Followers

Friday, November 20, 2009

Ingat tak??? Saya tak lupa....

Adalah dalam lebih sebulan yang lalu, saya ada buat entri "There's A Sorrow in My Heart"..Kalau sesiapa tak ingat atau tak pernah tahu kenalah bedek entri saya yang lepas-lepas. Setelah sepurnama, barulah hari ini saya mempunyai kekuatan untuk berkongsi sebab musabab kesedihan yang saya rasai lebih kurang sebulan yang lalu....


Semua kesedihan berpunca daripada ini....Kereta??!!! Kenapa tak percaya ke??? Ingat hanya melalui perbuatan 'human being' sahaja ke perasaan kita tak menentu. Saya amatlah sensitif sikit perasaannya. Jangankan kereta, benda-benda kecil yang mempunyai 'sentimental value' pun boleh buat keadaan saya huru-hara seketika.


Berbalik pada soal kereta, sebenarnya kesedihan tersebut hanyalah kerana saya sedar saya akan berpisah buat selamanya dengan kesayangan saya itu. Ya, kereta saya yang satu. Jom kita tengok gambar dia lagi..


Setelah hampir lima tahun dia menabur jasa kepada saya, akhirnya saya terpaksa merelakan perpisahan. Amat berat sebenarnya mengambil keputusan sebegitu, tetapi setelah mendengar pandangan pelbagai pihak terutama sekali Greatest Mama dan Abang, akhirnya saya akur untuk melepaskan dia pergi. Lagipun penilaian ekonomi antara faktor yang harus saya sedari di mana kereta mempunyai susut nilai setiap tahun.


Kenapa saya begitu sayang pada dia?? Sebab kemana-mana sahaja dia akan bersama saya. Selain itu, pelaburan saya terhadap dia pun bukan sikit-sikit. Ada seketika sampai diri sendiri tak cukup makan pakai demi berkorban untuk dia. Tapi itu semua saya tak kisah asalkan dia ada bersama saya. Berjalan merata tempat. Rasanya habis Malaysia ni dia dah jelejah bersama saya. Banyaklah lagi sebab musababnya, dan yang utama dia adalah harta saya yang tak ternilai harganya.


Kalau ikutkan, dia bukanlah yang pertama bertakhta di hati (cewah!!!) sebab sebelum ni, kasih saya pernah tertumpah pada yang lain...kerana ianya juga milik kekal saya sebelum ini. Cuma bezanya, yang dulu walau putus kasih sayang, bayangnya bolehlah saya nampak sekali sekala..Tetapi yang ini, hilang terus di mata. Itu yang tak terubat kesedihan di dada. Oklah, cukup-cukuplah mainan bahasa yang tak menentu ni. Bertambah pening orang yang membacanya nanti.


Kronologi sikitlah ye..

Saya mempunyai sebuah kereta pada usia 20 tahun rasanya. Ianya pemberian Greatest Mama & Greatest Papa. Tak adalah hebat mana pun jenamanya, Proton Satria tetapi saya amatlah menghargai serta bersyukur. Sekurang-kurangnya saya masih lagi beruntung dari orang lain yang perlu berhempas pulas untuk mendapatkan kereta sendiri. Gigih selama seminggu berlatih sebab transmisi manual tau. Alhamdulillah....saya mempunyai sebuah kereta. Gambarnya ada dalam simpanan album, saya malas nak menggodek 'scanner'. Nanti bila-bila kalau ada rezeki akan saya pertontonkan wajah kereta tersebut.


Kemudian dalam tempoh tiga tahun kemudian, adik saya Puan Ninie pula beroleh rezeki untuk memiliki kereta juga hasil percaturan "Our Lovely Parents". Di sinilah kemunculan dia yang saya tangisi separuh mati. Puan Ninie membelinya melalui makcik aka 'Angah' kitaorang. Atas dasar percaya, Angah hanya minta sambung bayar di bank. Sewaktu ambil alih kereta tersebut ber CC enjin 1.3 Auto tetapi telah dinaik taraf ke 1.6 VTec Manual. Sesiapa yang memang kaki kereta mesti tahu kekuatan enjin tersebut.


Nak di jadikan cerita, Puan Ninie dapat tawaran sambung belajar ke luar negara. Waktu itulah dia sibuk mencari pembeli bagi kereta tersebut. Pada mulanya, tidak terlintas pun untuk membeli kereta tersebut daripada Puan Ninie, tetapi setelah Greatest Mama membuat tawaran supaya saya membeli kereta tersebut akhirnya saya bersetuju. Persetujuan saya juga berdasarkan sekiranya Abang dapat membeli kereta Proton Satria saya barulah saya akan mengambil kereta Honda tersebut. Sebabnya adalah mudah, saya terlalu sayangkan kereta Proton Satria saya itu.


Mungkin jodoh saya dengan kereta Honda panjang, Alhamdulillah Abang dapat membeli kereta saya dan secara rasminya Proton Satria saya telah bertukar hak milik dan secara sahnya juga kereta Puan Ninie telah bertukar menjadi hak milik saya. Bermula saat itulah kasih sayang terbahagi dua. Ini kerana saya tahu, kereta yang menjadi milik Abang tetap menjadi milik saya juga...ha..ha..ha...


Kini, kedua-duanya juga bukan milik saya lagi. Abang telah menukar kereta lain dan saya telah menjual pula yang menjadi milik saya. Saat-saat nak bertukar tangan saya akui saya menangis sepanjang hari. Walaupun kereta bertukar dengan sejumlah wang yang banyak tetapi ianya tetap tidak dapat menghiburkan hati saya. Wang bukan segala-galanya, betul tak??? Sanggup saya menelefon kawan baik saya pagi tersebut semata-mata nak meluahkan perasaan sedih saya. Nasib baiklah dia sanggup berkongsi masa dan mendengar sendu tangis saya.


Hari ini saya dah boleh terima kenyataan, namun kenangan manis bersama tak akan saya lupa sampai bila-bila. Walau ianya sebiji kereta tapi saya yakin dia juga mempunyai perasaan yang kuat seperti saya..Segalanya akan menjadi kenangan terindah dalam mengharungi episod-episod kehidupan menjadi seorang hamba di muka bumi ini.


Inilah gambar di pagi hari di mana hari terakhir saya bersama dia...
Abang mengabadikan kenangan terakhir bersama-sama dia yang ku sayang...Jauh di sudut hati Abang pun terharu sebenarnya.....
Saya menggunakan peluang terakhir untuk mengabadikan kenangan bersama. Itu pun jenuh menahan airmata supaya janganlah mengalir...rosak gambar nanti...

Saya masih lagi belum membuat keputusan kereta apakah yang harus saya beli selepas ini. Pelbagai faktor yang harus diambil kira dan sehingga hari ini segalanya masih lagi menjadi tanda tanya. Ada yang sudah saya tinjau-tinjau tapi nantilah. Kalau ada rezeki adalah. Tapi sakit juga saya tidak mempunyai kereta sebab susah saya nak bergerak ke sana sini. Memanglah boleh berkongsi kereta samada ada dengan Abang atau pun Ayu Bam Bam, cuma saya tidak selesa. Bila tiba rezekinya, akan saya kongsi bersama.....INSYAALLAH...Doakan ye!!!

No comments :

Post a Comment