Followers

Wednesday, July 6, 2011

::BERSIH - Apa kata Anda?::

Alhamdulillah, masuk hari ini sudah berjaya berpuasa selama tiga hari berturut-turut.  Cabarankan bila berpuasa bukan di bulan Ramadhan, ditambah pula dengan keadaan sekeliling yang kacau bilau.  Jika tak kuat, mahu sahaja terbabas.  Kalau ikutkan telah berjaya menggantikan puasa bagi tahun lepas, tapi tak apalah.  Kita kambus mana-mana yang berlubang dahulu kala.  Lagi pula dapat pahala sempena berpuasa di bulan Syaaban.  Moga Allah menerima ibadah saya.

2-3 hari ini, isu BERSIH hangat diperkatakan.  Merata-rata!!  Anda bagaiman?  Terpulanglah kepada penerimaan masing-masing tetapi saya menyokong gerakan BERSIH.  Jangan salah faham!  Saya bukan aktivis atau pun penyokong parti politik berhaluan kiri.  Cuma bagi saya gerakan BERSIH ini bukanlah perkara boleh dianggap sebagai jenayah ataupun merosakkan negara melainkan apa yang gerakan ini perjuangkan adalah benar-benar berlaku di negara kita.

Mereka memohon untuk berarak secara aman dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduk Baginda Yang Di Pertuan Agung.  Ianya bukanlah satu demonstrasi ke arah keganasan.  Bukan juga mahu mencetuskan pergaduhan sesama rakyat.  Tetapi hari ini BERSIH telah digambarkan seolah ingin menggulingkan Kerajaan lagaknya (melalui pemerhatian saya).  Terus terfikir, di mana hak sebagai rakyat untuk bersuara sedangkan keinginan untuk menyampaikan mesej kepada Baginda Agung sendiri dibantah??!!!  Malahan, Baginda Agung sendiri membenarkan gerakan ini.

Sekiranya pihak Kerajaan bermuafakat dan memberikan kelonggaran, mereka juga boleh turut sama di dalam gerakan BERSIH kerana sewajarnya Kerajaan juga boleh memohon dan menyuarakan rasa supaya pilihanraya dijalankan secara adil (antara tujuan BERSIH diadakan).  Lagi pula gerakan BERSIH bukan berlandaskan mana-mana parti politik kerana banyak NGO yang turut serta dan saya yakin mereka membawa suara rakyat yang menuntut keadilan hak asasi.

Tekanan demi tekanan diberikan Kerajaan kepada gerakan ini mula menimbulkan kekecohan serta ketidakpuasan hati sebilangan rakyat.  Hari ini sahaja, seluruh bandaraya mengalami kesesakan dek kerana sekatan jalan raya yang melampau.  Tidakkah Kerajan risau dengan cara begini semakin lama sokongan rakyat kepada mereka semakin pudar?  Ini kerana rakyat Malaysia tidak lagi bodoh.  

Pelbagai sumber maklumat boleh diperoleh dari cabang saluran.  Yang benar tetap benar begitu jua sebaliknya dan rakyat tahu membuat pertimbangan sewajar.  Cuma jika tidak ditekan sebegini, saya amat yakin kita sebagai golongan pemerhati ini lebih menghormati Kerajaan sekarang kerana sanggup memberi peluang pelbagai pihak menyuarakan pendapat.

Entahlah, saya sendiri tidak pasti akan kewajaran di dalam mengulas perihal BERSIH ini.  Saya memberi pandangan dari perspektif rakyat biasa yang inginkan suara mereka didengari.  Walau apa cara sekali pun, Malaysia tetap tanah tumpah darah dan saya sayangkan negara ini.  Pastinya saya mahu wariskan bumi bertuah ini kepada generasi akan datang tanpa sebarang penindasan mahupun melukut ditepian gantang kerana Malaysia hak kita bersama.

Bagi sesiapa bakal menghadiri rally BERSIH pada hari Sabtu ini, harap tidak melakukan perkara boleh mencemarkan nama sendiri.  Tidak perlu laksanakan ia dengan keganasan dan diharap motif utama BERSIH dapat dicapai.  Jika kita berada di pihak benar, Insyaallah segala akan selamat.

Entri ini bukan provokasi ataupun diarahkan oleh orang tertentu.  Sekali lagi ditegaskan, ianya lahir dari buah pendapat saya yang cetek pemikirannya.  Ada salah silap melalui entri ini mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.  Namun saya rasa diri telah cukup dewasa untuk memberi pendapat mengenai perkara ini.  Terpulang sekiranya ingin menganggap saya bukan-bukan.


nota:  sudahkah anda mendaftar sebagai pengundi.  Penat mempertahankan BERSIH tetapi akhirnya tidak boleh mengundi.  Rugilah nanti!!!  Jika pilihanraya kelak, ini adalah kali kedua saya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia... 

No comments :

Post a Comment