Followers

Sunday, November 27, 2011

::Kerana Pulut Santan Binasa::

Tak pasti pula sama ada ini berita baru ataupun saya yang ketinggalan keretapi. Yang pasti agak terkejut juga membaca kenyataan dari artis senior, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Kak Ogy). Ternyata dia benar-benar marah dengan pasangan pengacaranya Johan Raja Lawak sepanjang mengendalikan Festival Filem Malaysia (FFM) yang lalu. Dari apa yang diluahkan, nampak gaya Johan akan berhadapan masalah besar apatah lagi Kak Ogy sememangnya terkenal dengan ketegasan dan mulut lepas.  Apa pandangan anda? Benarkah Johon kurang ajar ataupun Kak Ogy sahaja yang agak emosional dengan gelagat Johan?  Mungkin Johan tidak berniat dan hanya mahu membuat orang ketawa tanpa menjangka ianya bakal menyinggung hati insan lain.  Saya tidak berpeluang menonton FFM, tetapi menurut Ayu Bam Bam, elok sahaja Kak Ogy bergelak ketawa di pentas, tidak nampak pula riak marah di wajahnya. Jika benarlah dia marah sememangnya Kak Ogy hebat berlakon hingga berjaya menyorok apa yang sebal di hati. Profesional betul! Bagi yang belum mengetahui atau tidak membaca artikel tersebut, saya sertakan di bawah ini, saya ambil dari sini---> Utusan Malaysia Online - HiburanKak Ogy berhasrat mengambil tindakan undang-undang ke atas Johon walaupun tuan empunya badan akan datang mememohon maaf darinya.  Benar-benar tersinggung Kak Ogy!  Tetapi jika boleh tidak perlu rasanya mengheret sehingga ke kamar mahkamah.  Jika boleh diselesaikan secara baik adalah lebih afdal.  Yelah, sempena kedatangan Tahun Baru, ambil pendekatan yang berbeza selain dari mengikut amarah hati. Sedikit iktibar buat kita semua, "Cakap siang pandang-pandang, Cakap malam dengar-dengar"  Jangan pakat redah kerana hati kita tidak sama dengan hati orang.  Kita mungkin boleh menerima apa sahaja tetapi individu lain belum tentu tahan dengan kepedasan kata-kata.  "Kerana mulut badan binasa"

Johan kurang ajar!– Ogy Ahmad Daud



Jenaka lepas cakap Johan telah menyebabkan Ogy begitu kecil hati semasa FFM ke-24 berlangsung baru-baru ini.



INI bukan cerita rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi. Tidak!Ini cerita bagaimana terlukanya seorang primadona tanah air terhadap seorang junior dalam industri hiburan. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk menghormati orang yang lebih dewasa.
Episod ini berlaku semasa Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.

Idea pihak Astro menggabungkan Fauziah Ahmad Daud, 49, dengan Johan Raja Lawak sebagai hos mungkin dianggap boleh memberikan kelainan.
Iyalah, gandingan baru dan lama siapa yang tak mahu lihat, pentas boleh jadi riuh rendah dibuatnya.

Namun, siapa sangka sebenarnya berlaku konflik senyap yang mungkin tidak disedari oleh kebanyakan penonton.
Kekecewaan diluahkan oleh Fauziah atau Ogy ini mengenai sikap Johan terhadapnya sepanjang mengemudi majlis yang disaksikan hampir satu juta penonton itu.

Dakwa Ogy, Johan telah mengaibkannya di hadapan para penonton termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan jenaka tidak relevan sepanjang majlis berlangsung.
“Hampir satu juta penonton dapat saksikan bagaimana Johan memperlekehkan, mengaibkan dan mempersendakan saya di pentas FFM. Ini bukan gelanggang Raja Lawak. Di depan tetamu kenamaanteri pula tu.

“Dia memang kurang ajar. Bukan setakat bakat saya, malah arwah ibu dan bapa saya turut dipersenda sesuka hati. Namun yang paling saya terkilan, dia boleh mempersendakan Tahun Gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad junjungan kita.

“Ini satu penghinaan dan saya tak boleh bertoleransi dengan orang yang biadap seperti itu,” katanya.

Menurut Ogy, sepanjang majlis, dia hanya mampu beristighfar di dalam hati walau sedih dengan sikap Johan yang dianggap keterlaluan.
Bagi Ogy, dia harus bersikap profesional kerana mahu tidak mahu, majlis perlu diteruskan dengan baik.

“Saya tak tahu kalau ada yang perasan atau tidak, tetapi sepanjang berada di pentas, saya hanya menahan rasa kecewa dengan kerenah Johan yang kurang ajar.

“Sebagai manusia, bohonglah kalau saya tak terasa bila orang memperkotak-katikkan arwah ibu dan bapa, mengutuk saya ni dah tua dan sebagainya.

“Jangan kerana saya ni anak yatim dan tidak bersuami maka orang boleh memperlekehkan saya.
“Saya tahu saya ni dah berusia, tetapi saya tidak perlukan orang untuk menyedarkan saya mengenainya.

“Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu perasaan saya ketika dimalukan sebegitu sekali,” kesalnya.
Mana IQ?

Bercerita lanjut, menurut Ogy, dia juga kesal kerana sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri terutama dalam bidang pengacaraan, dia melihat ramai ‘budak baru’ tidak pandai menghormati golongan senior.

Kata Ogy, ini bukan soal sensitiviti hanya kerana dia merupakan seorang wanita yang berusia.
Tetapi sudah banyak contoh di depan mata yang menyaksikan bagaimana pendatang baru dalam industri tidak bijak menyampaikan jenaka.

Malah, kata Ogy, ada yang tidak faham antara lawak bodoh dengan lawak yang punya IQ.
“Buat lawak tak perlu menghina orang. Lawak yang punya IQ dan isi, yang tak menghina atau mengutuk orang pun akan jadi satu jenaka yang boleh menghiburkan penonton.

“Lihat contoh, Harith Iskandar atau Afdlin Shauki. Mereka tak ada pun nak hina-hina orang untuk membuatkan orang ketawa. Mengapa Johan perlu buat begitu?

“Mengenakan saya di pentas dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai, apa dia ingat saya ni adik diakah?” katanya.

Menurut pengarah dan penerbit ini lagi, kebanyakan jenaka yang dibuat oleh Johan juga tidak berlandaskan skrip yang disediakan oleh pihak Astro.

“Saya tahu dia berbakat untuk buat lawak tetapi cara dia melampau. Sudahlah masa latihan sebelum majlis berlangsung dia datang lewat.

“Kami diminta datang pukul 3 petang, dia sampai pukul 6 petang. Macam mana tu? Tiga jam saya menunggu, tetapi dia langsung tidak minta maaf pada saya.

“Pembantu peribadi dia yang malu dan berkali-kali minta maaf dari saya. Mana budi bahasa? Tetapi saya sedikit pun tidak bising pada dia. Kalau dia nak jawab, jawablah pada Astro, ” katanya.
Menyifatkan isu ini sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, kata Ogy, dia nekad untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Johan.

Menurut Ogy, biar sekalipun Johan tampil memohon maaf ke atas dirinya selepas ini, namun dia tetap akan berkeras untuk menyaman pelawak tersebut.

“Saya berpegang pada hak asasi manusia. Tidak kira siapa pun, kalau mereka telah memperlekehkan maruah diri dan ibu bapa saya, saya tidak akan bertolak-ansur.

“Biar dia datang minta maaf sekali pun, saya tidak akan layan. Sebab seseorang harus bangkit memberi pengajaran kepada budak baru seperti dia yang tak tahu apa makna menghormati.

“Bukan saya datang cari Astro untuk minta jadi pengacara malam itu, tetapi Astro yang datang cari perempuan buruk ini untuk menjayakan majlis.

“Tapi saya datang bukan untuk diperlekeh-lekeh begitu,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Ogy, dia dan peguamnya kini sedang menguruskan proses lanjut untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.

“Saya akan bangkit mewakili mana-mana artis senior yang rasa diri mereka diperlekehkan orang baru.

“Jangan main-main dengan Fauziah Ahmad Daud. Saya tidak akan lepaskan budak ini!” katanya lagi dalam nada cukup tegas.


nota:  takutkan jika jatuh ke dalam pertelagahan...minta dijauhkan


Friday, November 25, 2011

::Doa Akhir Tahun Dan Awal Tahun::

Salam Jumaat..  pastinya saat ini ramai di antara kita telah pun berada di rumah.  Hari terakhir buat minggu ini dan juga merupakan Jumaat terakhir bagi tahun 1432 Hijrah.  Bersuanya kita dengan Penghulu hari pada minggu hadapan, kita sudah pun berada di dada kalendar Islam yang baru.

Sepantas kilat, itulah ungkapan paling sesuai mendefinasikan pergerakan waktu.  Sekelip mata kita telah tiba di penghujung tahun dan bakal membuka lembaran baru di dalam kehidupan.  Jatuh bangun sebagai insan yang masih mencari ketentuan menjadi intipati coretan diari tahunan.  Gerun memikirkan bagaimana pula loretan bakal diisi kelak.

Melalui keperitan dan kepayahan mengajar saya erti ketabahan dalam menjadikan diri sebagai insan dipandang mulia di sisi Allah SWT.  Benar, terlalu jauh untuk sampai ke tahap itu, namun mengaku kalah di atas segala ujian tidak sama sekali.  Jika Allah memandang dengan belas kasihan, doa dipohon moga sempena Tahun 1433 Hijrah akan lebih sempurna dari sebelumnya.

Tanpa disedari, Allah menurunkan rahmatNya buat saya di akhir Jumaat bersamaan 29 Zulhijjah 1432.  Walau ia perlu dilaksanakan dengan usaha dan tawakal, saya redha.  Andai Allah menetapkan rezeki sedemikian, saya akur kerana di saat ini saya hanya memohon yang terbaik buat diri serta keluarga.  Jika bukan rezeki saya juga tidak mengapa kerana yakin sesuatu besar sedang menanti, Insyaallah.

Benar-benar merasai ketenangan melalui detik-detik penghujung tahun.  GP sendiri bertuah kerana dapat menyambut Awal Muharram di Tanah Suci walau saya tahu dia sudah kepingin untuk berada di Madinah.  Semalam dapat mendengar suara GP buat pertama kali sepanjang beradanya dia di Tanah Haram, benar-benar mengusik nurani.  Ada getaran sewaktu melontarkan kata-kata namun ditahan sebaik mungkin.  Dari desir suara GP, saya juga yakin ada sendu di sebalik perbualan.  Moga Allah panjangkan umur kami untuk menyambut kepulangan GP kelak.

Sempena menyambut kedatangan Awal Muharram, dikongsikan di sini Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun.  Saya yakin doa ini pasti telah tersebar meluas.  Tapi apa salahnya saya pamerkan di sini, lagi pula saya berhajat untuk malafazkannya esok petang, Insyaallah jika tiada aral melintang.  

Sedikit ilmu yang saya peroleh juga untuk pengetahuan, Tahun Baru Islam bukan bermula pada detik 12 malam tetapi pada waktu Maghrib dan waktu Asar adalah detik terakhir hujung tahun.  Jadi ambil segala kelebihan pada waktu itu dengan amal ibadah sewajarnya.
Moga Allah menerima segala amalan kita selama ini dan diberi keampunan ke atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan.  Sesungguhnya kita adalah hamba hina dan tidak lepas melakukan kesilapan.  Semoga apa sahaja yang dihajati, Allah ketahui rahsianya.


Di ambil dari Laman Google, dan sesiapa memuat naik saya mohon halal di atas perkongisan ini.  Di baca 3 kali pada penghujung waktu Asar sebelum masuk waktu Maghrib.



 Doa ini pula dibaca 3 kali selepas Solat Maghrib, juga di ambil dari Google Image
 


nota:  harap kita dapat melaksanakannya 

Wednesday, November 23, 2011

::Sambutan Buat Cayang::

Memasuki bulan November, rutin sambutan dari seorang ke seorang sememangnya akan berterusan.  Hari Ahad lepas, Ninie mengambil peluang menyambut hari lahir satu-satu anaknya Kamal Izz Ziqry aka Cayang.  Sebenarnya dia lahir pada 08 November lalu, tetapi baru hendak diraikan. 

Boleh tahan juga majlisnya dan sudah pastilah persiapan telah berlangsung selama berminggu-minggu.  Saya hanya terdaya membantu mana yang termampu.  Terus terang sedih di hati tidak dapat memberi apa-apa hanya kudrat sahaja dihadiahkan.  Bukan rezeki Cayang tahun ini untuk merasai kemeriahan sepatutnya.

Terlanjur Ayu Bam Bam menyambut hari lahir pada 19 November, kami sekalikan sahaja sambutan.  Hendak buat banyak kali pun sesak juga nanti.  Apa pun, Ayu Bam Bam telah pun dapat hadiah berharga.  Harap dia pandai menjaga dan dalam masa yang sama menjaga diri sebaik mungkin.  Tak mahu ada masalah timbul di kemudian hari. 

Alhamdulillah, segala berjalan lancar.  Walau GP tiada, majlis tetap diteruskan dan kami adik beradik mengembeling tenaga merealisasikan impian Mummy Cayang aka Ninie.  Abang juga turut sama menyinsing lengan, membantu dengan hati terbuka.  Malahan, ibu-ibu saudara dari sebelah GM ramai yang turut serta.

Tidak seorang pun rakan-rakan yang saya jemput bersungguh-sungguh.  Dalam situasi begini, segan pula nak mengajak seramai mungkin kerana segalanya berlangsung secara sederhana.  Tak apalah, ada rezeki lain kali Insyaallah akan saya panjangkan jemputan.  Buat rakan-rakan, harap faham ya kenapa saya tidak memanjangkan jemputan.  Tapi saya tahu, ada rakan saya yang Ninie jemput tetapi mereka tak hadir.  Tak apalah, tak ada rezeki.

Majlis seharusnya bermula seawal jam 3 petang tetapi terpaksa dilewatkan atas faktor cuaca.  Mujur hujan cepat reda.  Ninie dan hujan begitu sinonim!  ha..ha..ha..  Jika dia buat apa sahaja majlis, deraian hujan pasti akan turut mengiringi sebagai tanda rahmat dari Maha Esa.  Sebuah sambutan biasa, ada makan-makan dan potong kek.  

Buat kanak-kanak apa lagi yang menyeronokkan mereka selain dari melihat kek dan bermain sesama mereka.  Makanan setakat mana yang ibu bapa hulurkan, nama mahu meminta jarang sekali.  Lebih baik main berlari ke sana sini sambil memukul belon bergantungan.  


Makanan dijamu hampir kesemua habis, adalah sedikit berbaki dari satu dua menu.  Tiada pembaziran berlaku.  Tetamu Ninie yang hadir dalam anggaran 70 orang barangkali dan pastinya mereka pulang dengan kekenyangan.  Selepas ini akan ramai lagi di kalangan ahli keluarga akan menyambut hari jadi tapi seperti ditegas dari awal, tidak dapatlah menghadiahkan sesuatu istimewa.  Keadaan dan rezeki tidak mengizinkan.  
  
Saya sajikan sedikit gambar buat tatapan di sini.  Hanya beberapa keping sahaja, jika kesemuanya mahu dua hari tak siap-siap entri ini.  


Muka di pagi hari.  Masih kecil dan belum mengerti erti sambutan


Antara tetamu yang hadir.  Kebanyakkannya di kalangan teman-teman Ninie


Macam-macam sudut ada dan ini antara satu darinya


Raymie kawan saya tetapi dia hadir bukan atas jemputan saya tetapi Ninie kerana Marina kawan baik adik saya.  Diaorang ni ehem..ehem...kot!!  Raymie rajin menghantar email berilmu buat saya, dan sering juga dikongsikan di sini


Birthday Boy bersama Wannya aka GM


Ramai-ramai menyanyikan lagu harijadi buat Cayang dan Ayu Bam Bam


GP sahaja yang tiada di sini.  Oh ya, tema pada hari tersebut Merah, Hitam dan Putih



Mendoakan semoga mereka sekeluarga terus bahagia dan dilimpahi rahmat dan rezeki berterusan


Ayu Bam Bam bersama Buah Hati memotong kek yang tidak seberapa


Haruslah bersama Alongnya yang tersayang


Kami menggedik serba sedikit di hadapan pintu gerbang


Acara dinantikan ramai.  Sesi membuka hadiah.  Abangnya yang teruja lebih


Birthday boy bersama hadiah pemberian tetamu.  Terima kasih semua yang hadir dan juga atas hadiah diberikan.  Lain tahun beri lagi!  =)
nota:  semoga mereka semua membesar dengan sihat dan sentiasa dilindungi Allah SWT

::Sambutan Kejutan::

Dua hari sebelum cuti sekolah, kami menjalankan misi kejutan buat Buah Hati, kiranya menjadi apa yang dirancangkan.  Buah Hati Al-Faryshkan lahir penghujung November.  Ini merupakan julung kali ingin sambut harijadi dia di sekolah.  Pada awal, dia tahu akan perancangan ini.  Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum harinya Buah Hati menakal, terus beritahu dia sambutan di sekolah dibatalkan.  

Bila kami semua sampai di sekolah, pucat lesi muka dia terkejut.  Sudahlah tu, tersipu malu pula.  Terkaku dia di tempat duduk.  Seolah tak berdaya nak berjalan bila cikgu panggil ke hadapan.  Kira menjadi jugalah agenda nak mengejutkan dia.  Mama dia yang turut sama menjadi guru di Montessori itu pun pandai.  Siap pakat dengan guru-guru lain untuk tidak bocor rahsia.  Memang terkenalah dia!  


Apa pun, ini adalah sambutan biasa.  Nak beri Buah Hati rasa bagaimana suasana sambutan bersama rakan-rakan.  Insyaallah ada rezeki Macho Man dan Siti Cutie pasti akan buat juga untuk anak sulung mereka ini.  Nak cerita panjang-panjang pun tak guna, jom layan gambar sahaja.  Ada sebahagian dari gambar ini mempunyai kualiti rendah kerana menggunakan kamera telefon.  

Hai, dah besar Buah Hati kami ni ya...
Tak mampu untuk mengukir senyuman dek terkejut.  Buah Hati bersama guru kelas dia


Bersama kawan baik yang dipilih sendiri oleh Buah Hati


Acara pemberian buah tangan dari yang dirai buat teman-teman lain


Tersenyum saat rakan-rakan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi di dalam tiga bahasa


Bersama kami, sebahagian dari sebuah keluarga besar


 Dan diakhiri dengan gambar bersama saya =)


nota:  saat bahagia...

::Please Beware::

Email send by one of my good friend and would like to share with all my cyber friends.  True or not am not that sure but for me as long it can distance us from to be their victim already good enough.  By the way, raise up your awareness frequently and do alert with your surrounding.  More and more technique will appear created by this evil person!

Email Received from Raymie:   

Just received this from a local police force in Bangsar.  There is a new tactic used by the thieves and robbers & spreading into PJ & other KL areas.

Be careful when there is a motorist approaching while you are driving alone in a car.  These days, the thieves will spray some liquid on your tyre which leads to smoke outburst.
When you encounter such a situation, don’t panic. Stay calm & don’t ever try to park your car to check what is going on.  This is the intention purposely created by these thieves to get your attention.  Once you get out from your car, they will snatch your belongings or may even harm you.
So, if you ever encounter such an incident, drive to a safe place where crowded people are or to a petrol or police station.  As for the stain, use water to clean it up, that’s all.  Look after your own safety, especially to those ladies out there.
What ever happens, don’t simply walk out from your car!  This is a true case that has occurred before.
Once you see,  don’t forget to forward it to all your buddies!
   
A piece of note for us to look into it.  Do not expose yourself to this kind of person.  Just beware and be more pre-caution.  
note:  nothing impossible in this world!

Tuesday, November 22, 2011

::Syabas HM::

Sebenarnya tak perlu buat entri ini apabila hampir semua orang mencanang perihalnya di merata tempat.  Tapi tetap ingin abadikan di sini.  Manalah tahu bila-bila nak baca semula saya akan kenang ia sebagai sebuah memori indah buat seluruh rakyat Malaysia khususnya.

Malam tadi secara rasmi pasukan bola sepak negara atau lebih dikenali dengan Harimau Malaya (HM) berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Sea buat kali kedua.  Setelah melalui episod getir di Indonesia dengan tekanan luaran dan dalaman HM ternyata membuktikan bahawa taring mereka bisa mencengkam.

Saya tidak menonton sepanjang perlawanan dek berkongsi TV dengan Buah Hati, tetapi tetap mendapatkan muktahir perlawanan dari laman-laman sosial.  Ternyata sokongan dari rakyat Malaysia tidak berbelah bahagi.  Saya hanya menyaksikan saat kedua-dua pasukan bertarung di pusingan penalti.  Sangat mendebarkan dan adrenalin saya melonjak-lonjak naik!  

Saat tendangan akhir yang menentukan kemenangan HM, kami yang menahan nafas ketika menonton perlawanan melonjak kegirangan.  Tidak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya perasaan rakyat Malaysia yang berada di dalam gelora gemuruh Sang Garuda saat berjaya meraih kemenangan.  Jika saya ada di sana, aliran panas dari sepasang mata pasti mengalir laju.


Tidak perlu minat bola, tidak perlu minat sukan tetapi kemenangan semalam berjaya menyatu padu rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan pasukan HM.  Mereka bertanding di dalam gegak gempita cemuhan, mereka berlawan di dalam gumpalan-gumpalan hinaan tetapi itu semua ditolak ketepi demi menggalas harapan dan menjulang nama baik negara tercinta.  Maruah tercemar telah dibalas!

Syabas HM!  Kemenangan di Indonesia terlalu memberi erti buat kita semua.  Segala luka dan noda yang mereka palit buat negara kita telah diubati dengan sebuah kemenangan.  Ngauman HM benar-benar berisi.  Sebagai seorang yang cintakan negara, terima kasih seluruh tenaga kerja dan pemain HM di atas usaha berterusan.  


21-11-2011 akan menjadi tarikh keramat dalam mengenang sebuah perjuangan.  Benar ia bukannya sebuah kejohanan bertaraf dunia tetapi setiap ranjau duri yang dilalui oleh seluruh kontijen membuatkan ianya akan tersemadi sebagai sebuah kenangan terindah.




nota:  tahniah...tahniah..tahniah..

Saturday, November 19, 2011

::Malaysia - Indonesia::

Umum tahu sekarang Sukan SEA sedang giat berlangsung di Palembang, Indonesia dan seperti yang lepas-lepas Malaysia tidak pernah melepaskan peluang menyertainya.  Mengejar pungutan pingat adalah objektif utama penyertaan disamping mengeratkan lagi hubungan  di antara negara-negara yang turut serta serta bersaing secara sihat.

Tak perlu rasanya untuk dihuraikan segala kebaikan bersukan terutamanya di peringkat antarabangsa ini.  Kita sedar akan faktor-faktor positif.  Sejak zaman sekolah, saya tidak akan melepaskan peluang menonton di peti televisyen sekiranya ada siaran langsung mahu pun tertunda.  Semangat cintakan negara tiba-tiba meruap setiap kali melihat kontijen Malaysia bertanding.  Tak kiralah sukan apa pun, asal ada dari Malaysia akan saya tonton.  

Cuma kali ini menonton Sukan SEA melalui kaca televisyen memberi seribu satu rasa bercampur baur terutamanya dengan layanan tuan rumah terhadap negara kita.  Saya menerima berita dari teman media yang sedang bertugas, kerjasama amat sukar pihak penganjur berikan sehingga merasakan adakah kerana bernaung bawah Jalur Gemilang lantas menimbulkan rasa kurang senang.

Penonton yakni secara purata merupakan rakyat tempatan begitu benci dengan peserta Malaysia.  Kontijen negara sering diejek dan dipermainkan dengan kata-kata menghina.  Hingga ada terbawa-bawa ke luar stadium atau pun luar padang.  Rakyat Malaysia di sana merasakan tidak selamat untuk keluar, risau akan diganggu.  Kenapa berlaku perkara sedemikian ya?  Ini perkhabaran saya terima dari sana.


Tatkala lagu kebangsaan berkumandang juga mereka langsung tidak menunjukkan rasa hormat.  Sekiranya mereka berada di dalam keadaan kita, perilaku sedemikian akan menjadi isu besar.  Emosi membuak-buak hingga sanggup melakukan keganasan kelak.  

Tidak cukup dengan itu, ada beberapa acara sukan pengadilnya tidak mahu menyebelahi peserta Malaysia seolah telah dibeli.  Ini bukan mendengar khabar angin ya, kerana saya menonton sendiri sewaktu siaran langsung lantas mengakibatkan peserta negara kehilangan pingat emas. 


Sejak akhir-akhir ini negara kita dan negara jiran itu mempunyai hubungan begitu tegang.  Banyak isu berbangkit namun Malaysia seolah tidak mahu memanjangkan konflik sedia ada lantas mencari jalan penyelesaian yang terbaik.  Tetapi mengenangkan apa yang rakyat meraka lakukan semenjak sebelum Sukan SEA lagi, sakit hati sebenarnya!

Sudahlah rakyat Indonesia mencari rezeki di sini ada bersikap culas dan tidak jujur hingga menyusahkan majikan.  Namun, pihak kita tidak pernah memperbesarkan isu tersebut.  Cuba jika pihak kita pula melakukan cemar walau sebesar zarah, habis diamuknya.  Antara kejadian yang terkesan di hati rakyat Malaysia pastinya insiden membakar bendera Malaysia. 

Benar, bukan semua rakyat mereka bersikap sedemikian.  Lagi pula kepadatan penduduk mereka berganda, mungkin yang berkelakuan begitu 10% dari itu.  Tetapi ianya tetap menyinggung perasaan kita umumnya dan para atlet khususnya.  Gelagat ditunjukkan boleh mengakibatkan rasa gementar dan hilang fokus keterlaluan.  Pertandingan secara sihatkah itu?


Nampak gaya seolah Malaysia sahaja mahu menjaga hati negara serumpun, tetapi mereka tidak.  Beberapa teman saya begitu geram ke tahap maksima hingga melafazkan jika Malaysia dan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik sekali pun, tiada siapa akan rugi.  Mereka yang kelak akan rugi adalah.

Sebagai seorang warganegara sejati, saya turut sakit hati lebih-lebih lagi menonton sendiri gelagat penyokong tempatan di sana.  Agaknya kerana itulah negara mereka kurang aman dek perangai rakyat yang terlampau emosi.  Bersyukur saya dilahirkan di sini, walau sebuah negara kecil, sekurangnya kita diajar menghormati negara orang lain hingga mereka sanggup memijak kepala!

Tapi gelagat peserta Malaysia pun ada juga kurang senang di mata saya terutamanya bila lagu Negara Ku berkumandang.  Ada segelintir atlet berat untuk membuka mulut untuk turut sama menyanyikan lagu kebangsaan.  Ha, ini pula berkaitan prinsip jati diri rakyat kita.  Sepatutnya setelah berhempas pulang mengerah tenaga, hasil berjaya dituai, laungkanlah lagu Negara Ku dengan sepenuh hati sebagai tanda kepuasan.  Balik nanti ganjaran menanti.

Saya menonton di rumah pula menjadi emosi dan sebak apabila lagu berkumandang dan bendera dinaikkan.  Serasa bersemangat dan bangga melihat Jalur Gemilang berkibar.  Adakah saya seorang berperasaan sedemikian atau rasa cintakan negara sudah semakin luntur di kalangan rakyat kita?

Entah, malaslah nak fikir jauh-jauh.  Nanti seolah menyalahkan sana sini pula.  Sekali lagi saya tegaskan, bukan membenci negara jiran Indonesia tetapi kecewa dengan apa dihidangkan.  Ya, saya yakin mereka punya alasan tersendiri di atas segala perbuatan, tetapi kita juga punya alasan terpendam.  Janganlah kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar!  

Terpulang andai ada yang tersinggung hati lantas membenci saya hanya kerana entri ini, tetapi saya juga punya hak untuk menyuarakan apa dirasa kerana Malaysia tanah tumpah negara! 


Gambar di ambil dari Google Image!



nota:  Semalam bola sepak Malaysia menang...yea!!!

Wednesday, November 16, 2011

::Berjayakah Macam Tu?::

Petang tadi singgah sebentar di restoran makanan segera McDonalds (McD) membeli makanan buat Buah Hati.  Sekali tu, dia tak mahu bawa pulang.  Panggilan taman permainan di dalam McD menyebabkan dia enggan balik segera.  Mood baik bolehlah melayang kehendak dia hari ni.  Jika tidak saya abaikan sahaja.

Sambil perhatikan dia bermain, saya memandang ke sekeliling.  Ramai pelajar duduk berkumpulan sambil buku terbentang di atas meja makan.  Mengulangkaji pelajaranlah tu.  Tertanya di hati, masukkah apa yang dipelajari saat berada di dalam restoran yang agak bingit dengan para pelanggan dan diselang seli dengan muzik latar?

Zaman saya dahulu, tidak kami praktik sedemikian rupa.  Berkunjung ke restoran sebegini hanya untuk mengisi perut dan berbual sesama sendiri.  Ada masanya kami berkawan dengan pelajar dari sekolah berlainan.  Jika ada buku terbuka di hadapan, boleh beri jaminan takkan masuk segala apa dibaca.  

Lagi pula duit poket bukan banyak mana.  Sesekali bolehlah mengunjungi restoran makanan segera, hari-hari mau menjerit GM.  Waktu tersebut perbelanjaan sekolah bukanlah besar.  Ada masanya setakat cukup tambang pergi balik sekolah.  Mana-mana kawan baik hati ingin belanja, kecil tapak tangan padang sekolah kami tadahkan.


Ternyata suasana jauh berubah.  Ibu bapa pula lebih bersifat santai dengan membenarkan anak-anak menghabiskan masa di restoran makanan segera.  Duit poket pun kenalah berlebih-lebih, jika tidak nanti anak-anak telan air liur dek penangan bau makanan menikam selera.  Malah ada pelajar membawa bersama gajet terkini seperti I-Pad, komputer riba, tablet dan macam-macam lagi, sambil mengulangkaji sambil berlibur.

Cuma persoalan saya, berhasil ke?  Atau lebih mengikut trend  semasa?  Jika tidak melepak di mana-mana restoran makanan segera, kiranya kurang gempak.  Andai enggan turut serta, mungkin nanti di sekolah bakal dipulau.  Ini semua agakkan sahaja.  Mungkin ada baiknya, dari membuang masa tak tentu hala, sekurangnya duduk di situ ada juga hala tuju dan benda dilakukan.

Melihat keletah pelajar sekarang dan bandingkan dengan waktu saya dahulu jauh berbeza, tetapi mereka beruntung.  Kebanyakkan mereka mampu memiliki apa diidamkan, hanya cepat atau lambat.  Ibu bapa akan cuba memenuhi kehendak asal anak-anak menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Entri ini bukan untuk menilai atau menunding jari tetapi persoalan timbul tatkala berada di suasana tersebut.  Timbul rasa pelik dan ragu namun saya matikan segera.  Bersangka baiklah pada adik-adik yang rajin ini.  Belajar di McD kurang sikit peluh keluar, malahan bantu menjimatkan perbelanjaan elektrik rumah.  Jika pasang penghawa dingin 24 jam pasti melambung bil.  

Apa-apa sahajalah ya...


nota:  mana-mana pun boleh, asalkan belajar..   

 

::Selamat Ulang Tahun Pertama Cayang::

Entri ini ditujukan khas buat Cayang Along aka Kamal Izz Ziqry b Ahmad Syauki aka Ejiki sempena hari lahir Cayang yang pertama.  Tiada apa mampu Along hadiahkan, hanyalah bingkisan rindu ini buat Cayang tatapi pabila mula mengenali dan memahami segalanya kelak.

Cayang Ejiki bertuah lahir di dalam limpah rahmat yang penuh dengan kasih sayang.  Bukan sahaja dari Mommy dan Daddy tapi dari kami semua, sebuah keluarga besar punya luapan kasih sayang tanpa henti.  Saat melihat Cayang hadir di sisi Mommy dan Daddy, kegembiraan Aki, Wan, Along, Papa, Mama, Acu, Abang Aysh tak terperi.  

Letih mendengar celoteh Mommy tatkala Cayang masih lagi berselindung di balik uri, kami berdoa moga Cayang lahir dengan sempurna dan sihat.  Along masih ingat tatkala Mommy ditahan di hospital, Along sedang seronok di luar dan segera mahu pulang bila mendapat perkhabaran dari Wan.  Mana mungkin hati seorang kakak tenang pabila adik sedarah sedaging bakal bertarung nyawa.

Namun tiba di rumah, Wan kata ada sedikit komplikasi tapi tidak perlu risau.  Menjenguk seketika Mommy Cayang di hospital sebelum pulang ke rumah menanti khabar berita.  Sepanjang malam tidak tenang kami semua di rumah.  Papa dan Mama setia menemani Mommy dan Daddy bagi menyambut kedatangan sayang.  Berita tidak putus dikirim dari sana sehinggalah jarum jam mencecah angka 3 pagi, kami dikhabarkan Mommy akan ditolak ke bilik pembedahan kerana tidak boleh menunggu lebih lama lagi.

Debaran bertambah kencang saat itu kerana ianya diluar jangkaan Mommy Cayang yang benar-benar mahu melahirkan Cayang secara normal.  Segera kami ke hospital, walau di belakang rumah Wan sahaja lokasinya serasa jauh benar.  Sampai di sana, kami kedengaran suara tangis bayi dan akur Allah telah menurunkan seorang lagi hambanya ke muka bumi.

Mommy tenang walau sedikit mamai dek penangan ubat bius.  Tak puas-puas kami menatap wajah Cayang seolah tiada lagi esok hari.  Jika boleh saat itu mahu sahaja cium sepuas-puasnya dan bawa Cayang pulang ke teratak indah Aki dan Wan.  Seronok bukan kepalang, lantas terbayang segala penat lelah Mommy Cayang selama 9 bulan lebih terbalas dengan satu anugerah Illahi tak ternilai.

Namun, membesarkan Cayang punya ranjau tersendiri.  Saat jejak kaki di rumah, Cayang tidak putus-putus menangis.  Bukan sehari dua tetapi makan berbulan lamanya.  Risau dan cemas menyelubungi seisi rumah.  Bermacam ikhtiar Mommy dan Daddy Cayang.  Itulah dugaan mereka saat bergelar ibu bapa.  Kerap tidak tidur malam, segalanya terpaksa dilakukan dengan berhati-hati demi mengelakkan supaya Cayang tidak berteriak memecah keheningan rumah.  Seisi rumah akur dengan permintaan Cayang itu!

Wan pula memulakan cabaran baru dengan kehadiran seorang lagi cucu.  Abang Aysh dengan gelagat sendiri, menuntut perhatian.  Cayang Ejiki juga begitu, seolah punya pertandingan merebut piala Wan.  Tapi Cayang cepat faham dengan keadaan dan akur dengan situasi.  Cayang berkongsi kasih dan jatuh sayang pada Abang Aysh dengan cepat.

Alhamdulillah, dari hari ke hari Cayang membesar di luar jangkaan.  Cayang dewasa dari usia seharusnya.  Along yakin, Mommy dan Daddy tidak pinta sedemikian hanya Cayang sahaja mencabar diri sendiri.  Seawal 3 bulan telah meniarap, 4 bulan kuat mengesot dan telah duduk di dalam walker.  6 bulan telah merangkak dan berjaya keluar dari walker dengan sendirinya pada usia 7 bulan.  Banyak progres ditunjukkan dan Cayang mula berjalan pada usia belum mencecah 1 tahun.  

Cayang bukan sahaja permata hati Mommy dan Daddy tapi intan berkilau buat kami semua.  Tidak kami bezakan antara satu sama lain.  Semuanya kami sayang tidak berbelah bahagi.  Tiap kali Cayang pulang ke rumah Along pasti rindukan gelagat Cayang yang mencuit hati.  Walau Cayang degil dan sering melakukan aksi ganas lantas menuntut kemarahan dari kami semua, Cayang tetap di hati.

Sempena hari lahir pertama Cayang tahun ini, Along doakan moga Cayang akan terus membesar dengan bijak dan menjadi anak soleh.  Kasih sayang yang diberikan akan mendidik Cayang menjadi seorang insan sempurna, Insyaallah dan bakal memimpin tangan adik-adik lain kelak.  Andai satu hari, Cayang menangis kerana himpitan dugaan duniawi, Cayang ingatlah di sini kami ada untuk berganding bersama Cayang melewati cabaran.  

Andai bisa Along hentikan masa, akan Along pastikan supaya Cayang tidak cepat membesar kerana saat lalu amat kami semua rindui.  Melihat jatuh bangun Cayang di depan mata, kenakalan serta gelagat mencuit hati sudah cukup mengubat hati kami yang lara.  Sayangnya, kehadiran Cayang di saat Aki, Wan, Along dan Papa berdepan dengan kesulitan berpanjangan.  Namun tidak sedikit kami abaikan anak-anak semua.


TERIMA KASIH CAYANG ATAS SEGALA KASIH SAYANG SERTA KELETAH YANG MEMBAWA SINAR KEBAHAGIAAN.  SELAMAT HARI LAHIR PERTAMA CAYANG KAMAL IZZ ZIQRY AHMAD SYAUKI!!

   Beberapa minit selepas dilahirkan.  Darah belum dikeringkan lagi


 Di waktu pagi selepas Wan bedakkan Cayang.  Pandai tengok kamera


Saat berusia 4 bulan, Along begitu teruja membawa Cayang naik ke bilik


Menangis hiba, tak pasti apa yang mengundang air mata


Baru berusia 5 bulan tetapi Cayang telah menunjukkan skil memanjat.  Risau kami sehingga Wan terpaksa menyimpan bouncer tersebut.


Mula menampilkan wajah nakal


Walau baru berusia 6 bulan, Cayang mula menampilkan aksi berani mati.  Menjerit-jerit Wan bimbang Cayang jatuh tersungkur


Pada usia 7 bulan, Cayang telah pandai membawa diri.  Tangisan telah kurang kedengaran tetapi Cayang makin melasak, semput nafas kami semua di rumah


  Beraksi dengan motor Abang.  Tubuh kecil berhati waja


Pertama kali Cayang ditahan di hospital.  Meraung-raung Cayang enggan memberi kerjasama.  


Melewati usia setahun.  Belum menjelang hari jadi, Cayang telah mengorak langkah meniti hari mendatang dengan kaki sendiri


Sambutan ala kadar dari kami semua buat Cayang.  Walau kecil kek tersebut tetapi membawa seribu makna.  Cayang malu-malu kucing saat diraikan =)




nota:  sekelip mata...