Followers

Tuesday, July 12, 2011

::Memancing Laut Kemaman::

Dah lama sebenarnya aktiviti memancing ini berlaku.  Penghujung Mei hari tu tapi biasalah bari hari ini ambil peluang untuk berkongsi.  Okay, kisah memancing di laut Kemaman telah dirancang beberapa bulan sebelum.  Sebenarnya ia merupakan rancangan dari rakan-rakan Abang di tempat kerja lama.  Waktu perancangan tersebut dilaksanakan saya belum lagi jatuh sakit.  Bila kata hendak memancing laut dalam, hati rasa teruja.

Waktu kecil dahulu, GP sering bawa kami adik beradik memancing laut dalam.  Seronok dan jauh beza pengalaman berbanding memancing di kolam atau pun tepi pantai.  Cabaran lebih besar terutama harus mempertahankan diri dengan gelora laut yang tidak boleh diduga.  Hasil tangkapan pun jauh lebih lumayan dari memacing biasa.  Mabuk laut pun boleh tahan ye.  Alhamdulillah waktu tu saya kurang pula mabuk.

Rancang punya rancang, keadaan saya tidak mengizinkan pula untuk turut serta lagi pula saya tidak mahu mengambil risiko.  Abang beserta kawan-kawan tetap meneruskan perancangan, lagi pula hampir 10 orang turut serta.  Jadinya saya bercadang membawa Ayu Bam Bam bersama buat peneman sewaktu mereka semua berada di laut.


Kami bertolak ke Kemanan, Terengganu petang Jumaat.  Sampai sana lebih kurang jam 5 petang.  Abang pergi beli barang tambah peralatan memancing, kemudian makan dan rehat di hotel sementara menantikan esok.  Bandar Kemaman ni kecil sahaja.  Pusing-pusing ke situ juga.  

Esok paginya, saya hantar Abang ke jeti dan mereka bertolak lebih kurang jam 10 pagi.  Hati melonjak-lonjak untuk turut serta tapi apakan daya.  Bersama Ayu Bam Bam berehat di bilik hotel.  Jangan main-main ye, walaupun hotel Kemaman kecil tetapi ada siaran Astro Ria yang jarang ada di hotel bertaraf bintang-bintang.

Kami berdua berjalan sekejap di pekan dan kemudian pulang semula ke hotel.  Canggung berjalan di tempat orang.  Maaf, saya bukan hendak menghina atau memandang serong tetapi tatkala saya dan Ayu Bam Bam berjalan-jalan di Bandar Kemaman, kami diperhatikan oleh orang sana atas bawah.  Nak kata kami berpakaian kurang sopan jauh sekali.  Malah untuk mengelakkan nampak seperti orang luar, saya berjalan menggunakan selipar dan menyarung baju-t biasa sahaja.

Samada perasaan atau pun itu adalah gelagat biasa, kami merasakan banyak mata pelik menelanjangi kami.  Bukan sahaja lelaki muda, tetapi yang telah beristeri.  Kaum hawa pun lebih kurang sama.  Pandang seolah mahu menelan saya dan Ayu Bam Bam.  Akibat dari perasaan kurang senang itu, saya mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke bilik dan memerapkan diri.  Lagi pula kumpulan pemancing hanya akan balik ke darat pada keesokkannya.  Namun sempat juga singgah di kopitiam terkenal di Kemaman, Kopitiam Hai Peng.

Sebelum pulang, siap-siapkan bekalan dengan makanan ringan.  Dah malas untuk keluar semula.  Di tambah malam tersebut panggilan Akademi Fantasia kuat memanggil.  Sepanjang hari sempat berbual beberapa kali di telefon dengan Abang bertanya keadaan serta hasil tangkapan.

Entah macamana, dalam jam 2 pagi Abang telefon minta jemput mereka semua.  Saya hairanlah kerana mereka sewa bot sehingga esok pagi.  Rupanya diaorang semua mabuk laut.  Tak tahan dengan gelora laut lepas.  Sebahagian mereka pula merupakan pengalaman pertama.  Ada yang badan dah jadi lemau dek penangan gelora.  Hasil tangkapan pun tidak memberangsangkan.  Hanya Abang seorang sahaja berjaya membawa naik ikan champion.  Tapi rezeki mereka lebih kepada sotong.  Musim mencandat sotong ketika itu.

Kepenatan dan kecewa memang jelas di wajah sebahagian mereka, tapi nak buat macamana.  Ini semua berkaitan rezeki.  Esok paginya, kami bertiga mencari pasar untuk memotong ikan tersebut menjadi kecil.  Senang untuk dibawa pulang.  Saya yang belum pernah melihat ikan tenggiri, agak terkejut juga dengan kebesarannya.  Ikan tersebut dalam 3kg lebih.  Besar tu.  

Potong-potong menjadi kepingan, dapat dalam 15 potong.  Banyakkan.  Abang di pasar tawar harga RM28 sekilo, tapi ditolak.  Sayang pulakan, bila dah berjaya bawa naik tapi hendak jual pula pada orang lain.  Hasilnya di rumah saya sampai hari ini masih ada berbaki ikan tenggiri.  Rumah Abang dah lama habis, tapi konsepnya hari-hari makan ikan tenggiri sampai tengok ikan tenggiri pun dah tak lalu.

Selesai semua, terus bertolak balik.  Sama seperti datang, nak balik pun akan melalui Cherating.  Banyak kedai-kedai menjual keropok lekor di sepanjang jalan Cherating.  Berhenti membeli untuk bawa pulang.  Pernah ke Cherating dalam tahun 2006 dengan Fieza dan Raja.  Teruslah terimbau seketika kenangan bersama-sama mereka.  Cepat betul masa berlalu, dah 5 tahun rupanya kami meninggalkan memori tersebut.

Keropok lekor pun dah jauh beza.  Jika dahulu besar-besar saiznya.  Sekarang mereka buatnya dalam saiz lebih kecil, RM0.50 sebatang.  Kalau tanya saya agak mahal sebenarnya tapi nak buat macamana, dah itu harga ditetapkan.  Secara jujur saya tidak gemar akan keropok lekor tersebut.  Rasa ikan terlalu kuat, naik loya tekak.  Sayakan tidak makan ikan, jadinya memang tak sedap dan tak kena pada selera.

Gedebuk-gedebak, dalam jam 6 petang macam tu, kami tiba di Kuala Lumpur.  Penat sebenarnya walaupun perjalanan 3 hari 2 malam.  Mujur saya tidak jatuh sakit keesokkannya.  Apa pun, Abang mesti seronok kerana dia berjaya muncul juara..ha..ha..ha..Rezeki mereka mungkin di lain kali. 

 Banggalah konon-konon dapat pergi laut dalam.  Hasilnya belum tau lagi!!

Sedang sibuk mengemas peralatan sebelum mengangkat sauh bot

Tak dapat pergi, ambil gambar kat tepi-tepi pun jadilah

Sangat bangga ok dia dengan hasil tangkapan!!!  Sampai hari ni asyiklah bercerita perihal kehebatan dia


Esoknya pergi ke pasar minta bantuan untuk siang ikan tersebut.  Ada upah tau untuk memotong ikan tersebut


Keropok lekor yang disediakan di hadapan para pelanggan.  Uli dan kemudian rebus.  Inilah antara tarikan  setiap gerai keropok lekor di Cherating

Menanti rakan-rakan lain membeli belah hasil laut seperti keropok, sotong kering, ikan masin dan pelbagai lagi.  Saya tidak beli kerana hasil laut tersebut datangnya dari kampung saya, Perak.  Balik kampung sahaja benda-benda ini wajib dibeli


 Bosan-bosan ambil gambar berdua

Baru saya sedar, tak banyak langsung gambar di sana.  Bergambar dengan Ayu Bam Bam pun tak ada.  Apa yang saya letak di sini, semualah gambarnya tu.  Kasihan.....


nota:  asal hobi sihat, kita sokong ye... :)



     

No comments :

Post a Comment