Followers

Thursday, June 21, 2012

::Jerebu Kembali::

Apa sahajalah hendak diceritakan di sini?  Terlalu banyak kisah sedih datang menghimpit ibarat bersilih ganti yang tidak mampu menerbitkan sebuah senyuman.  Dugaan bertali arus hingga lemas dalam perjuangan.

Bila memikirkan, emosi dan semangat bercelaru dan kerana itulah tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan segalanya di sini.  Kini rangkaian doa sahaja mampu dipersiapkan, moga awan larat tidak bertukar menjadi mimpi ngeri.

Okaylah, biarlah kisah duka menyelimuti diri.  Tiada guna meratap kerana jika Allah berkehendakkan sedemikian, maka sebegitulah ia terjadi.  Siapa kita mampu menghalang segalanya.

Dalam minggu lepas, jerebu teruk menyeliputi ruang udara.  Sesak nafas juga dibuatnya.  Manakan tidak, keluar sahaja bau asap kuat menyengit ke lubang hidung dan kemudian diikuti pula dengan keperitan di tekak.

Tak cukup dengan itu, kulit pula serasa gatal.  Akibat jerebu atau tidak kurang pasti pula.  Yang pasti hari ini setelah jerebu berkurangan, rengsa di kulit turut hilang. 

Minggu lepas Putrajaya, Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Petaling Jaya adalah antara kawasan teruk terjejas dan bacaan IPU tinggi.  Hujan lebat turun pun tidak berjaya mengurangkan keadaan.


Masih teruk lagikah kualiti udara hari ini?  Dua tiga hari ini tidak keluar rumah dan tidak melayari internet makanya berita terkini tidak begitu dikemaskini.  Yang pasti, berkuranganlah dari sebelumnya.

Hampir setiap tahun negara mengalami masalah sebegini.  Kali ini dikhabarkan hutan di Sumatera pula terbakar.  Orang sakit bersilih ganti.  Kini, hospital mahu pun klinik tidak pernah akan surut dengan kunjungan.

Nampaknya, global sudah tidak lagi mampu menangani isu JEREBU dan kehadirannya saban tahun itu pasti.  Sebagai penghuni dunia, kita hanya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga berhubung isu kesihatan. 


Cuma tertanya-tanya pada diri sendiri, bagaimanalah agaknya keadaan dunia di tangan generasi akan datang?  Sedangkan kita yang sebegini pun sudah sesak segalanya, adakah mereka kelak langsung tidak boleh bernafas secara bebas?

Bila isu jerebu kembali, Kiamat Semakin Menghampiri amat kuat dikaitkan.  Sebagai umat Islam saya sendiri sedar akan tanda-tanda yang dipertunjukkan oleh Allah SWT.  Saat inilah bertanya pada diri, sudah bersediakah untuk hari pengadilan?

Saya tidak sempurna dan masih lagi mengisi ruang-ruang kosong dengan tuntutan seharusnya.  Apa pun saya ikhlas kerana Allah dalam melaksanakan segalanya. 

Berbalik kisah jerebu, teringat sewaktu zaman persekolahan.  Ada sahaja dongengan dilontarkan berkaitan perihal asap tebal ini.  Naga sedang mengamuklah, puteri kayangan turun dari langitlah dan macam-macam lagi.  He..he..he..

Datanglah pelbagai versi cerita, bagi saya inilah petanda betapa alam sedang murka terhadap kita penghuni yang tidak mahu menjaga sebaik mungkin anugerah Illahi ini.  


Apa yang pasti, biarlah langit diselaputi lapisan asap, janganlah kita di dunia ini turut berjerebu hati dan minda sehingga memudaratkan sesiapa sahaja disekeliling =)


Keadaan jerebu sempat di rakam dari rumah Abang.  Kebiasaannya, pemandangan boleh tembus lebih jauh dari ini.  Gambar diambil pada Ahad lepas, 17 Jun 2012.










nota:  berjerebu segala...

 

No comments :

Post a Comment