Followers

Tuesday, May 18, 2010

Baby Baru

Secara rasminya diri saya sudah memiliki gajet yang menjadi idaman setiap insan buat masa ini.  Pernah saya live blogging dari gajet tersebut sebanyak dua kali.  Bagi sesiapa yang perasan akan kehadiran entri tersebut mesti telah tahu serba sedekit mengenainya.

Telah hampir 2 minggu saya terpaksa membiasakan diri dengan menggunakan telefon bimbit yang baru, I Phone 3Gs.  Saya tahu saat ini, ramai yang tergila-gilakan untuk memilikinya.  Kalau tidak berminat pun, pasti teruja dengan kehadiran gajet ini dipasaran.  Saya??!!  Tidaklah terlalu ghairah.  Perasaan terhadapnya hanya setakat biasa-biasa.  Kalau ada pun boleh, tidak memiliki pun tidak menjadi masalah.  Ini kerana saya seorang yang amatlah lambat menyerap sesuatu yang berkaitan teknologi terkini.  Saya lebih kepada cara lama.  Cara yang lebih ringkas dan mudah serta tidak memeningkan kepala.
Jika begitu kenapa saya memilikinya?  Pertanyaan yang boleh dijawab beserta terselit perasaan lelucon di sini.  Seperti yang telah saya katakan, saya memanglah tidak teruja langsung untuk memilik I Phone ini walaupun Siti Cutie dan Ayu Bam Bam telah memilikinya terlebih dahulu.  Malahan Fieza sendiri pernah menyarankan supaya saya memiliki telefon bimbit tersebut.  Tidak pernah terlintas di minda untuk memilikinya, paling tidak saya bercadang untuk menukar telefon bimbit yang baru tetapi bukanlah I Phone.

Entah bagaimana, satu hari Abang memberi cadangan supaya saya membeli I Phone.  Saya menolak dengan baik dan memberi alasan jika dia berminat untuk memilikinya belilah.  Tetapi dia bersungguh mengatakan yang dia tidak perlu memiliki telefon bimbit tersebut.  Saranan yang Abang berikan saya biarkan dengan balasan tidak berminat.  Semakin hari semakin giat dia menyuruh saya membeli dan pada saat itu saya telah mula membuat analisis serba sedikit mengenai telefon ini dan saya merumuskan yang saya tidak sesuai dengannya.

Paksaan Abang semakin giat dari hari ke hari sehingga ke satu tahap kami bergaduh mengenainya.  Kelakar bukan??  Selalunya pasangan akan bergaduh apabila teman wanitanya marahkan kepada Si Lelaki kerana tidak memenuhi permintaan, tetapi saya sebaliknya.  Bergaduh kerana mengelak untuk dibelikan barangan.  Saya menolak dengan baik kerana saya tahu kemampuan dan setahap mana akan saya gunakan telefon tersebut.  Saya tidak sebijak yang disangka terutama dalam menginterpretasikan sesuatu barangan.  

Akhirnya saya mengalah dengan paksaan Abang lalu saya memenuhi permintaannya untuk membelikan saya I Phone.  Berangkutlah saya, GM, Buah Hati, Ayu Bam Bam dan Abang ke One Utama (OU) kerana saya bercadang untuk membeli sahaja dari Maxis.  Sampai di OU, telefon tersebut kehabisan stok.  Dalam hati memanjat kesyukuran tetapi Abang tetap mahukan saya membelinya lalu kami disarankan ke Maxis di The Curve kerana di sana masih ada stok.

Makanya, bergegaslah kami ke sana bagi melayan kehendak Abang.  Agak tidak bernasib baik bagi saya kerana di sana mereka masih mempunyai beberapa unit lagi I Phone.  Sedari awal kerana berat hati, jadinya saya gagal untuk membuat sebarang keputusan terutama berkaitan pakej yang ditawarkan.  Hampir dua jam juga kami bersidai di sana dan pelayan pelanggan begitu sabar berhadapan dengan karenah serta pertanyaan saya.  

Setelah membuat pilihan, lalu saya terus bertanyakan Abang samada dia juga ingin membeli atau tidak.  Ingatkan dia tidak mahu, tetapi setelah dua kali bertanya Abang terus bersetuju..hik..hik..hik...Kalaulah dari awal dia mengatakan bahawa yang dia juga inginkan telefon tersebut bukankah senang.  Tidaklah perlu menggunakan saya.  Paksaannya terhadap saya merupakan satu alasan sahaja untuk saya pergi ke kaunter Maxis dan membeli.  Sebenarnya saya sudah memahami apa yang tersirat di hatinya.  Jika saya tidak beli, dia tidak akan membeli kerana seboleh mungkin kami akan menggunakan barang yang hampir serupa.  Jadinya saya adalah alasan dan alat semata bagi dirinya untuk mendapatkan I Phone..ha..ha..ha...Makanya, pada hari tersebut Maxis telah menelan duit beribu-ribu ringgit.

Namun sehingga hari ini saya agak kekok menggunakannya.  Menggunakan I Phone ibarat haruslah berkasih-kasih dengan segala aplikasi yang ada.  Pening kepala dibuatnya.  Sebagai balasan, sehingga saat ini, nada dering hanyalah yang biasa-biasa sahaja.  Tiada sebarang nada istimewa yang boleh digunakan kerana saya tidak faham bagaimana hendak menjadikan lagu sebagi nada dering.  Bukan itu sahaja, banyak lagi yang saya masih terkial-kial.  Berita baiknya ialah saya dapat memantau kehadiran email ke peti email saya terutama yang berkaitan dengan I Luv Clothez Collection.  Berlainan dengan Abang, dia berjaya menguasai penggunaan I Phone dengan begitu baik sehinggakan dia lebih pandai dari saya.


 Inilah lebih kurang telefonnya cuma kami punya warna putih.  Gambar diambil dari Yahoo Image

Bagi sesiapa yang berminat untuk memiliknya, saya nasihatkan lawatlah mana-mana pusat Maxis dan dapatkan tawaran yang menarik.  Kalau tidak silap sehingga hujung bulan ini, setiap pakej yang mereka tawarakan ada potongan RM200.  Kami menggunakan pakej I-Data 2 iaitu tambahan RM50 bagi bulanan dengan penggunaan internet sehingga 500MB.  I Phone pula berharga RM1,799 (setelah potongan RM200) bagi 16G dan kontrak selama dua tahun.  Jika beli tidak melalui Maxis, harga telefon sahaja hampir RM2,600.  Kini segalanya di hujung jari cuma saya sahaja yang tidak lagi fasih menggunakannya kerana saya ialah seorang yang cemerkap!!!!


nota:  sedang giat meracun teman-teman yang lain supaya turut sama memilikinya...

2 comments :

  1. waaahhh beshnyer kak maria de baby br.......

    ReplyDelete
  2. Rosz,baby yg kdg2 menyusahkan n wat akak tension!!!huh..

    ReplyDelete