Followers

Sunday, June 24, 2012

::Nilai Semakin Mengecil::

Sama ada rakan-rakan perasan atau tidak, hari ini sekeping not RM50 seolah sudah tidak punya nilai.  Bawa ke pasar, berapa barang sahaja boleh dijinjit di jari?  Tak sampai sepuluh jarikan?

Saya masih ingat, 20 tahun lampau dengan nilai RM10 masih boleh membeli pelbagai jenis barangan di pasar malam.  Allahyarham Nenek sememangnya tidak pernah bawa lebih dari itu kerana sudah dapat mengagak harga barangan.

Semakin maju negara semakin susut nilai matawang.  Jika dahulu pendapatan sebulan mencecah RM3000 sudah cukup mewah, malangnya dengan nilai tersebut kita makin tersepit malah sering tidak mencukupi.

Adakah kita antara insan tidak kenal erti bersyukur maka Allah menekan kehidupan kita sehingga begini?  Atau adakah ini permasalahan global dan kita negara yang kecil tersepit menjadi mangsa?

Bagaimana pula generasi akan datang menangani masalah kewangan?  Barangkali nilai not RM50 akan menjadi seperti RM1 kita hari ini.  Jika itu bakal berlaku, nasi kosong bakal berharga RM10 sepinggan.  Takutnya!

Sesiapa sahaja bakal menerajui tampuk pimpinan Kerajaan harus menangani isu ini secara serius.  Kos sara hidup semakin tinggi semakin menghimpit dan sasaran Kerajaan sifar kemisikinan semakin sukar rasanya.

Sedar atau tidak, masih banyak lagi negeri di Malaysia punya rumah setinggan merata-rata.  Masih ada rakyat Malaysia menerima pendapatan di bawah RM500.  Masih ramai belum menikmati sepenuhnya kemudahan asas beserta kemudahan infrastruktur sempurna.

Sedih rasanya apabila ramai yang memekik-mekik memperjuangkan hak rakyat tetapi masih ramai rakyat tidak dapat pembelaan sewajarnya.  Adakah kita kelak akan menjadi negara Kapitalis?  Yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan terus melata.

Maaf, tidak bermaksud mahu berbaur seperti politik tetapi itulah hakikat yang sedang kita depani hari ini.  Apa sahaja kita perjuangkan merupakan masa depan negara.  

Jika perihal sebegini dipandang enteng, bayangkan nasib rakyat di hari kemudian.  Entahlah, malam-malam begini boleh terkenangkan untung nasib kita di bumi pertiwi.  

Mampukah kita turut kehadapan bersama negara yang diwar-warkan NEGARA MAJU?  Atau kita hanya lebih menjadi seperti melukut di tepian gantang?

Buat setakat ini tak perlu fikir jauh-jauh, mari kita renungkan sampai bila RM50 akan bertahan nilainya dan dari situ baru fikirkan ke peringkat seterusnya.....




nota:  merepek di malam-malam buta...

No comments :

Post a Comment