Followers

Friday, November 4, 2011

::Salam Jumaat & Salam Aidil Adha::

Salam Jumaat rakan-rakan.  Hari terakhir sebelum ramai dari antara kita bercuti panjang.  Pastinya tidak sabar hendak menggerakkan jarum jam ke angka 5 supaya segera sampai ke penamat.  Sejak pagi cuaca juga begitu dingin lantas membuahkan rasa kemalasan untuk bergiat dengan lebih produktif.  Adat bekerja di pejabat begitulah, saya juga pernah merasai perasaan sedemikian sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai pekerja pejabat suatu waktu dahulu =)

Berita dari Tanah Haram, GP akan memulakan perjalanan ke Arafah keesokkan hari bagi melunaskan rukun haji.  Kemajuan teknologi membolehkan kami berhubung saban hari serta merawat kerinduan hilang dari pandangan mata.  Alhamdulillah kesihatan GP juga beransur baik, hanya tinggal batuk keras mungkin dek terlalu masyuk menghisap rokok.  Moga segala akan berjalan lancar buat GP di sana, kami tidak putus-putus mengiringi doa.

Apa rasa berhari raya tanpa GP di sisi?  Entah!  Benar sebelum-sebelum ini, Aidil Adha disambut dalam erti kata lain pengisian sebagai umat Islam.  Tidak pernah beria-ia seperti sambutan Aidilfitri, malahan pernah juga tidak menyarung baju kurung.  Tetapi tidak pernah tanpa kehadiran GP dan ini julung kali buat kami semua.  Saya yakin GM juga sedemikian.  Sepanjang bergelar isteri, inilah pertama kali GM tidak bersama suami tercinta di pagi Aidil Adha.

Nampaknya tiada perancangan khusus, hanya berada di rumah bersama GM, Ayu Bam Bam dan Macho Man sekeluarga.  Ninie akan pulang ke negeri Serambi Mekah kampung suaminya, melakukan ibadah Aqiqah buat Cayang Ejiki.  Tak acikan, Aidilfitri balik Kelantan ni pun balik sana juga..he..he..he..Di tambah pula dengan faktor-faktor lain yang menyumbang ke arah tidak dapat untuk kemana-mana, maka duduk sahaja di rumah.

Buat rakan-rakan bakal memulakan perjalanan, sedang dalam perjalanan dan yang telah sampai ke destinasi dituju, saya mendoakan selamat segalanya.  Moga Allah SWT menjauhkan kita dari segala merbahaya dan kecelakaan yang mengundang musibah.  Masa yang ada gunakan sebaik mungkin bersama insan-insan tersayang dan hargai mereka selagi nyawa di kandung badan.  Insyaallah, Aidil Adha kali ini akan membawa sinar rahmat tak terperi buat kita semua.

SALAM AIDIL ADHA....


nota:  rindu yang tak tertanggung denyutnya 
   

No comments :

Post a Comment