Followers

Thursday, June 14, 2012

::Hakikat Kehidupan::

As-salam..  Lamakan ruang ini sepi?  Bukan tiada sebarang perkhabaran tetapi bila setiap detik dipenuhi dengan agenda, terabai seketika bicara...

Sebenarnya tak tahu mahu bermula dari mana.  Banyak cerita.  Cuma merasakan perlu atau tidak untuk dikongsi bersama.  Kita punya citarasa kehidupan berbeza, kadangkala khuatir apa sahaja dihebahkan menjadi duri dalam daging.

Apa pun, semenjak awal lagi berada di sini saya menzahirkan bicara buat tatapan sendiri.  Jika ada sudi membaca, Alhamdulillah tetapi jika tiada pun tidak mengapa.  Tidak menjadi sebarang nanah pun.

Sewaktu menunggu Abang di tepi jalan sebentar tadi, terpandang akan susuk tubuh seorang lelaki gigih memotong rumput di bawah terik mentari pagi.  Entah mengapa sayu hati melihat akan tekunnya dia menjalankan kerja.

Kurang pasti warga tempatan atau warga luar, kesungguhannya melunaskan tanggungjawab itu walau tampak mudah hakikatnya, tepuk dada tanya selera.  Teringat dulu-dulu jika ingin menggiatkan kita belajar, orang dewasa pasti memberi peringatan supaya belajar rajin-rajin jika tidak mahu menjadi tukang sapu kelak.

Walau nampak rendah di mata kita, Abang itu tetap meneruskan demi sesuap nasi.  Siapa dia dan apa latar belakang serta kehidupan keluarga dia bagaimana menjadi persoalan buat saya.  Bahagiakah dia dengan apa yang dijalani sekarang ini?

Tanyalah pada sesiapa pun, takkan diingini kerjaya sedemikian namun inilah ketentuan kehidupan.  Keringat bercucuran membasahi baju, kulit legam mencengkam dek panahan mentari, diharungi segalanya.

Secara spontan saya berdoa moga Abang tersebut tabah mengharungi segalanya.  Mungkin satu hari kelak, dia tidak lagi akan memotong rumput di pinggir jalan.  Sebaliknya punya kerjaya menjamin masa depan keluarga, Insyaallah


Semakin memanjat usia dewasa, semakin saya menghargai kehidupan.  Sesusah mana pun kita, ada lagi lebih payah mengharungi hari-hari mendatang.  Benar, kita perlu berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.  Cuma kadangkala apa sahaja berlaku di luar kemampuan kita.

Mungkin segala apa terjadi dalam kehidupan saya kebelakangan ini memang sukar.  Semakin hari semakin menyesakkan, hingga cecah tahap kebuntuan.  Namun disaat kehilangan hampir sebahagian dari kehidupan pernah dimiliki, saya bersyukur masih ada beberapa insan sudi berdiri teguh bersama terutama keluarga tersayang.

Inilah pentas dunia.  Kita adalah warna pementasan yang penuh kisah suka duka.  Tanpa adanya jalan cerita sebegini, ilmu kehidupan tidak akan ke mana maka berterima kasihlah atas segalanya.  Walau ianya pedih tetapi tetap berharga ibarat sebutir permata.





nota:  masih terbayang-bayang..



 




 

No comments :

Post a Comment