Followers

Wednesday, September 28, 2011

::Kisah Rambut::

Terlanjur menggodek komputer riba Abang ni, sambil-sambil kita bercerita dan saya sedang mencuba meletakkan watermark di dalam gambar.  Harapnya berjaya.   

Ok, tak perlu berselindung lagi, sememangnya saya tidak memakai tudung.  Di awal zaman remaja dahulu, macam-macam gaya rambut saya mencuba.  Semuanya mendapat khidmat nasihat pakar rambut (katanya) walau terpaksa melabur ratusan ringgit setiap kali berkunjung.

Hampir setiap tahun saya mewarnakan rambut hinggalah sampai ke tahap saya bosan dan tak tahu warna apa hendak digunakan.  GM sering menghamburkan kata-kata marah bimbang implikasi kelak, namun sebagai remaja yang keras kepala saya memandang enteng apa sahaja dituturkan GM.

Dalam 5 tahun lepas jika tidak silap, saya mula berhenti mewarna dan menggayakan rambut mengikut peredaran masa.  Kenapa saya sendiri kurang pasti, mungkin atas sebab peningkatan umur dan telah mula menilai setiap wang mengalir keluar.  Ala-ala bertaubatlah ni.  Lantas saya berhenti mengunjungi salun dan hanya akan ke sana jika hendak memendekkan rambut, itu pun saya lebih kerap menggunakan bantuan seorang rakan datang ke rumah.

Apa yang saya suka bila tidak menyalutkan sebarang warna, rambut kelihatan sihat dan tidak perlu membuat sebarang treatment.  Penjimatan berganda, tetapi helaian rambut saya mulai rosak sedikit demi sedikit.  Paling ketara apabila di bahagian tertentu rambut bertukar menjadi warna putih seperti uban. 

Mula-mula saya mengetahuinya, panik tak terkata.  Umur baru sahaja 20-an tetapi kepala mulai dipenuhi uban.  Walau hanya beberapa helai, ianya cukup merisaukan saya.  Mujur ianya tidak berjangkit teruk dan helaian putih kekal bertapak di kepala saya.  Rasakan, pandai sangat menggunakan bahan kimia berlebihan, inilah akibatnya.

Setiap kali menyisir rambut dan terpandangkan helaian rambut putih tersebut, ianya banyak mengingatkan saya seribu satu perkara terutamanya penambahan umur.  Usia tua semakin mengejar dan zaman remaja jauh saya tinggalkan.  Walau ramai menyarankan saya membuangnya, tetapi saya berasa sayang pula.  Biarlah uban itu di situ.  

Entah macamana, dalam bulan puasa baru-baru ini, berderai jatuh rambut-rambut di saat saya menyisir rambut dengan jemari.  Rambut gugur perkara biasa kerana memang terlalu banyak rambut yang gugur.  Terlalu berat barangkali lantaran ini adalah julung kali saya menyimpan rambut panjang sebegini.  Paling-paling sebelum ini hanya setakat di bahagian tengah belakang badan.  Kini hampir mencecah ke pinggang.

Dalam banyak-banyak, terpandang akan saya sehelai rambut berwarna putih.  Alamak!!  Dah gugurlah...Terus minta bantuan Ayu Bam Bam bagi memastikan ada lagikah uban di kepala.  Cari punya cari, sudah tiada.  Ala, sedihnya rasa.  Gugur jua akhirnya.  Lama juga ia mendiami di atas kepala.  Kelakarkan, rambut yang dianggap rosak pun saya sayangnya secara berlebihan.  

Tak mengapalah, akan sampai masanya nanti hitam akan bertukar warna sama ada bersedia atau pun tidak.  Sehelai itu hanya sebagai peringatan dan pengajaran supaya menjadi lebih baik dari sekarang dan yang pasti bertudung adalah lebih baik dari segalanya.   


Alamak kenapa gambar ni tak betul kedudukannya?  Adalah mana-mana silapnya ni.  Tak mengapalah, nama pun percubaan.  Ok, nampak tak rambut tersebut.  Inilah dianya yang telah gugur.  Panjangkan? 



nota:  dah tak ada cerita lain agaknya??

No comments :

Post a Comment