Followers

Tuesday, April 20, 2010

Hmm..entahlah...

Tidak faham dengan resmi manusia.  Telah Allah kurniakan dengan segala sifat terpuji, akal fikiran yang bijaksana, susuk tubuh yang sempurna, hati nurani yang asalnya suci tetapi mengapalah hendak juga dicemari dan merosakkan segala ciptaan tersebut dengan perasaan hasad dengki, sering tidak berpuas hati sehingga sanggup memfitnah serta mengata-ngata dan akhirnya menimbulkan kebenciaan sesama manusia.

Perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan apakah hasil yang boleh diperolehi sebenarnya?  Tenangkah jiwa kita?  Tenteramkah perasaan kita?  Kepada yang amat pakar di dalam hal ehwal PHD ini silalah berkongsi rasa.  Ingin juga tahu sebenarnya apa yang dirasai apabila berbusuk hati kepada orang lain.  Apa agaknya kejayaan yang diperoleh dari hasil PHD ini?   

Maaf, bukannya untuk mengatakan diri ini baik dan sempurna.  Kebaikkan diri serta kesempurnaan biarlah Yang Maha Esa sahaja menilainya cuma entahlah...rasanya setakat hari ini belumlah lagi saya PHD terhadap orang lain sehingga tergamak untuk membunuh jiwa seseorang dengan perasaan tidak puas hati yang tiada berkesudahan tetapi saya akui tetap wujud perasaan cemburu terhadap kejayaan seseorang dan saya ambil perasaan tersebut sebagai motivasi buat diri sendiri untuk berusaha dan berjaya.  Tak salah rasanyakan?

Masing-masing di dunia ini telah ditentukan sebanyak ini rezekinya dan sekiranya berusaha pasti akan memperoleh lebih setimpal dengan apa yang diusahakan.  Andai ingin mengecapi kejayaan seperti mereka berusahalah.  Selagi ikhlas hati, gigih berusaha dan tawakal, Insyaallah ruang kejayaan pasti menjadi milik hakiki.  Bukannya berusaha untuk menjatuhkan orang dengan cara yang didorongi ilmu PHD.

Kadang kala hiba juga hati apabila melihat yang saling ingin menjatuhkan ini datangnya dari kalangan bangsa sendiri dan beragama Islam.  Kita ibarat saudara tetapi masih ada yang sanggup menjatuhkan saudaranya sendiri.  Sampai bila agaknya perkara-perkara ini akan berterusan di dalam lingkaran kita?  Tidakkah sedar dengan perasaan hasad dengki yang ada ini bisa menjatuhkan generasi kita juga akhirnya dan tanpa kita sedari kesudahannya bangsa kita juga yang akan mundur dan ketinggalan.  

Buat pakar PHD, cubalah bertukar tempat dengan orang yang anda dengkikan serta anda mengata secukup-cukupnya sehingga hilang aibnya.  Selamilah perasaan mereka ini yang anda aniaya dan bayangkan jika ini juga berlaku kepada ahli keluarga anda, anak serta isteri, ibu bapa.  Bagaimana agaknya anda akan tangani masalah ini ye?  kerana ingatlah, balasan dari Allah bila-bila masa sahaja boleh diturunkan, tidak kira di dunia mahupun di akhirat.  Hari ini anda menyakiti hati dan perasaan mereka dengan perasaan tidak puas hati anda, esok lusa giliran anda pula menerima akibat atas doa yang dipohon dari orang yang telah anda aniaya.



nota:  bukan rakan-rakan yang teraniaya, bersabarlah.  Usahlah mengambil pusing apa yang diperkatakan kerana hanya kita sahaja yang mengetahui apa yang kita rencanakan untuk diri dan juga keluarga

No comments :

Post a Comment