Followers

Friday, September 9, 2011

::Cukai Prepaid 6%::

Rasanya hari ini isu caj cukai ke atas pembelian kad pra-bayar hebat diperkatakan.  Sana sini memperkatakan perihal cukai 6% tersebut.  Rata-rata kesal dengan tindakan Kerajaan mengenakan caj sedemikian.  Saya tidak menggunakan talian pra-bayar tetapi jika saya adalah pengguna, mau naik angin juga.

Bukan kecil nilai dikenakan dan wajarkah pengguna dikenakan sedemikian rupa?  Ini perkiraan bodoh saya ya, bayangkan purata pengguna talian telefon menambah nilai berjumlah RM30 sebulan.  Ini beerti, RM1.80 akan dikenakan.  Dengan RM1.80 itu pengguna telefon boleh menelefon sekurang-kurangnya tiga orang untuk berbual dalam satu minit.  Besarkan nilai cukai tersebut?

Dari sudut pandangan lain pula, katakan pengguna pra-bayar di Malaysia seramai 1,000,000 juta orang.  Berdasarkan purata pemakaian RM30 sebulan, Kerajaan mengutip cukai sebanyak RM1,800,000.  Bukan satu nilai yang kecil diperolehi, tetapi adakah Kerajaan akan gunakan pungutan hasil tersebut demi kepentingan rakyat Malaysia?  Apa yang kita bakal dapat dari 6% cukai ini ya?

  
Sudahlah kehidupan sekarang semakin terhimpit ekoran pelbagai barangan naik harga, kini tiba giliran perkhidmatan telefon pula.  Penggunaan telefon amat penting dewasa ini sejajar perkembangan teknologi.  Kita bukan berada di era 15 tahun dahulu di mana telefon bimbit bukan satu keperluan.  Nampak gayanya, kenalah rakyat Malaysia berundur setapak ke belakang dan mengembalikan populariti pondok telefon.  Agaknya ini yang Kerajaan Malaysia mahukan.

Semakin lama semakin mengarut caj cukai dikenakan.  Perdebatan perihal cukai oleh Astro masih belum selesai sepenuhnya kini timbul pula isu baru.  Tertanya-tanya adakah rizab negara menyusut nilainya dan Kerajaan terpaksa mengambil langkah sebegini rupa.  Tetapi adilkah membebankan rakyat sendiri?  Tiada jawapan dan pening kepala memikirkan keadaan semasa.  

Saya belum punya hati meneliti alasan Kerajaan di atas pungutan cukai 6% tersebut, cuma buat masa ini saya kecewa dengan keputusan di ambil.  Kerajaan harus sedar jika pengguna punya kedudukan kewangan kukuh, mereka tidak akan memilih menggunakan prepaid.  Ramai pihak membangkang dan menggesa Kerajaan mengkaji semula.  Harap pihak berwajib dapat mempertimbangkan perkara ini sewajarnya.

Kerajaan tidak sedar atau pun buat-buat tidak sedar akan implikasi perkara ini.  Secara tidak langsung juga, Kerajaan telah menindas rakyat kurang berkemampuan.  Janganlah pula kata "jika tidak punya wang janganlah pakai telefon bimbit".  Setiap orang berhak untuk memakai dan memilikinya  terutama Malaysia adalah antara negara maju.  Kini rakyat berhadapan keadaan di mana perbelanjaan melebihi pendapatan.  Sampai bila kita akan hidup di dalam keadaan sebegini sedangkan ini negara kita.           

Mungkin Kerajaan dan syarikat telekomunikasi mensasar untuk menarik minat rakyat Malaysia melanggan talian telefon bimbit secara post-paid.  Entahlah....yang pasti saya tidak bersetuju 150% perihal cukai 6% tersebut dan adakah mereka mendengar keluhan rakyat?  hmmm...........




nota:  Malaysia oh Tanahairku....       

No comments :

Post a Comment