Followers

Tuesday, December 11, 2012

::Separuh Hari di Putrajaya::

Baru pulang dari Putrajaya bagi menyelesaikan kerja dan kalau di sana sudah pasti berkaitan agensi Kerajaan.  Penat badan terpaksa bergerak jauh di siang hari.
 
Tak boleh merungut ya, ianya satu tanggungjawab dan bersangkut-paut rezeki.  Bukan seorang diri tetapi ramai perut harus diisi.  Alhamdulillah, selesai untuk hari ini.
 
Esok satu lagi hari amat dinanti setelah hampir setahun menunggu keberhasilan.  Meski belum mendapat respon positif, perjumpaan esok sudah memberi gambaran ke mana hala tuju selepas ini.
 
Paling tidak, sebelah kaki telah melangkah masuk dan kini hanya menanti sebelah kaki sahaja lagi mendapat keputusan jitu.
 
Semoga segalanya berjalan lancar dan berharap sangat we are on a right track.  Moga Allah SWT sambut doa kami selama ini dan memakbulkan perkara terbaik, In Shaa Allah!
 
Alang-alang ke Putrajaya, bawak sekali budak-budak di rumah, tolak Cayang Ejiki tak pergi.  Bukan senang mahu sampai ke sana jika tiada hal.
 
Tapi tak jalan mana pun, setakat ke Alamanda sahaja.  Mahu juga tahu bagaimana shopping mall di sana.   Meski tidak segah kita di sini, ianya tetap hebat.  Rasanya mampu menepati citarasa penduduk sana.
 
Nak cari tempat makan pun boleh tahan senang.  Secara dasar apa ada di sini, ada juga di sana.  Tadi kami hanya ke Food Court Alamanda sahaja.  Lain-lain tu biasa boleh dapat dengan mudah.
 
Tak pasti apa menu istimewa orang Putrajaya?  Apa yang kami makan, boleh diterima perut.  Harga pun taklah menjerut leher.   Cuma nak menuju ke sana sedikit pening kerana tak biasa dengan keadaan sana.
 
Yang pasti, di Putrajayalah majoriti rakyat Malaysia berbangsa Melayu.  Berada di Alamanda tidak seperti di One Utama, misalnya ramai bangsa Cina dan lain-lain.
 
Apa nak hairan, bukankah kebanyakkan mereka penjawat awam malah Alamanda menjadi pilihan sewaktu makan tengahari. 
 
Sayang tiada gambar dirakam.  Misi mencari kamera digital masih belum berhasil lagi.  GM harus menyelongkar isi almari.  Itu pun sekiranya masih boleh berfungsi dengan baik.  Jika tidak, lupakan sahaja. 
 
Lama juga blog ini tiada entri bergambar.  Jemu juga rasanya.  Sudahlah idea tak mencurah-curah.  Bila berjauhan dari papan kekunci, macam-macam cerita bermain di kepala.  Tatkala menatap skrin empat segi tepat ini, semua berterbangan.

Dalam jam 3 petang juga baru meninggalkan bumi Putrajaya.  Tiada sebarang belian, hanya pusing-pusing supaya budak-budak boleh bebas berlari sambil bermain permainan kanak-kanak.  

Perjalanan pulang diiringi runtuhan air dari langit lantas menyukarkan pemanduan.  Sudahlah sesat keluar.  Misleading betul papan tanda sedia ada (ke sendiri tak pandai membaca?)  

Sepanjang perjalanan semua tidur, saya memandu sendirian melayan rasa mengantuk selepas perut diisi.  Melayang juga fikiran sebentar dan membayangkan saya sebagai penjawat awam.

Tak pernah serius memohon pun.  Apa kata mencuba nasib?  Menarik juga sekiranya berkerjaya penjawat awam.  Ke bosan?!  

Biarlah apa pun kerjanya, asalkan rezeki itu halal.  Macam tak biasa dengar rungutan terhadap pekerja Kerajaan, tapi biasalah tu.  Bukan senang untuk berubah dan bukannya boleh berubah semata untuk kesenangan orang lain.
 
Tadi pun sewaktu berurusan, Ayu Bam Bam berhadapan dengan mentaliti biasa penjawat awam.  Lebih suka membiarkan kita menunggu dan mereka rancak berbual.  Sudahlah tidak disapa dengan ramah.
 
Oppss!! Sudah jauh perginya.  Bila agaknya lagi akan sampai ke Putrajaya dan meneroka keistimewaan di sana?  Separuh hari di sana, mungkin ibarat 0.001% sahaja pelusuk Putarajaya ditakluk.
 
Jadi pemandu pelanconglah, baru ada peluang sedemikian.  Ada tak sesiapa sudi mahu saya mengepalai lawatan ke sana?  Silap-silap, sesat-barat sampai ke mana-mana.
 
 
 
 
nota:  berdebar menanti esok..    



 
 
 
 

No comments :

Post a Comment