Followers

Tuesday, September 4, 2012

::Berterus Terang Adalah Lebih Baik::

Siapa tidak pernah menipu?  Siapa tidak pernah berdolak-dalih?  Jika ada sememangnya orang itu benar-benar zuhud.  Bukan mahu menunding jari siapa jahat siapa baik tetapi jika benar-benar ada, WOW!!

Tak perlu mengaku.  Kita tahu sendiri-sendiri, lagi pula entri ini bukan untuk mengumpul pengakuan.  Cuma saya sendiri terfikir, adakah manusia sebegitu jujur sehinggakan tidak pernah sekali pun berbohong?

Jangan bandingkan dengan para Rasul, Khalifah dan sebagainya.  Ini saya bercerita tentang kita-kita yang imannya senipis kulit bawang.  Sekali dilayang habis terbang melayang.

Berdasarkan pengalaman, menipu/berbohong dan seangkatan dengannya amatlah payah.  Sakit jiwa bila kita tidak dapat menyatakan kebenaran.  Seringkali terbelit dengan penipuan ciptaan sendiri.

Sesak dada bila memendam di dalam.  Andai berjaya melepaskannya ibarat bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa.  Lagi lama disimpan lagi parah memakan diri.

Dari situ saya belajar memperbaiki diri.  Ya, BERTERUS TERANG adalah lebih baik walaupun kenyataan itu sakit dan perit.  Tak guna berselindung atau pun cuba untuk tidak jujur dengan keadaan kerana kelak segalanya akan terbongkar.

Tetapi ada masanya kita perlu untuk tidak bercakap benar demi memelihara suasana.  Senang cerita, tepuk dada tanya selera.  Jika tidak selesa untuk tidak berkata benar, just be yourself.

Honesty is A MUST in any relationship.  Tak kiralah berkawan ke berkasih ke, KEJUJURAN itu amatlah perlu.  Saya lebih rela mengetahui baik buruk dari lidah orang itu sendiri dari sampai ke telinga oleh orang lain.

Dari sinilah kita membina titian kepercayaan.  Bukan senang, silap langkah jambatan patah dan boleh menghanyutkan sesiapa yang meniti di atasnya.

Ada dari kita tidak dapat memaafkan bila sekali telah ditipu.  Sekali hilang kepercayaan, sampai kesudah akan sukar untuk meraih kembali.  

Perkara sebegini terpulang kepada budi bicara kita.  Tak salah memberi peluang kedua, cuma biarlah pemberi dan penerima ikhlas dan jujur dalam melafazkannya.

Ingat, Allah mengetahui segalanya.  Tidak wujud istilah bohong sunat dalam Islam.  Berbohong tetap hukumnya berbohong tetapi andai niat itu baik biar Maha Pencipta melaksanakan penilaian.

Pilihan ada di tangan masing-masing.  Isu sebegini nampak remeh, tetapi besar impaknya.  Jangan ambil mudah jika menginginkan sesuatu hubungan berkekalan lama.  Tanpa disedari, dek kerana tidak jujurlah banyak pertalian terputus begitu sahaja. 

Apa perlu lagi meneruskan persahabatan andai kita membohongi sahabat sendiri?  Apa perlu lagi berkasih-kasih jika tidak jujur sesama sendiri?  Apa guna lagi andai menipu darah daging sendiri?  Apa pula bakal terjadi jika putar-belit dengan majikan sendiri?

Setiap saat kita diberi peluang memperbaiki diri.  Segenap ruang wujud untuk kita menilai dan berusaha berubah ke arah lebih baik.  Sebagai manusia biasa tidak salah berusaha mencari kesempurnaan.

Entri ini tidak ditujukan kepada sesiapa, tetapi peringatan untuk diri sendiri.  Kadangkala, terlalu mengikut kata hati penuh bisikan syaitan.  Berselindung demi memuaskan diri.  Akhirnya mengundang padah!




nota:  susahkah untuk berterus-terang??





 

 

 

No comments :

Post a Comment