Followers

Saturday, October 29, 2011

::Takut dan Insaf::

Hampir setiap hari kita mendengar berita bencana alam di serata dunia.  Dari satu negara ke satu negara, seolah berjangkit.  Gempa sana, banjir sini, tanah runtuh lagi, ribut taufan pula, inilah antara gejala yang sedang menimpa dunia.  Alam telah mula berbicara kasar hingga tidak lagi menunjukkan belas ihsan buat bergelar manusia.

Bagi muslimin dan muslimat sekalian, kita akur bahawa ini adalah tanda-tanda dunia di hujung tanduk.  Kematian itu pasti begitu juga kiamat kerana itulah janji Allah SWT buat kita dan sebagai seorang beragama Islam, percaya kepada hari kiamat merupakan rukun iman.  Persoalannya bila?

Tiada siapa mengetahui akan hadirnya waktu dan tika itu walau segala tanda-tanda begitu jelas.  Nantikanlah sahaja perhitungannya dan dalam menuju ke arah itu, persiapkan diri secukupnya, moga tidak tersasar dalam perjalanan ke syurga.  Setiap baik buruk datang dariNya dan kita hanya mampu berdoa supaya menjadi intan terpilih.

Pabila membaca perihal bencana ini, hati sentiasa diasak ketakutan.  Bila-bila sahaja ianya boleh datang menyerang tanpa memberi sebarang isyarat.  Secara jujur saya lebih rela Allah mencabut nyawa dari dilanda musibah hingga membawa maut.  Nauzubillah!!!  Tapi siapa kita untuk meminta dan merancang sedangkan segalanya telah tertulis sejak di Loh Mahfuz.

Moga kita punya ruang untuk perbaiki diri dalam menanti apa bakal datang keesokkannya.  Tanya pada diri, sudah bersediakah kita?  Jika saya, secara jujur masih belum bersedia.  Masih banyak lagi perlu diperbaiki dalam menzahirkan seorang Muslimah sejati.  Setiap yang berlaku hari ini jadikan sebagai satu kesedaran supaya tidak terus alpa dan leka dalam meniti perjalanan kehidupan.

  Bagaimanalah rasanya berada di dalam kekalutan sebegini?  Pasti tidak tentu arah jadinya dan menyerah diri pada Maha Esa.  Gambar diambil dari Google Image




nota:  oklah, nak tidur.  Selamat pagi!!

::Salam Hujung Minggu::

Apa agenda anda semua hari ini ye?  Hari cutilah katakan.  Saya belum punya perancangan tetapi yang pasti Abang akan meluangkan masa di bengkel kereta.  Sejak awal bulan lepas hinggalah ke hari ini, kereta tersebut telah mula menunjukkan ragamnya.  Ada-ada sahaja.  Sabarlah wahai tuan empunya, selama ini banyak jasanya maka kita ikutkan apa kehendaknya.

Esok, sekolah Buah Hati ada anjur sukan.  Tak sabar pula rasanya hendak melihatkan aksi si kecil itu.  Cepatnya dia membesar, sedar-sedar bakal mencecah usia ke-4.  Kalau ikut perancangan, kami ramai-ramai akan ke sana.  Masing-masing teruja apa bakal ditunjukkan oleh Buah Hati.  Lajukah larinya sementelah tidak ada di antara kami atlet.  Siti Cutie mungkin barangkali, kalau benar ikut jejak Mama dialah gayanya.  Jika ada rezeki, saya kongsikan gambar Buah Hati =)

Selamat berhujung minggu buat anda semua dan bagi yang sekapal dengan saya, masih tercari-cari ke mana arah tuju, kita fikirkan nanti-nanti.  Jika tidak ke mana-mana, berteleku di rumah juga sudah cukup baik.  Ramai di luar sana tidak punya tempat berlindung.  Jadi kita harus bersyukur!!



nota:  tak tahu nak cerita apa...

 

::Masalah Diri::

Akhir-akhir ini, tanpa disedari nafsu makan amatlah dahsyat.  Tidaklah teringin segala macam makanan tetapi aturan masa makan begitu lengkap diambil sementelah GM begitu rajin memasak.  Sebenarnya memang masak cuma saya yang tidak ambil pusing selama ini.  Dek kerana nafsu meluap, gerun hendak memijak penimbang.  Mau pengsan pula nanti.

Harus kawal selia semula ni, jika tidak sakit lain pula menanti.  Bukan setakat itu sahaja, baju-baju pun tak layak sarung kelak.  Bahaya kerana saya tidak merancang untuk membuat sebarang aktiviti membeli belah sehingga ke satu waktu yang sesuai.  Nangka busuk jadinya penampilan saya.

Masalah baru pula, berkaitan kulit muka.  Secara tiba-tiba di landa sindrom kawah kecil  tumbuh melata.  Ok, faktor usia tidak dinafikan tetapi akur juga kerana tidak lagi prihatin dalam rawatan wajah seperti sebelum ini.  Jari pula gatal sahaja meneyeh mana yang tak perlu hingga meninggalkan kesan tidak seharusnya.  Terus tekanan!!! 

Kesimpulannya, segala berpunca dari diri sendiri.  Sendiri cari masalah, sendiri selesai.  Betul tak?  Kena cari jalan terbaik.  Bukan untuk tampak cantik di mata sesiapa tetapi cukuplah sekadar penglihatan sendiri puas memandang dan memberi keyakinan.  Apa pun, segala apa yang ada bukan untuk pamerankan?  



nota:  tidaklah sampai berhabisan ribuan ringgit...

 

Friday, October 28, 2011

::Bersua Kembali::

Salam Jumaat :) Wow!!  Agak lama saya tidak bercanda di arena ini.  Terlalu banyak perkara menuntut perhatian lebih sehingga tiada masa terluang.  Jika ada sekali pun, terpaksa beri tumpuan pada yang lain pula.  Insyaallah, ada rezeki akan bercerita di sini.
 
Dalam pada itu, secara spontan saya seolah tidak punya hati untuk ke sini.  Setiap ruang yang ada saya kecilkan supaya saya tidak terlalu asyik.  Kenapa?  Saya sendiri tidak punya jawapan tetapi ianya biasa kerana manusia punya nafsu jemu dan boleh memudaratkan.

Bila tidak punya ruang, aktiviti singgah ke blog teman-teman juga turut terabai.  Rindu pula hendak jadi kaki sibuk di dalam kehidupan orang lain =)  he..he..he..jaga tepi kain orang tidak mengapa tetapi yang salahnya apabila menyampaikan ke pihak ketiga, keempat, kelima dan seterusnya.  Jika menyibuk dan simpan dalam diri, hanya kita sahaja yang tahu!
 
Oklah, nanti sambung.  Kebosanan kembali merajai hati!  Moga berjumpa lagi....Saya doakan rakan-rakan semua peroleh keberkatan di penghulu hari yang mulia ini.
 
 
 
 
nota:  terlalu banyak benda semak di fikiran....    

Friday, October 14, 2011

::Bini-Bini Ku Gangster::

Baru-baru ni melanggan filem Bini-Biniku Gangster (BBG) melalui Astro First (sehari sebelum kejadian kena potong).  Dah lama sebenarnya tidak menonton wayang sementelah Astro First diperkenalkan.  Kalau tidak, dahulu setiap hari Khamis memang hari wayang sedunia.  Lagi pula faktor kewangan tidak berapa mengizinkan, kita mengambil langkah penjimatan.  

Siapa yang belum lagi menonton filem BBG, boleh sahaja melanggan untuk tempoh dua hari.  Nak kata seronok sangat filem ni taklah juga tetapi bolehlah.  Mungkin faktor sekeliling tidak menyumbang ke arah keseronokkan jika dibandingkan dengan menonton di panggung.  Sebuah cerita santai dan sedikit mencuit hati di babak-babak tertentu.  

Filem terbitan Metrowelth ini mempertaruhkan aktor Bintang Paling Popular, siapa lagi jika bukan Shaheizy Sam.  Mutu lakonan aktor pujaan ramai ini tidak perlu disanggah kerana dia punya kelas tersendiri.  Menjadi sahaja watak di tangan beliau.  Watak heroin pula didukung oleh Yana Samsuddin, juga boleh tahan lakonannya.  Lakonan Intan Ladiayana juga tidak mengecewakan jika dibandingkan filem sebelum ini.


BBG mengisahkan bagaimana jika wanita pula yang mengetuai kumpulan samseng.  Kalau nak tahu kenalah menonton ye, kita sokong industri perfileman tanah air.  Cuma saya terfikir kenapa sejak akhir-akhir ini budaya gangster rancak mewarnai dunia perfileman?  Adakah sememangnya budaya ini telah lama menular dan kita sahaja tidak menyedarinya.

Walau genre BBG komedi dan santai tetapi hairan juga kerana motif utama adalah sama iaitu sepak terajang dunia gangster.  Bimbang di hati jika terlalu banyak pendedahan mengenai budaya samseng, khalayak akan menerimanya sebagai sebuah lagi laluan kehidupan dan menghalalkan segala aktiviti tersebut.  


Benar penonton harus bijak memilih dan menilai tetapi pengaruh dunia hiburan ini besar.  Sedikit sebanyak pasti akan membawa kesan terutama buat anak-anak.  Mereka seronok menonton adegan berlawanan yang penuh aksi mendebarkan.  Dalam masa sama menghayati setiap babak lakonan.  Besar impak filem sebegini kelak buat kita semua.

Tak apalah, filem telah pun ditayangkan dan tiba peranan ibu bapa untuk menyekat atau tidak, dalam masa yang sama bimbing anak-anak supaya bijak memilih buruk baik dalam kehidupan seharian.  Apa yang saya fikir, pihak bertanggungjawab hadkan sedikit pembuatan cerita-cerita bergenre sebegini.  Terlalu banyak pun tak elok juga untuk industri kerana ia akan menjadi satu lambakan dan klise, balik-balik benda yang sama.  Tak membina nanti.

Okeylah, sesiapa yang belum menonton boleh melanggan melalui Astro First.  Jika tanya pendapat saya, BBG lebih seronok dari menonton filem Hantu Bonceng.  Ini pendapat saya ya, lain orang lain selera.  Esok hujung minggu, selamat menjalaninya bersama keluarga mahu pun orang tersayang!!


 Gambar diambil melalui carian Google Image



nota:  bosan dengan cerita-cerita yang ada....

Thursday, October 13, 2011

::Risaunya::

Belum pun baik secara total, budak-budak di rumah ni pula jatuh sakit.  Sejak berbulan sakit ni asyiklah berulang antara kami semua.  Lepas orang ni, orang lain pula akan kena.  Risaunya bila memikirkan situasi di rumah.  Budak-budak kalau sakit memang susahlah.  Tak tidur malam dibuatnya semua orang.  Pengalaman Buah Hati dimasukkan ke hospital amat menyerikan, harap-harap tidaklah sampai ke tahap itu.  Hai, risaunya!!

"Ya Allah, Kau ringankanlah beban kami semua.  Jauhkan kami dari segala penyakit dan merbahaya.  Kasihanilah dan berilah kerahmatanMu supaya terhindar dari segala macam bencana.  Anugerahkan kami seisi rumah dengan kesihatan tubuh badan dalam usaha kami menjadi hambaMu yang bakal menjalankan segala suruhan.." Amin!!
nota:  melihat mereka sakit, mood pun hilang...

Wednesday, October 12, 2011

::Apa Agaknya Ye?::

Berbulan asyik mengulang sakit hinggakan dah tak tahu bila masa saya sihat.  Ada mula bosan dengan perkhabaran duka ini, seolah tak percaya yang saya sering sakit (kononnya saja buat sakit, ada ke macam tu?)  Tak apa, pandangan orang bukan boleh dihalang.  Terima kasih di atas pandangan sedemikian, ianya penyuntik semangat buat diri.

Bila sakit, selera makan tak berapa nak ada.  Tengok yang ini tak lalu, jeling itu tak berselera, cuba sana loya, makan yang di depan mata tak bermaya dan macam-macam lagilah ibarat 1001 ekspresi, tak menjadi.  Apa agaknya yang membuka selera saya ya?  Puas difikir tapi belum mendapat ilham.  

Makcik saya kata, dapatkan apa yang betul-betul buka selera kemudian hadap makanan tersebut, Insyaallah baiklah saya nanti.  Ya ke?  Entahlah, tak pernah cuba tapi apa salahnya mencuba, lagi pula bab makan.  Bukan membahayakan kesihatan pun.


Tapi tulah, masih berfikir-fikir apa agaknya yang mendatangkan selera.  Belum timbul-timbul di bayangan, kalau timbul pun wajah-wajah orang yang saya rindu.  Demam rindu agaknya saya ni?  Tengoklah, jika benar akan saya kongsikan di sini makanan yang membuka selera itu.  

Selamat Makan Tengahari Rakan-Rakan Semua!  Saya mahu menjamu mata (tidurlah!!) 


nota:  hati menangis siapa yang tahu...

::Bengang - Astro::

Asyiklah membebel perihal Astro tetapi tetap juga melanggan.  Ya, semalam seharian saya bengang dengan Astro.  Hanya kerana RM12 caj tertunggak, akaun kena potong.  Ingatkan tertunggak ratusan ringgit atau berbulan-bulan tidak membayar.  Dek kerana RM12 saya bakal dikenakan RM20 untuk penyambungan semula.  Tak berbulu ke rasanya??!!!

Beria-ia marahkan adik di khidmat pelanggan.  Memang mereka tidak boleh buat apa-apa tapi dek geram, basuh cukup-cukup.  Seperti yang saya katakan, HANYA RM12 dan bukannya RM120/RM1200/RM12000.  Itu pun saya mungkin terlepas pandang, kalau ikutkan bil saya tidak pernah cecah RM100 setiap bulan.  Tapi tak mahu pening kepala genapkan sahaja RM100 bila tiap kali membayar.  Cumanya dua tiga bulan ni rajin melanggan Astro First, itu yang bil terlebih dari biasa.

Jika segalanya sistem berkomputer, janganlah pandang remeh isu sebegini.  Takkanlah tunggakan kurang dari RM50 hendak terus di potong.  Lainlah berbulan-bulan lamanya, lagi pula tengok-tengoklah akaun pengguna tersebut.  Adakah jenis mendatangkan masalah atau tidak?  Paling-paling telefonlah pengguna dan beri notis ada tunggakan, jika tidak bayar dalam tempoh tertentu akan dipotong.  Ini tidak, tanpa sebarang notis terus sahaja sekat.  Nak sambung kena denda!!  

Sudahlah jika hendakkan Baby TV kena bayar tambahan RM5.  Semakin melampau saya rasa pihak Astro ni!!  Apa salahnya bagi sahaja kepada pelanggan yang melanggan rancangan kartun dah terlanjur memang kami bayar lebih untuk pakej tersebut.  RM5 pun mau pau!!!  Apa sangatlah yang bayi tonton??  Bukan ada tambahan kepada pihak Astro untuk membayar pihak produksi kerana rancangan di Baby TV semuanya diambil dari pihak ketiga dan bukannya program baru di reka khas.

Inilah sistem MONOPOLI yang melampau hingga memijak pengguna sewenangnya.  Kerajaan sendiri tidak boleh berbuat apa-apa dan Astro adalah entiti yang tidak menghormati undang-undang, itu yang saya rasa.  Yelah, Kerajaan gesa jangan kenakan sebarang kenaikan harga, Astro tetap dengan pendirian.  Kerajaan kata tidak boleh kenakan cukai, Astro tetap juga caj pelanggan.  Hormat ke namanya tu?  Tapi....punya pilihan lainkah kita???  urrggghhhhh........GERAM!!!!




nota:  kalau banyak duit, dah buka stesen TV sendiri...hik..hik..hik.. 
 

Monday, October 10, 2011

::Berusaha untuk Kembali::

Setelah hampir seminggu terlantar sakit, barulah hari ini punya kudrat untuk bergerak meskipun agak terbatas.  Kali ini saya terkena demam selsema serta batuk yang melampau.  Demam tak lama mana tetapi batuk semakin hari semakin teruk hinggakan ada satu ketika, begitu sukar untuk bernafas.  Bimbang melarat, mujur ianya tidak berlaku.

Apa pun, saya terima dengan redha.  Inilah ujian namanya dan sepanjang ingatan saya, tahun 2011 merupakan tahun ujian buat saya.  Sakit bertali arus dari awal tahun hingga ke saat ini, belum lagi dengan dugaan datang bertimpa-timpa.  Teman ramai mengatakan, saya sudah tidak kuat secara dalaman dek cabaran mendatang dan kerana itu secara keseluruhan saya adalah sakit.  Mungkin ada benarnya, namun bukan mudah untuk saya merawat segala apa tidak keterlihatan.

Saya masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya, namun kehidupan akan diteruskan jua.  Letih sebenarnya bila sering sakit, tapi itulah...saya sendiri tidak punya jawapan ke atas semua ini.  Selamat memulakan hari dan minggu baru rakan-rakan.  Jangan lupa hidangkan cerita menarik di ruangan ini buat tatapan saya dalam mengubat hati lara :)



nota:  pening-pening lalat..

Thursday, October 6, 2011

::Tiada Entri::

MAAF, TIADA SEBARANG ENTRI BARU GARA-GARA TUAN EMPUNYA BLOG JATUH SAKIT.  MOGA SAYA KEMBALI PULIH SEPERTI SEDIAKALA DAN RANCAK MEMAINKAN JEMARI.  MENJENGUK BLOG RAKAN-RAKAN JUGA TURUT TIDAK SEMPAT.  HARAP SUDI DOA SUPAYA KESIHATAN SAYA PULIH SEPERTI BIASA.  MOGA SESIAPA SUDI KE SINI BEROLEH KESEJAHTERAAN DAN KERAHMATAN DARI-NYA


nota:  ujian datang lagi dan saya redha atas segalanya...

Tuesday, October 4, 2011

::Saya Mengaku Saya Salah::

Dek terlalu lalai dan kelam kabut dalam melakukan kerja, saya telah melakukan kesalahan dan telah menyinggung hati pihak ketiga.  Secara jujur saya tidak berniat langsung tetapi apa pun, kesalahan telah dilakukan dan maaf harus dipohon.  Saya akui ianya kesilapan saya dan saya akur untuk mengubah seperti apa diminta.

Secara tidak sengaja saya telah mengambil gambar hak milik orang lain dan tidak meletakkan sebarang kredit buat tuan empunya pemilik.  Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini tidak besar mana, tetapi tidak bagi saya.  Cuba letakkan diri di dalam individu tersebut, hasil kerja di ciplak oleh orang lain kemudian tiada sebarang penghargaan.  Jangan pandang remeh perkara sebegini ya, kerana ia boleh diakhiri di meja perundangan.

Apa pun, terima kasih pada kakak yang berhati mulia kerana telah sudi memaafkan saya.  Alhamdulillah, dia menegur kesilapan saya secara baik dan masih lagi memikirkan air muka saya sebelum memberi teguran.  Saya memandang hormat pada cara dia, dan bukannya dengan cara tidak profesional.

Ini merupakan pengajaran buat saya supaya lebih peka terhadap setiap perkara dilakukan.  Jangan menafikan hak dan hasil kerja orang lain dan jika benar bersalah jangan malu mengaku kesilapan.  Segalanya boleh diselesaikan dari kita berdiam diri dan berterusan menyinggung hati individu lain.



nota:  legakan bila kita sedar kesilapan dan akuinya...

::Sampainya Hati Manusia::

Antara berita menarik perhatian umum semalam, pastinya mengenai seorang bayi yang dicampak ke dalam longkang di Selayang.  Di beritakan bayi yang baru lahir ditemui mati di dalam longkang adalah seorang bayi perempuan dan hari ini hampir kesemua surat khabar melaporkan ibu kepada bayi tersebut telah berjaya diberkas.  

Nauzubillah!! Allahuakbar!!  Saat membaca berita, serasa terjerut tangkai hati.  Kita tolak dahulu soal perikemanusiaan, kerana bagi saya orang yang melakukan telah mati sifat-sifat manusia normal.  Apa yang mula-mula terlintas tatkala mengetahui berita ini, tiada sebarang rasa sakitkah sewaktu melahirkan bayi tersebut secara bersendirian?  Bagaimanalah keadaan gadis tersebut dalam mengharungi segalanya berseorangan?  Apa cara digunakan untuk memutuskan tali pusat dan menarik keluar bayi dari bawah?  Bagaimana dia berhadapan dengan limpahan darah keluar.

Kemudian setelah berjaya melalui segala azab dan kepayahan, tanpa ada rasa kasih campakkan sahaja bayi mengikut gerak hati ibarat membuang sampah.  Mungkin hati ibu itu telah hitam gelap sehingga naluri keibuan langsung tidak meresapi ke dalam jiwanya.  Tidak terfikirkah dia, dengan tindakan sedemikian betapa senang pihak berkuasa mengesan siapa manusia yang zalim itu.  

Di mana agaknya sifat ketakutan dia tersimpan hingga berani mengambil tindakan nekad?  Tak perlu bicara takut akan balasan dari Maha Pencipta kerana saat dia melakukan kerja terkutuk hingga lahir seorang bayi, itu telah cukup membuktikan Allah tiada di  tempah seharusnya di dalam diri gadis itu.   

Hiba melihat bayi lahir sempurna segala sifat itu tiada pembelaan walhal dia sendiri tidak mahu dijadikan sedemikian rupa.  Dalam dunia ini berapa ramai inginkan cahaya mata hingga sanggup melakukan apa sahaja asal dapat memeluk jasad bergelar bayi, ibu muda ini sewenang-wenangnya mengkhianati darah daging sendiri.

Apa cari lagi hendak kita lakukan supaya perkara sebegini tidak berterusan berulang kali?  Saban tahun, ada sahaja insan tegar melakukannya.  Pelbagai usaha dan kempen kesedaran telah dilakukan demi menyampaikan mesej dari semua golongan tetapi peratusan pembuangan bayi berterusan meningkat.  

Perkukuhkan lagi institusi keluarga supaya perkara sebegini tidak datang daripada ahli keluarga kita.  Dunia semakin maju terbuka tetapi kemajuan dan keterbukaan itu tidak seharusnya membawa perkhabaran buruk.  Janganlah ditambah bencana yang sedia ada hanya kerana kelalaian manusia kerana harus kita ingat, hayat tak selamanya dikandung badan, tiba masa ajal pasti menjemput.  Takkan ini yang mahu kita warisi buat generasi akan datang. 

Semakin takut memikirkan dan melihat perkara sebegini berlarutan.  Entahlah, kasihan melihatkan bayi perempuan tersebut.  Jika benar tak mahu sekali pun pasti ada cara selain dari membunuh.  Kalau letakkan di pintu rumah saya, dengan tangan terbuka kami sekeluarga menerima.  Sekurang-kurangnya selamat satu nyawa dari berterusan menjadi mangsa nafsu serakah manusia.


         Gambar di ambil dari blog Kak Nurul


nota:  manalah pergi rasa belas ihsan

::THE SECRET LIFE OF NORA::

Buat penggemar teater muzikal tempatan, seharusnya tidak melepaskan peluang menonton The Secret Life Of Nora (TSLON).  Seperti apa yang saya perkatakan pada entri sebelum ini, saya berpeluang menonton setelah dipilih oleh Kak Red untuk menjadi sebahagian dari penonton.  Jika rakan-rakan punya masa terluang segera ke Istana Budaya dan saksikan sendiri pementasan TSLON yang akan dipentaskan sehingga 16 Oktober ini.

 Sedang beratur untuk mengambil tiket.  Tak pasti samada di hadapan dan di belakang saya adalah bloggers juga


Seperti biasa, kenalah beri maklumat diri pada penganjur


Bergambar bersama salah satu poster yang ada di Istana Budaya


Penonton sedang mengambil tempat duduk sebelum persembahan bermula

TSLON dihasilkan oleh Enfiniti Production iaitu milik Datin Sri Tiara Jacquline juga pernah mementaskan Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical satu ketika dahulu.  Kedua-dua pementasan tersebut saya pernah menonton dan ternyata kali ini TSLON punya daya tarikan tersendiri dan harus ditonton rakyat Malaysia khususnya.

Jika dua pementasan sebelum ini, jalan ceritanya berdasarkan sejarah tetapi TSLON merupakan sebuah cerita rekaan dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu mahupun hikayat.  Inilah tarikan sebenarnya dan saya yakin kemampuan team produksi benar-benar teruji bagi memastikan TSLON berbeza dengan dua teater sebelumnya. 

Sedikit sinopsis TSLON dari pemahaman saya:  Ianya mengisahkan seorang gadis pentas,  Nora (Datin Sri Tiara Jacquline) yang begitu terkenal dan dianggap seorang primadona di era awal 60-an bercita-cita untuk meluaskan bakat ke layar perak.  Dalam pada masa dia turut digilai seorang pemilik panggung termasyhur iaitu Mr J (Aznil Hj Nawawi).

Satu hari, Nora menerima tawaran untuk menjadi seorang pelakon terkenal tanpa menyedari ianya merupakan satu muslihat.  Nora, Khatijah (Adibah Noor) dan Betty (Stephanie Van Driesen) telah berkunjung ke pejabat Agen Farouk (Tony Eusoff) menyatakan persetujuan menerima kontrak berlakon.  Agen Farouk diarahkan berpura-pura sebagai ejen syarikat produksi yang akan menguruskan karier Nora sebagai seorang pelakon dan berjanji akan menjadikan dia seorang pelakon terkenal kelak.

Apa yang Nora tidak ketahui, dia sebenarnya terpilih untuk menjadi seorang under cover dan tawaran berlakon adalah silap mata sahaja.  Ini kerana mereka dapat mengetahui yang Mr J menjalankan kegiatan jenayah dan percaya hanya Nora sahaja dapat menembus masuk ke bangunan Mr J untuk melakukan siasatan.  

Bagi menghayati watak lakonan (kononnya) Nora harus menjalani latihan seperti agen yang betul walhal ianya adalah latihan sebenar dalam persediaan menjadikan Nora agen perisikan.  Dia telah dilatih oleh Agen Roger Foss (Ryan Silverman).

Nora berjaya melalui tempoh latihan dan di penghujung latihan dia menemui kebenaran.  Nora kecewa dan enggan melaksanakan tugasan tetapi apabila mengetahui Betty bakal menjadi mangsa Mr J, Nora akur demi menyelamatkan seorang kawan.  Adakah Nora dan pasukan perisikan berjaya menumpaskan Mr J?  Kenalah ikuti pementasan ini :)

Saya begitu meminati Datin Sri Tiara sejak dari kecil lagi.  Tatkala itu dia rajin membintangi drama, teater dan filem.  Bagi saya dia punya figura yang begitu menawan disamping bakat lakonan tersendiri.  Masih terbayang bagaimana dia melakonkan watak Pinkie di dalam teater Lantai T-Pinkie, jika tak silap pementasan tersebut dalam tahun 1996.  GP membawa kami sekeluarga menonton teater itu.   Dengan pengalaman luas serta pakej bakat tidak mustahil persembahan dan penghayatannya sebagai Nora tidak mengecewakan langsung. 

Selain Datin Sri Tiara, saya juga amatlah meminati Aznil Haji Nawawi juga sedari kecil sewaktu dia mengacarakan rancangan Pop Kuiz.  Satu rumah tahu saya meminati dia dan apabila mendapat tahu Aznil akan berlakon di dalam teater ini, hati melonjak untuk menonton.  Seperti biasa Aznil tidak pernah mengecewakan peminat.  Lakonan bersahaja serta gelagat lucu benar-benar mencuit hati walau hanya muncul di separuh masa kedua persembahan dan Aznil berjaya menghidupkannya.  Saya yakin pasti ramai setuju babak selepas intermission lebih memikat hati jika dibandingkan dengan separuh masa pertama.

Pemilihan pelakon begitu sesuai dengan watak masing-masing.  Seperti biasa produksi Enfiniti suka menampilkan kelainan dan kali ini beberapa pelakon luar turut diundang berlakon di antaranya yang melakonkan watak Roger Foss.  Set yang menarik, wardrobe begitu 'wow', persembahan koreografi begitu hangat, muzik segar semua ini menjadi satu dan menzahirkan TSLON dengan begitu berjaya.  Sedikit gambar untuk tatapan anda semua :)

  Gadis pentas yang mewarnai sepanjang pementasan dan ini di awal persembahan


Ibarat seorang Primadona tersohor memainkan watak dengan begitu meyakinkan


 Saat ditawar menjadi bintang lakon layar


Mereka adalah peranan utama di dalam TSLON.  Dari kiri, Khatijah, Agen Farouk, Nora dan Betty


Tiada yang mustahil jika ianya datang dari Datin Sri Tiara.  Terbang pun boleh


  Watak-watak penting di dalam TSLON.  Dari kiri, Agen Roger Foss, Nora, Khatijah dan Agen Farouk


Kemunculan Mr J yang amat dinantikan oleh penonton

Pembangunan set bertaraf antarabangsa



Agen Farouk dan Khatijah yang banyak mencuit hati para penonton akhirnya berkahwin ;)


 Lihat sahaja gelagat Mr J, tidak kering gusi dikerjakannya


 Sebahagian daripada mereka yang bertungkus lumus menjayakan TSLON

Selayaknya TSLON diketengah ke peringkat lebih tinggi bagi mengiktiraf hasil kerja anak seni tempatan.  Boleh sahaja kita menggelarkan TSLON sebagai Broadway Malaysia.  Walau turut mengenengahkan budaya British lantaran latar masa adalah setahun selepas kemerdekaan, masih ada budaya melambangkan Malaysia di dalam teater ini.  Jangan risau jika anda kurang faham pertuturan Bahasa Inggeris kerana subtitle turut disediakan di skrin. 

Sewaktu menonton, sebahagian dari penonton terdiri dari bukan Melayu.  Bangga terselit di hati kerana TSLON berjaya menarik perhatian penonton bangsa lain Malaysia.  Inilah sebenarnya yang dicari dan bukan hanya sebuah pementasan didominasi oleh kaum tertentu.

Kebiasaannya sewaktu Matinee Show, para pelakon tidak akan keluar untuk bertemu dengan penonton.  Jadinya, kita ambil gambar sahaja dengan poster yang ada 


  Bergambar bersama Agen Nora

Bagi anda yang tidak pernah melalui pengalaman menonton teater muzikal, apa kata sertai pasukan TSLON dan nikmatilah persembahan memukau dari mereka.  Khabarnya tiket laris dijual, jadi jangan lepaskan peluang ini.  Selesai menonton kongsikan pengalaman anda buat mereka yang tidak berkesempatan menonton TSLON.  

Saya akhirnya berjaya menonton teater ini, secara percuma lagi.  Terima kasih tidak terhingga buat Kak Red kerana sudi memilih saya untuk diberikan tiket.  Hanya Allah sahaja membalas kebaikan dihulurkan dan moga Kak Red akan sentiasa berada di dalam lindungan dan limpahan rahmat dariNya. 

    Pertama kali bertemu dengan top bloggers sepanjang menceburi dunia blogging.  Jangan tak tahu saya mengigil satu badan sewaktu bertemu mereka ini.  Terasa kecil sahaja diri dibandingkan dengan kedua mereka.  Selama ini hanya tahu kisah melalui alam siber dan kini bertentang mata.  Gugup yang amat hingga Kak Red pun sedar yang saya mengigil..he..he..he.. malu sungguh!!!  Kak Red tampil dengan warna signifikannya, iaitu merah dan dia memang menawan.  


Inilah individu yang memberi saya peluang menyaksikan TSLON.  Terima kasih tidak terhingga buat Kak Red dan dia tidak sombong langsung.  Sanggup meluangkan masa bergambar walaupun rasanya pada ketika itu dia sedang berbincang sesuatu dengan orang lain.  Tak perlu sebut nama berulang kali, sekali sebut sahaja nama saya dia dah tahu siapa saya orangnya.  Sebelum persembahan bermula, saya tidak dapat mencari dia, tetapi nekad harus juga berjumpa sebaik sahaja tamat untuk menghulurkan ucapan terima kasih.  Alhamdulillah berjumpa juga dengan Kak Red meski terpaksa menganggu masa dia seketika.  


  Tahu sahaja Kak Mya juga turut hadir sama, saya nekad untuk mencarinya.  Alang-alang kenal melalui blog, apa salahnya jumpa seketika dan abadikan gambar bersama.  Lawa orangnya, lebih-lebih lagi selepas berhijrah.




nota:  puas sangat...

::Hari Sabtu Yang Indah::

Seperti pernah saya perkatakan sebelum ini, Sabtu lepas adalah hari indah buat saya.  Tidak terfikir akan melalui pengalaman sebegitu.  Mungkin bagi sesetengah orang, tiada apa pun sebenarnya, tetapi tidak bagi saya kerana ianya merupakan pengalaman manis secara peribadi selama saya meluangkan masa di dunia blog.

Okay, sesiapa mengikuti Twitter saya, pasti tahu saya telah menonton teater muzikal The Secret Life Of Nora (TSLON).  Hmm...setakat pergi menonton teater, apa yang istimewanya?  Istimewanya saya telah dipilih oleh seorang blogger tersohor iaitu Redmummy (Kak Red) untuk turut menonton sama dengan memberi dua keping tiket.  Bagaimana boleh terpilih?  Tak pasti apa kriteria, tetapi mungkin rezeki saya.

Dua minggu sebelum TSLON dipentaskan, saya menelek harga tiket persembahan.  Bagi seorang penggemar teater muzikal pastinya tidak mahu melepaskan peluang menjadi sebahagian dari penonton, tapi sayangnya..  Tempat duduk menarik semuanya mahal belaka.  Telan air liur sahajalah mengenangkan kos terpaksa dikeluarkan.  

Tak mampu rasanya kali ini.  Tiket murah ada, tetapi tidak puas pula menonton.  Pernah berbual dengan Abang dan kami bersetuju mungkin bukan pada pementasan kali ini.  Banyak komitmen harus didahulukan dari membayar ratusan ringgit.  Bukan tidak menyokong industri, tetapi tidak mampu.

Malam Jumaat sebelum keluar bertemu seorang rakan, saya terpandangkan Tweet dari Kak Red dengan menawarkan tiket untuk menonton TSLON.  Sesiapa berminat harus re-tweet apa yang Kak Red shout dan hantar maklumat terperinci ke email.  Saya hanya memandang sepi kerana tahu, pasti ramai akan cuba merebut peluang dan kebiasaannya saya sentiasa tidak bertuah dalam segala hal.

Sedang duduk-duduk minum, sekali lagi Kak Red shout sekali lagi dalam Twitter mengatakan peluang masih terbuka.  Terus tergerak hati untuk mencuba dan inilah kelebihan pengguna telefon pintar.  Boleh sahaja melaksanakan apa sahaja walau tidak berada di hadapan komputer.  Kelam kabut juga re-tweet dan hantar email pada Kak Red.  Tapi tak letak sebarang harapan.

Setengah jam kemudian rasanya, saya dapat balasan mengatakan berjaya peroleh 2 tiket untuk persembahan keesokkannya.  Wah!!  Macam tak percaya.  Berulang-ulang kali melihat email tersebut seolah berada di alam mimpi.  Seronok tidak terkata, hingga tersengih-sengih sendirian dan ditegur orang sekeliling.  Walhal, saya sudah tidak meletak harapan untuk menonton TSLON sedari awal dan inilah rezeki namanya. 

Dalam pada itu, inilah pertama kali mendapat sesuatu dari dunia blogging.  Tetapi, secara jujur risau mengenangkan bagaimana hendak bergaul dengan orang tidak dikenali kelak.  Isu pergaulan adalah masalah besar bagi saya.  Lagi pula siapa sahaja kenal saya.  Hanya seorang penulisan picisan di ruangan sendiri.  

Apa pun demi menghormati pemberian orang dan juga demi TSLON, saya redahkan rasa cuak dan bimbang.  Bukan ramai beruntung seperti saya dan yakin pasti ramai inginkannya.  Inilah sesuatu yang menggembirakan dan menceriakan saya sepanjang hujung minggu lalu.   Lebih manis apabila dapat bersua muka secara personal dengan dua orang blogger yang memang saya minat dan amat hormat.  Sudah semestinya Kak Red dan Kak Mya

Terima kasih Kak Red dan pihak yang menyumbangkan tiket TSLON.  Sebuah persembahan menghiburkan dan berada di dalam liga tersendiri.  Nantikan sedikit review pendapat dari sudut pandangan saya sebagai seorang penonton serta gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang menonton muzikal TSLON pada entri selepas ini.    



nota:  seperti biasa, entri tidak bergambar..


 

Monday, October 3, 2011

::Sedang Mencari::

SEDANG MENCARI IDEA DAN MOOD UNTUK MENULIS DI SINI.  BIASALAH KITARAN BULANAN MEMBUATKAN SEMUANYA SERBA TAK KENA.  SEMENTARA MENANTIKAN LIMPAHAN IDEA, JOM KITA TONTON DAHULU AMAZING RACE TERBARU.  YA, SAYA ADALAH PEMINAT TEGAR RANCANGAN INI.  MOGA ADA SESUATU MEYUSUL SELEPAS INI...

::Entri Pertama Oktober::

Selamat datang Oktober!!  Terus terbayang hanya berbaki 2 bulan sahaja buat 2011.  Aduh, pantas sungguh masa berlalu.  Memang benarlah bila dikatakan tatkala dunia berada di hujung-hujung nyawa, masa diperuntukkan tidak pernah mencukupi dan saya yakin kita sedang melewati waktu tersebut.

Macamana hujung minggu anda semua?  Harapnya berada di dalam keadaan menggembirakan.  Jangan terkejut, walau Syawal baru sahaja berlalu jemputan rumah terbuka masih dihulur.   Menurut rakan, tak sempat mengadakannya sepanjang Syawal tempoh hari.  Alang-alang dah berniat untuk menjamu, teruskan sahajalah niat tersebut.   

Alhamdulillah saya melalui hari yang indah.  Ingin berkongsi di sini tetapi terpaksa menanti gambar-gambar dari kamera.  Insyaallah, dalam 1-2 hari ini saya khabarkan.  Oh ya, ingat tak baru-baru ini saya ada menggunakan MyEg bagi pembaharuan insuran dan cukai jalan kereta?  Apa yang boleh saya perkatakan mengenai perkhidmatan MyEg sangat "WOW". 

Proses pembaharuan dilakukan pada jam 11.30 malam hari Rabu dan petang Khamis cukai jalan tiba di tangan walhal saya tidak memilih penghantaran segera di mana akan dikenakan pembayaran RM20.  Saya memilih penghantaran biasa dan dijangka sampai selepas 2 hari waktu bekerja,  kos penghantaran hanya dikenakan sebanyak RM6.  Mengikut perkiraan, saya mengagak jika tidak hari Sabtu, hari Isnin minggu depan akan sampai. 

Mahu tak terkejut bila perolehnya pada hari Khamis dan kerana itu saya katakan perkhidmatan MyEg sangat "WOW".  Selepas ini tidak akan teragak-agak lagi untuk menggunakan MyEg.  Mudah dan pantas.  Inisetif Kerajaan untuk memudahkan rakyat berhasil.  Memang patut mendapat pujian.  Tak perlu lagi beratur panjang di pejabat pos..he..he..he..

Okey, berhenti dahulu di sini.  Punya kesempatan terluang, rajin-rajin singgah di sini walau tidak punya butir bicara berguna.  Hari baru, minggu baru dan bulan baru.  Saya berharap segalanya akan memberi impak positif dalam mencapai apa sahaja yang dicita dan melakar kenangan manis buat peti memori.




nota:  risau pula memikirkannya...