Followers

Thursday, June 21, 2012

::Rindu Seorang Anak::

Uish, sekejapan hari ini sudah 1 Sya'aban.  Kurang dari 30 hari Ramadhan Al-Mubarak bakal menjelma.  Alhamdulillah, puasa lepas sudah habis berganti.  Sunat Rejab pun dapat merasa juga.

Sayangnya niat untuk berpuasa pada Khamis pertama di bulan Sya'aban, iaitu hari ini tidak dapat dilaksanakan.  Besar ganjaran menanti bagi mereka yang berpuasa hari ini ;)  Inilah namanya tiada rezeki.

Memikirkan puasa kemudian raya pula, aduhai perasaan kurang enak terus menyelubungi. Keadaan suram sebegini sedikit sebanyak memberi impak sementelah ini telah tahun ketiga sebegini.

Melihatkan anak-anak di rumah ini, serasa mahu sahaja membaluti mereka dengan segala bentuk kegembiraan tapi apakan daya.  Adalah hikmah menanti kami semua.

Abang turut hiba apabila mengenang Ramadhan dan Syawal kelak.  Setelah berusia 36 tahun, inilah pertama kali dia meraikan kedua-dua bulan tersebut tanpa kehadiran ibu tersayang.

Saya perasan 2-3 hari ini, dia seolah menyimpan rasa dan kerinduan amat sangat pada bonda tercinta.  Mungkinkah kerana dia seorang lelaki, tiada air mata bisa mengalir tetapi jauh di sudut hati?  

Ada dia meluahkan entah kenapa asyik terkenangkan Allahyarham bondanya.  Saya nasihatkan apa yang sepatutnya dan harus kuat semangat.   Barangkali mungkin bulan ini bulan kelahiran dia, maka aliran kerinduan di antara mereka kuat terasa.  Wallahualam..

Agak jarang dapat melihat anak lelaki terkesan dengan kehilangan ibu tetapi berlainan benar dengan Abang.  Agak sukar untuk menceriakan hati dia semenjak ibunya meninggal dunia.

Masih baru lagi barangkali.  Yalah, baru sahaja enam bulan.  Lainlah jika enam tahunkan. Hendak dikatakan dia anak manja, nampak seperti tidak.  Tapi tak tahulah pula.  Sepanjang mengenali Abang sepanjang 14 tahun ini, tidak pula saya melihat dia seperti anak manja.

Kerap pulang berjumpa Allahyarham itu sudah pastilah kerana mereka tidak duduk sekali.  Berbual di telefon, acapkali tetapi tidak hari-hari.  Susah untuk menafsir apa di dalam benaknya.  Hanya mereka yang mengalami sahaja tahu apa dirasa.

Baru-baru ini, saya menemankan Abang pulang ke rumah keluarganya.  Lama dia merenung gambar tergantung.  Dari situ saya tahu dia rindukan Allahyarham ibunya.  Kerinduan tidak mampu diucapkan, hanya iringi Al-Fatihah dan doa dapat diberikan.

Saya berdoa Abang akan terus kuat dan kembali ceria.  Hidup mati di tangan Allah, akan sampai masa semua disekeliling kita bakal bertemu Maha Pencipta.  Hanya bila, itu persoalannya. 




nota:  kasih ibu kekal selamanya... 








No comments :

Post a Comment