun saya anggap kurniaan Illahi.

Namun saya yakin, segala apa yang datang hari ini merupakan refleksi dari apa yang telah saya lakukan semalam, hari sebelumnya dan juga masa lampau.  Pembalasan dari Allah tidak diturunkan segera.  Mungkin hari ini saya sedang melalui proses pembalasan di atas kekhilafan lalu.  

Tidak mustahil dalam bercita-cita menjadi individu disenangi dan dihormati, saya telah menyakiti hati dan perasaan orang lain.  Tidak pasti juga, dalam mengejar apa diingini saya telah menindas individu lain tanpa disedari dan mungkin juga dalam menggapai mimpi saya telah menzalimi insan lain segalanya demi kepentingan DIRI SENDIRI dan kerana itu ketenangan di hati begitu payah untuk dimiliki.  

ATAU yang paling utama, saya telah mengabaikan siapa DIA MAHA PENCIPTA, MAHA BERKUASA, YANG MENURUNKAN SEGALA REZEKI DI DUNIA, YANG MENGATUR SEGALA APA DI MUKA BUMI DAN YANG MENJADI TEMPAT MEMOHON DAN MENGADU kerana itu saya terpaksa menelan segala kepayahan dan selayaknya untuk tidak merungut.

Lantas, saya tidak putus-putus mohon diampunkan segala salah dan silap dariNya dan menghulurkan kemaafan buat sesiapa sahaja di dunia andai sudi memafkan dan mengampunkan segala dosa walau sebesar kuman.  Jika bukan untuk kesenangan di dunia ini, memadai buat bekalan perhitungan di hari penentu kelak.    

Apa yang pasti, harapan tetap harapan dan jika ianya memberikan hasil, ramai individu akan menerima impak di atas kejayaan tersebut.  Moga Allah melihat apa yang kami usahakan ini antara yang paling ikhlas selama ini kerana ramai bergantung harap kepadanya.




nota:  bukan rezeki untuk diri sendiri...
 

No comments :

Post a Comment