Followers

Monday, June 7, 2010

::LAGENDA BUDAK SETAN::

Semenjak dari Khamis lagi Lagenda Budak Setan (LBS) mengambil tempat di dalam panggung wayang.  Semenjak tahun lepas telah mengetahui mengenai pembikinan filem ini.  Seperti orang lain, saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton filem ini apatah lagi ianya telah dipropagandakan dengan begitu hebat.  Penerbit mensasarkan kutipan tiket sebanyak RM6 juta dan bakal merubah fenomena pungutan box office.

Saya membesar dengan karya LBS.  Dari satu naskah ke satu naskah sehinggalah keluar kompilasi novelnya setebal kamus Dewan Bahasa, semuanya telah saya ikuti.  Melalui novel, sebagai pembaca kita akan terbuai dengan ilusi penulis menggarap watak hero yang begitu mempesona sehingga terfikir masih adakah lagi lelaki seperti Kasyah yang tidak malu menyatakan perasaan cinta agungnya terhadap Ayu sehingga sanggup bertemankan air mata.  Lelaki dan air mata sudah pastilah janggal bunyinya.  Selalunya novel terlalu klise apabila wanita sering menjadi mangsa mainan cinta sang lelaki tetapi ini tidak berlaku di dalam LBS.  Ayu amat beruntung terpilih menjadi pilihan Kasyah yang cintanya tidak pernah surut.  Begitulah lebih kurang mengenai novel LBS.  Kalau nak tahu lebih lanjut kenalah memiliki novel kompilasi LBS yang saya yakin masih ada diulang cetak sehingga hari ini.  Apa pun bukan mengenai novel yang ingin dikongsikan di sini.

Terikat dengan jalan cerita novel, saya mengharapkan 'wow' faktor di dalam LBS.  Jika novelnya membuatkan saya tidak pernah jemu untuk mengulangi membaca, filemnya juga diharap akan dapat melekat di hati penggemar filem.  Maka bergegaslah saya dan Abang ke OU pada Jumaat malam untuk menonton filem tersebut.  Khabar berita di sana sini mengatakan hampir semua panggung penjualan tiketnya begitu pantas.  Terselit perasaan gembira kerana selama ini hanya filem luar sahaja yang penjualan tiketnya selalulah habis.  Ramai juga yang menonton pada malam itu tetapi tidaklah sampai penuh panggung, mungkin cuti sekolah baru bermula makanya ramai yang pulang ke kampung.

Tetapi apabila menonton filem LBS saya agak sedikit kecewa.  Bukan filemnya tidak bagus, bukan juga kerana jalan ceritanya tidak menarik tetapi mungkin saya telah menyelami jalan cerita novel sehingga saya mengharapkan lebih dari filem ini.  Tidak puas rasanya jalan cerita setebal 300 lebih muka surat dipendekkan ke tempoh 1 jam 30 minit.  Mungkin jika saya tidak pernah membaca novel LBS saya akan berpuas hati dengan filem tersebut. Terfikir juga kenapa penulis skrip tidak membawa cerita ini ke layar dengan mengikuti  urutan dari buku ke buku.  Lebih kurang macam cerita Lord of The Ring dengan Twilight.  Menamatkan cerita ini sebegitu pada bahagian pertama cerita ini takut akan mematikan minat penonton untuk menonton sekuelnya nanti kerana telah mengetahui penghujungnya.  Kenapa saya kata ada sekuel kerana pada penghujung cerita ini tertera "tamat bahagian satu" makanya pasti ada yang kedua menyusul.

Yang betul-betul meruntun jiwa saya adalah pada lagu yang melatari filem ini bertajuk "Bila Cinta" tetapi nyanyian penyanyi lelaki lebih menusuk ke kalbu.  Kurang pasti siapakah penyanyinya.  Meremang bulu roma setiap kali suara penyanyi lelaki melagukan lagu tersebut sehinggakan dapat menyelami kesedihan Kasyah dan Ayu.  Meletakkan diri sendiri saat lagu berkumandang dan ketika itulah mahu bergenang juga kelopak mata walaupun air mata tidak tumpah ke pipi.  Filem yang berkisarkan percintaan semata tetapi jangan terkejut sang lelaki juga bisa melayani filem ini.  Sebagai bukti Abang tidak tidur sepanjang filem diputarkan.

Kerana cinta manusia sanggup melakukan keganasan dan menjadi gila, itulah yang digambarkan melalui watak Azmi.  Kerana cinta manusia sanggup berkorban itulah yang digambarkan melalui watak Kate.  Kerana cinta manusia sanggup berubah, itulah yang digambarkan oleh Kasyah.  Kerana cinta manusia sanggup mengharungi segala rintangan, itulah yang digambarkan melalui watak Ayu.  LBS adalah segalanya mengenai cinta dan akhirnya cinta kepada yang Maha Esa juga kekal abadi apabila Ayu menemui penciptanya.

Segala apa yang dikongsi ini adalah pendapat peribadi.  Janganlah disalah ertikan maksud keseluruhan entri ini.  Kita masing-masing mempunyai citarasa berbeza dan pendapat kita juga pastinya tidak sehaluan.  Apa pun, LBS boleh ditontoni kerana ianya bukanlah sebuah cerita yang membosankan dan pelakonnya berjaya membawa watak mereka dengan begitu berkesan.  Fazura yang hanya muncul di pada 40% penghujung cerita juga berjaya menjadikan watak Kate miliknya.  Pelakon utamanya Farid Kamil dan Lisa Surihani tidak perlulah diperkatakan lagi tetapi watak Azmi yang dipegang oleh Que Haidar amat berkesan sehingga benci rasanya untuk melihat wajah Que Haidar di luar filem.

Jangan buang masa, singgahlah ke panggung berhampiran dan rasailah sendiri apa yang dirasakan melalui filem ini.  Jika seronok pergilah buat kali yang kedua mungkin ketiga tetapi jika filem ini tidak menepati citarasa sebagai penonton, anggaplah ianya sebagai tanda sokongan kepada filem tempatan yang begitu susah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
nota: masih sempat membuat ulasan filem di saat-saat genting dalam proses menyiapkan  tugasan akhir Uni...


2 comments :

  1. tumpng tny ye..kt mn nk cr novel LBS ye?

    ReplyDelete
  2. Hi Ms/Mr Anon,

    Klu ikutkan senang saja nk dpt novel dia cz semua book store ada jual tp since movienya tgh meletup-letup I bet not dat easy to get it.

    Nnt I reecee for you if in my place ada jual lg atau tidak.. :)

    ReplyDelete