Followers

Sunday, December 12, 2010

::Nak C.U.T.I::

Hujung tahun begini, sistem badan mesti serasa lemah.  Walhal bukan bekerja keras mana pun sepanjang tahun tetapi tetap merasakan layak untuk memberi sedikit penghargaan untuk badan sendiri.  Mungkin dah terbiasa sebelum-sebelum ini, makanya minda telah disetkan.  Harus dinyahaktifkan sebenarnya ni.  Bahaya untuk masa hadapan kelak.  Nanti ada sahaja rasa menjeruk bila permintaan tidak dapat ditunaikan.

Hampir separuh bulan cuti sekolah telah berlalu.  Bagi adik-adik yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini, diharap segalanya berjalan lancar dan moga peroleh keputusan yang memberangsangkan.  Sekarang apa yang perlu dilakukan bagi calon-calon SPM adalah tidak putus-putus berdoa moga diberi sinar kejayaan kerana Usaha tanpa Doa dan Doa tanpa Usaha, kedua-duanya adalah sia-sia.

Terimbau pula seketika bagaimana gelegat saya tatkala menduduki peperiksaan SPM 13 tahun dahulu.  Apa sudah 13 tahun berlalu??!!!  Aduhai tua betul saya ni.  Secara jujur pada waktu itu langsung tiada debaran untuk menduduki peperiksaan besar.  Nak dikatakan pandai pun tidaklah sepandai mana.  Subjek Matematik dan Sains memanjang berdakwat merah.  Jika dahulu warna merah beerti gagal, sekarang masih dipraktikkan lagi ke?  Subjek-subjek lain setakat cukup-cukup makan sahaja.  Boleh pula sepanjang musim SPM, saya menjalani latihan persembahan, mengikuti keluarga bercuti selama 2-3 hari, ada sahaja aktiviti yang dilakukan walhal saya seharusnya mengabdikan diri bersama timbunan buku-buku.

Ada juga memegang buku tetapi lebih kepada main sebenarnya.  Saya lebih berdebar untuk mengambil keputusan peperiksaan kerana saat itu telah terbayang akan gagal kelak.  Waktu itu pelbagai wajah muncul di minda bersilih ganti.  Segalanya saya selit bersama perasaan bersalah yang amat sangat kerana tidak melunaskan tanggungjawab seorang pelajar sebaik mungkin.  Terasa sia-sia yang amat menghabiskan masa bertahun bergelut dan memegang gelaran budak sekolah tetapi tidak berusaha menjadi cemerlang.  

Alhamdulillah, mungkin rezeki agaknya.  Keputusan SPM saya baik cumanya waktu itu terus berfikir jikalah saya berusaha lebih keputusan saya akan cemerlang kerana saya hanya ketinggalan beberapa kiraan sahaja untuk mendapat agregat single (bawah 10).  Apa pun, itu semua kenangan indah buat saya saat menyarung uniform pelajar.  Terlalu banyak sebenarnya kenangan yang saya simpul di kala itu dan di tika itu jugalah saya mengeratkan tali persahabatan yang sehingga hari ini terus bertahan.  Oh, alangkah indahnya jika saya berkuasa untuk memutarkan segalanya ke belakang.. ;)

Okey, kembali ke alam nyata!!  Kawan-kawan yang lain ke mana ye musim cuti begini?  Idea..Idea..Idea...mahu ke mana agaknya untuk mendapatkan gateway?  Harus meronta-ronta mencari Fieza disaat ini untuk menyusun perancangan, jika diberi kesempatan.  Tak perlu jauh mana pun.  Dekat-dekat pun jadilah asalkan dapat pergi merehatkan minda.  Emmm...tetapi melampaukan, bukankah saya baru pulang bercuti dari Langkawi awal bulan November yang lalu?  Episod Langkawi sendiri belum saya siapkan sepenuhnya kini ada hati nak berjalan lagi...ish..ish..ish...




nota:  Idea..Idea..Idea..Idea..Idea..Idea..Idea..deadline makin menghampiri

   


No comments :

Post a Comment