Followers

Monday, February 8, 2010

Perlu masa berfikir

Macam-macam yang difikirkan.  Lama fikir bertambah serabut, tapi kalau tak difikirkan bukan terurai pun segala yang tersimpul.  Dalam dunia ni, ada ke manusia yang fikirannya sentiasa tenang bak air kolam?  Setenang air kolam pun, bila dilontar batu berkocak juga airnya.  Inilah namanya kehidupan.  Kadang kita senang, esok lusa kesusahan yang macamana pun kita tak tahu bakal datang.  Hari ini kita kacau bilau, kemudian hari belum tentu kita tak kusut.  Segalanya telah diaturkan untuk kita, dan kita yang terpilih ini haruslah melaluinya dengan akal fikiran yang bijak.

Allah telah mengurniakan hambanya dengan cukup sifat walau tidak sempurna.  Kesempurnaan hanya berjaya kita peroleh apabila kita berjaya melalui fasa-fasa kehidupan yang berbeza.  Sebagai insan yang sekecil hama, untuk memperoleh kesempurnaan itu amatlah sukar.  Sedangkan Kekasih Allah sendiri sentiasa merasakan dirinya belum sempurna apatah lagi kita ini yang tahap keimanan senipis kulit bawang.  Tetapi kita boleh mencipta kesempurnaan tersebut mengikut piawaian kehidupan.  Bukan untuk bertanding atau melawan sesiapa untuk menjadi hebat, tetapi sebagai kayu pengukur untuk kita terus berjaya menjadi manusia selayaknya.  Bayangkan seseorang yang cacat anggota badan, secara lahiriah kita tahu dia tidak sempurna.  Akan tetapi dari segi kerohaniannya siapa yang tahu.  Walau serba kekurangan seorang yang cacat itu mungkin memiliki hati yang sempurna.  Hati yang zuhud dan tidak menyandarkan kepada kebendaan.  Sentiasa beriman dan tidak memiliki sebarang kesangsian.  Bukankah sempurna hatinya??  

Jangan diambil hati atas segala apa yang diluahkan.  Saya tidak menunding jari atau memerli sesiapa.  Kata-kata ini adalah untuk diri sendiri.  Inilah saya.  Setiap kali bila merasa diri tersepit atau tertekan saya akan cuba merungkai kata-kata memujuk hati supaya terus bersabar.  Inilah cara saya mengalihkan bebanan supaya sentiasa hidup memandang ke hadapan.  Walau menelan sesuatu yang pahit, biarlah senyuman manis menggula kerana mungkin dengan senyuman itu kita bisa membahagiakan insan lain yang juga berduka seperti kita.  Yang penting kekuatan di dalam harus mengatasi segalanya kerana walau tidak untuk orang lain, tetapi ianya untuk diri kita.  Satu sahaja harus disemat, di mana sahaja kita berada dan apa sahaja yang berlaku, Allah tetap bersama kita.  Bersyukurlah kerana menjadi manusia!!! 

nota:  kita adalah pejuang dan hanya diri kita sahaja yang tahu apa yang diperjuangkan... 

No comments :

Post a Comment