Followers

Saturday, September 3, 2011

::Lain Orang Lain Masalah::

Tiba kita di hari Sabtu, beerti tinggal satu hari sahaja lagi sebelum kita semua kembali ke rutin harian.  Pasti ramai merungut kerana tidak puas bercuti, tapi nak buat macamana?  Masa bergerak terlalu pantas.  Putaran jam enggan berhenti walau sesaat.

Semakin meningkat umur, semakin tidak terasa kemeriahan berhari raya tetapi lebih menghayati keindahan Syawal dari mata hati.  Dalam separuh hati meraikan, tiap-tiap hari tetap juga keluar mengukur jalan.  Ada sahaja lokasi dituju dan semestinya pergi beraya.  Sampai berat jugalah perut dek diisi pelbagai juadah.  

Namun, dalam keseronokkan berhari raya masih ada juga insan-insan terpalit kisah duka.  Kita hidup di dunia masing-masing punya masalah tersendiri.  Bukan namanya manusia jika tidak diuji dengan 1001 musibah.  Seorang teman (lelaki) baru sahaja meluahkan kepiluan di hati atas perbuatan teman wanita.  

Seluruh kasih sayang telah diberikan, sehingga tiada lagi ruang kosong boleh diisi dengan kebencian.  Silap dia kerana menyayangi kekasih hati sedemikian hingga sanggup melakukan perkara tak sewajar dan di luar tanggungjawabnya.  Bagi saya walau sebanyak mana pun kita menyayangi seseorang, tinggalkan sedikit kebencian di hati.  Namun apabila berkaitan hati dan perasaan, terlalu sukar untuk ditebak.  Cinta itu buta!!  

Dia telah beri peluang secukupnya buat kekasih hati untuk berubah.  Sanggup menerima buruk baik diri, tapi sayang segalanya hancur dengan kecurangan.  Jangan ingat lelaki sahaja kerap berselingkuh, hari ini wanita juga tega berbuat sedemikian.  Lebih dikesali, wanita tersebut sanggup menggunakan teman saya demi kepentingan diri.  Hati mana tidak sedih dan kecewa bila madu dihulur tuba diberi sebagai balasan.     

Mendengar luahan hatinya, begitu tersentuh hati dan berjaya mengundang hiba.  Tidak dinafikan teman saya mewah dan lebih dari mampu.  Seorang peniaga muda begitu berjaya dan berkaliber serta menyandang gelaran berpangkat di usia sebegitu.  Sebijak-bijak dan pintar di dalam  menguruskan perniagaan, akhirnya tewas di kaki insan bergelar wantia.    

Teman saya telah nekad, saya menyokong lantaran antara mereka tiada sebarang ikatan sah.  Tapi saya khuatir dia akan cair bila berhadapan dengan insan yang begitu disayangi.  Jika  pertama kali berlaku di antara mereka, janji untuk berubah masih lagi relevan.  Tetapi ini adalah kali ketiga dan masih tiada lagi sebarang perubahan.  Saya mohon teman saya kental dan berusaha menjadi lelaki sejati.  Bukannya seorang lelaki yang hanya dijadikan mangsa pijakan.  

Tetapi, wanita itu terlupa.  Dunia ini bulat, what comes around goes around.  Hari ini mungkin bangga mengundang lelehan air mata Sang Lelaki, tetapi tidak sedarkah bahawa air mata yang mengalir itu juga doa yang dipohon oleh orang teraniya supaya balasan diberikan setimpal.  

Eh!!  Kenapa saya berceloteh perihal orang?  Sepatutnya kita bercerita perihal Hari Raya.  Belum punya rasa untuk berkongsi lagi pun gambar di dalam kamera Macho Man dan belum dipindah keluar.  Entahlah...pening mendengar cerita orang.  Itu belum lagi memikirkan masalah diri sendiri!!!  "Ya Allah, terlalu luas cabaran Engkau berikan kepada kami manusia hina ini.  Berikanlah sedikit kasih sayang Mu dan ringankan beban sedia ada."

Okeylah, Selamat berhujung minggu semua dan selamat meneruskan aktiviti Hari Raya.  Jaga permakanan, jangan tambah berat badan berganda-ganda (peringatan untuk diri sendiri ni) kerana saya telah dapat merasakan beberapa kain dan seluar agak ketat untuk dikancing.





nota:  esok masih ada lagi tempat bakal dituju, Insyaallah...

    

No comments :

Post a Comment