Followers

Tuesday, September 13, 2011

::Jurnal Seminggu Berhari Raya::

Seronok apabila melihat teman siber berhari raya.  Pelbagai gelagat dan ceritera dikongsikan di sini.  Bagi saya, tiada apa menarik sepanjang minggu Syawal.  Rutin biasa seperti tahun sebelumnya, oleh itu saya ambil jalan singkat dengan berkongsi jurnal apa berlaku dari 1 Syawal hingga 6 Syawal.  Ada yang sempat gambar dirakam dan ada yang tiada.

Tahun ni baju raya hanya sepasang, dipakai pada Aidilfitri pertama.  Bila dah sepasang, rajin pula tiap-tiap hari nak sarung baju kurung ke badan.  Itu namanya mengada-ngada, tapi tak mengapa saya gunakan konsep kitaran dari baju tahun-tahun terdahulu.  Tak baik membazirkan, lagi pula saya jarang memakai baju kebangsaan, kecuali untuk urusan rasmi.  Semua baju masih elok tergantung.   


Jom sertai jurnal hari raya saya pada tahun ini!!

1 Syawal 1432H, 30 Ogos 2011 (Rumah - Kubur - Rumah Arwah Nek Long, Jalan Ipoh - Rumah - Ampang, Rumah Siti Cutie - Rumah)

Acara pagi 1 Syawal saya sama seperti rakan lain.  Berada di rumah, menanti GP pulang dari Solat Sunat Aidilfitri, makan keluarga, bergambar dan bersalam-salaman.  Selesai di rumah, kami bergerak ke pusara arwah adik saya, nenek dan juga moyang.  Mereka bertiga bersemadi di Tanah Perkuburan Jalan Kuching.  Seperti tahun-tahun sudah, GP akan meluangkan masa membaca Surah Yassin dan kami pula menjalankan tugas pembersihan.  Kemudian kami terus bergerak ke rumah keluarga GM di Jalan Ipoh.  Di sini semuanya sepupu GM.  Puas mengisi perut dan beramah mesra, kami ambil keputusan pulang rumah untuk berehat.  Petang macam tu, sepupu saya Abang Ngah sekeluarga datang menziarah dan malam kami semua berhari raya di rumah Siti Cutie.  Abang, Mimie, Soraya turut serta tapi sayang tiada sebarang gambar.  Penat berhari raya barangkali, semua dah lemau.

 Pagi-pagi dah buli Ayu Bam Bam.  Masam muka dia


Pagi raya bersama kepesatan arus teknologi.  Walau beraya, tidak boleh lekang dengan gajet sedia ada


Bergambar bersama Buah Hati yang begitu teruja di pagi raya.  Melompat ke sana sini


Sessi bersalaman, memohon moga kesalahan di ampunkan.  Sebak di hati namun cuba bertahan supaya tiada adegan airmata terlampau

Sekeluarga bergambar kenangan.  Kekurangan ahli lantaran mengikut giliran berhari raya


Tahun ini tema kami, kain sama corak berlainan warna.  Setiap tahun mencipta kelainan



Bergaya sendirian sebelum keluar rumah


 Persiapan sebelum menziarah pusara


GP meluangkan masa di pusara anakanda tercinta, Noor Lailatul Marina dan Buah Hati jadi peneman setia Akinya


Pusara Arwah Nenda aka Mak dan juga Moyang aka Onyang.  Moga Allah cucuri rahmat ke atas dua insan yang membesarkan saya dari dua jari tapak kaki.  Oh, rindunya saya pada mereka!!




Kutipan raya di hari pertama Buah Hati.  Sampai tak boleh nak pakai songkok, penuh dengan angpau.  Idea GM simpan di dalam songkok.  Benarlah Hari Raya anak-anak akan merasai keseronokkan berganda

2 Syawal 1432H, 31 Ogos 2011 (Rumah - Rumah Kak Ngah Ita, Ampang - Rumah - Rumah Angah Izan, Klang - Rumah)

Ziarah Hari Raya bermula jam 3 petang.  Kami menuju ke rumah Kak Ngah Ita di Ampang.  Kak Ngah Ita isteri kepada Angah Rizal yang datang beraya pada hari pertama.  Mereka sekeluarga menetap di Perak dan pulang berhari raya di sebelah Kak Ngah.  Kemudian saya berpecah dengan GM dan Macho Man kerana ada rakan datang menziarah di rumah.  Pulang dengan segera untuk melayan tetamu.  Selesai mereka berhari raya, saya dan Abang bertolak ke Klang, rumah sepupu GM yang juga makcik saya Angah Izan.  Di sana agenda melepak bersama saudara mara sambil bergosip dan menikmati juadah hasil tangan Angah Izan.  Pulang lebih kurang jam 12 malam.


Abang Kerul dengan Abang Farouk datang beraya di rumah.  Kiranya mereka ini tetamu pertama saya di hari raya.  Terima kasih kerana sudi datang dan kiriman duit raya buah anak buah semua



 Mereka semua pangkat ibu kepada saya tetapi mereka semuanya muda belaka.  Cantikkan makcik-makcik saya..he..he..he..

nota:  Baju Kurung dipakai adalah baju raya tahun 2009

3 Syawal 1432H, 1 Ogos 2011 (Rumah - Rumah Cik Ina, Keramat - Rumah Mak Ngah Mizah, Wangsa Maju - Hospital Kuala Lumpur - Rumah Abang Farouk, Royal Domain Mont Kiara)

Dari rumah kami terus ke Keramat, juga rumah sepupu GM, Cik Ina.  Baru raya ketiga dah ada rumah terbuka.  Biasalah, penduduk tetap Kuala Lumpur namanya, tak ada ke mana-mana terus sahaja buat rumah terbuka.  Saudara mara pun ramai boleh hadir.  Dari Keramat, kami menuju rumah seorang lagi sepupu GM, Mak Ngah Mizah di Wangsa Maju.  Kedua-dua buah rumah tersebut Abang tidak turut serta kerana telah mula bekerja.  Lewat petang baru dia ada sama.  Itu pun dia jemput saya dari Wangsa Maju untuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk melawat ibunya yang sakit.  Baru sahaja ibu Abang keluar dari hospital, malam raya kedua masuk semula kerana kondisi agak teruk.  Pembedahan harus dilakukan segera.  Dari hospital, kami menuju ke Bukit Kiara, rumah Abang Farouk yang datang beraya di rumah saya pada hari raya kedua.  Walaupun rumah bujang, tetapi hidangan hari raya terbaik!  Adik lelaki saya, Macho Man sekeluarga turut serta.  Terima kasih menjemput kami semua.

 Makan jangan tak makan.  Tengok perut, dah macam Big Mac.  Sejak Hari Raya rasanya berat badan naik berkilo-kilo.  Tak berbaloi jaga perut sepanjang bulan puasa


Tersandar kekenyangan sambil memegang Si Manja Al-Fyrash dan bergambar bersama Tuan Rumah, Abang Farouk


Semenjak memegang gelaran Fotografi Amatur, memang susahlah nak ada gambar Abang.  Ada peluang dia bergambar dengan Tuan Rumah


nota:  Baju Kurung dipakai ditempah untuk Hari Raya Aidil Adha tahun 2006


4 Syawal 1432H, 2 Ogos 2011 (Rumah - Rumah Abang Kerul, Bandar Baru Sentul - Rumah Abang Zack, Beranang - Nasi Ayam Hainam, Bukit Bintang)     

Hari Raya keempat, saya berhari raya bersama rakan-rakan Abang.  Destinasi pertama rumah Abang Kerul di Bandar Baru Sentul.  Ke sana bagi membalas kunjungan dia tempoh hari.  Selesai berhari raya, kami berempat menuju ke Beranang pula, rumah Abang Zack juga teman Abang.  Lama tidak bersua dengan Abang Zack dan pertama kali berjumpa anak-anak dia.  Lama juga mereka berbual tetapi terpaksa pulang kerana Abang Kerul ada hal dengan ibunya.  Singgah sekejap di rumah dia, kemudian kami ke Bukit Bintang.  Lelaki-lelaki ini kelaparan dan kepingin nasi.  Susah juga mencari tempat makan lalu terus sahaja ke Bukit Bintang bagi menikmati hidangan nasi ayam.  Pulang ke rumah dengan perut sendat!!


 Beramai-ramai di rumah Abang Zack dan Azie.  Lama tak jumpa mereka berdua semenjak pindah jauh ke Beranang.  Anak pun dah dua orang


Saya bersama Azie.  Walau anak dah dua, badan tetaplah maintain.  Saya ni kalau kata anak 5 pun orang percaya


Jejaka Tampan..ha..ha..ha..Berkawan dari kecil, rumah dekat-dekat.  Sekarang semua dah nak melangkah ke era remaja purba

nota:  Baju Kurung dipakai ditempah sempena sambutan Syawal tahun 2006


5 Syawal 1432H, 3 Ogos 2011 (Rumah - Pertama Komplek - Rumah Abang Lan, Hulu Klang - Hospital Besar Kuala Lumpur - Rumah Nisa, Bandar Baru Sentul - Rumah)

Hari kelima di bulan Syawal, masih lagi memenuhi undangan dari rakan Abang, Abang Lan yang tinggal di Hulu Klang.  Sebelum beraya, bawa adik Abang ke Kompleks Pertama untuk menempah baju untuk persembahan.  Sampai di rumah Abang Lan, seronok mereka bertemu rakan-rakan zaman remaja, secara kebetulan hari ini masing-masing mengendong anak.  Hanya Abang sahaja masih solo..he..he..he..Lama juga berada di rumah Abang Lan, sempat jugalah isterinya masak makanan baru.  Dari sana kami terus gerak ke Hospital.  Abang ingin melihat situasi ibunya yang baru lepas melakukan pembedahan.  Selesai menziarah, Abang mengajak ke rumah adik perempuannya, Nisa untuk makan malam.  Walau perancangan kecemasan, sedap juga lauk pauk dimasak tuan rumah.  Sekali lagi, balik dengan keadaan yang begitu kenyang.

 Sebelum ada yang balik, bergambar beramai-ramai dahulu.  Ejump paling tak menahan gayanya


Bergambar bersama para ibu.  Kebetulan anak mereka semua perempuan.  Saya??!! he..he..he..


Lelaki pun nak bergaya juga.  Perut masing-masing, dahsyat!!!


Budak yang paling susah untuk diambil gambar, tapi tetap memberikan pose menarik

nota:  Baju kurung dipakai ditempah pada tahun 2009

6 Syawal 1432H, 4 Ogos 2011 (Rumah - Rumah Ejump, Kg Batu Muda - HKL - Old Town Cafe, Bandar Baru Sentul - Rumah)

Syawal keenam, berhari raya di rumah Ejump dan Nova.  Tak berapa seronok sewaktu berada di rumah mereka kerana saya berhadapan masalah sengugut amat sangat.  Nak bergelak ketawa pun tak bermaya.  Tapi tetap jugalah yang paling lama di sana.  Memang selalu macam tu, kalau ke rumah mereka mesti paling lewat pulang.  Ada sahaja yang disembangkan.  Jika bukan kerana Abang nak melawat ibu dia di hospital, pasti lagi lewat pulang.  Dah jadi rutin harian buat Abang ke HKL sementara bercuti.  Usai di HKL, Abang telefon Abang Kerul dan ajak bersantai di Old Town Cafe.  Berborak sambil makan bagi mengisi jam-jam terakhir sebelum esok menjengah kerana keesokkannya semua telah mula bekerja..

 Semalam di rumah Abang Lan, hari ini di rumah Ejump.  Ternyata Hari Raya punya hikmah dengan mengumpulkan rakan lama, kasih kembali bertaut dan ikatan bertambah mesra


Kami bersama Tuan Rumah, gigih menjamu tetamu hadir.  Saya yang tak berapa ceria menanggung kesakitan, tapi tetap berusaha memberikan sesuatu buat kenangan


Kami pun nak bergambar sama juga


Edisi seminggu berhari raya berakhir di Old Town White Cafe.  Abang perlukan makanan pejal dek kerana kesakitan yang hadir secara tiba-tiba

 nota:  Baju kurung ditempah pada awal tahun 2007, kalau tak silap menghadiri perkahwinan adik lelaki Abang di Kelantan


Sekejap sahaja, tempoh seminggukan.  Ke sana sini, hari berganti ibarat menyalin baju seharian.  Begitu pantas sehingga merasakan tidak puas cuti sebegitu lama.  Walau ghairah ke sana ke mari, hakikatnya hati saya dijengah kerinduan.  Tak apalah, biar saya sahaja tahu perihal ini.  Namun saya akui terasa benar kehilangan.  Mungkin segalanya telah tersurat dan kini saya hanya mengenang segala memori bersama.  

Jika berkesempatan, saya sambung jurnal kedua pula tapi tiada apa yang menarik.  Siapa yang mengikuti Twitter pasti tahu kami berulang-alik dari hospital ke rumah.  Permata-permata hati di rumah sakit hingga di tahan di hospital.  Ibu Abang juga masih ditahan, jadinya minggu kedua selain bekerja, kami berhari raya di hospital.


nota:  bibir mengukir senyuman tetapi hati..."Ya Allah hebat benar dugaanMu"








No comments :

Post a Comment