Followers

Sunday, July 1, 2012

::Dihimpit Rasa Bersalah::

Susahnya nak melelapkan mata malam ini walhal seharian mengerah tenaga.  Mandi sudah, solat sudah, baca Al-Quran pun sudah semata ingin mendapatkan ketenangan jiwa dan minda.  Ternyata ianya gagal!

Perkara yang berlaku beberapa jam lalu benar-benar menghimpit rasa, which I won't describe anything on what had happened.  It's not my duty to do so.  Tetapi secara jujur amat terkesan dengannya.

Hari ini secara mendalam saya begitu sedar dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini betapa saya telah mengheret orang yang tidak sepatutnya ke dalam percaturan masalah saya.  

Betapa saya telah menyusahkan dia sehingga banyak perkara seharus berada di dalam urusannya terabai dan tidak mampu diuruskan dengan sempurna.  Entahlah, benar-benar kehilangan kata-kata.  

Ya, selama tempoh tersebut kami sekeluarga berada di dalam kemelut masalah yang tak berkesudahan dan sehingga hari ini saya sendiri tidak tahu bila akan selesai segalanya.

Keadaan yang menghimpit telah menukar segala keceriaan berada di dalam kegundahan.  Matahari terik memancar tiba-tiba bertukar awan gelita.  Apa sahaja di dalam perancangan tidak bertukar menjadi kenyataan.

Saya berterima kasih, di sepanjang kisah duka insan yang dicintai sentiasa teguh bersama walau tiada sebarang tiket perjanjian di antara kami berdua.  Setiap apa sahaja berlaku diharungi sedaya mungkin.

Tetapi sayang, segalanya menjadi bertambah buruk, dugaan datang bertimpa-timpa sehingga kami lemas tanpa sebarang kehadiran bantuan dan juga pelampung.  Bila-bila masa sahaja bisa karam :(

Dan kerana itu, hari ini saya diburu perasaan bersalah tidak terhingga.  Jika tidak bersama, dia tidak akan berhadapan dengan pelbagai situasi bisa memeningkan kepala.  Jika tidak di sisi, dia bebas merencana masa depan sendiri.

Kehidupan saya ibarat patah sayap bertongkat paruh namun paruh bukanlah milik mutlak.  Paruh bertongkat milik dia yang sanggup berhadapan kemungkinan.  Mungkin saya tidak perlu lagi meminjam paruh itu kerana terlalu lama, ia boleh sahaja patah.

Tipu jika saya tidak sayangkan dia, bohong jika saya tidak rindukan saat pahit manis bersama.  Perhubungan kami tidak pernah dilanda ribut taufan meski kadangkala ombak kecil tetap memukul.

Kesetian bersama tidak pernah diragui kerana segala berjalan dengan sempurna.  Mungkin inilah dugaan kami apabila tiada apa membelenggu, keadaan pula tidak berada di pihak kami.

Sudah terlalu jauh perjalanan kami, kemungkinan untuk berpatah semula adalah sesuatu yang mustahil namun untuk meneruskan kehadapan, kini saya khuatir semakin banyak lagi beban bakal digalas.

Melihatkan tekanan datang menghimpit, saya sudah tidak mahu lagi melihat dia berada di dalam keadaan sedemikian kerana ini bukan kisah dia tetapi cerita saya dan dia hanya sebagai pelengkap.

"Ya Allah, Kau berikanlah segala yang terbaik buat hambaMu ini.  Bantulah diri ini dan keluargaku dalam membebaskan kami dari masalah sedia ada.  Kau berkatilah insan yang setia disisi dan lindungilah dia di dalam RahmatMu.  Hanya padaMu kami berserah dan hanya padaMu kami memohon segala bantuan moga dipermudahkan di dunia juga di akhirat.  Kering sudah airmata tatkala tangisi nasib sedia ada, namun diri ini redha dan percaya suatu hari nanti awan hitam ini akan berlalu pergi, ianya akan berlaku jika diriMu Ya Allah mengizinkan, Insyallah"

Entahlah, perkara ini asyik menerjah kotak fikiran.  Jika saya miliki kuasa akan saya pastikan tiada perkara buruk melanda.  Mungkin ada hikmah disebalik musibah, mungkin Allah menghapuskan dosa-dosa lampau dengan ujian ini, Wallahualam....



nota:  hasrat setinggi langit, restu sejauh dalam lautan..  

       

No comments :

Post a Comment