Followers

Wednesday, March 10, 2010

Keluh Kesah

Sewaktu kegiatan blog hopping berlangsung suatu ketika dahulu, saya telah menziarah sebuah blog.  Blog ini merupakan luahan hati si gadis ini yang amatlah kecewa dengan tindak tanduk kekasihnya yang menggusarkan hati.  Kisah-kisahnya penuh dengan perasaan gundah gulana.  Air mata sering menjadi teman setia sepanjang mereka bersama.  Dari luahan hatinya saya dapat merasakan yang dia terlalu menyayangi jejaka tersebut.  Persoalannya, adakah Sang Lelaki itu juga turut menyayangi dirinya??  Gadis ini tidaklah berusia sangat, orang kata ibarat masak ranumlah.  Jika nak dibandingkan dengan diri ini memang jauh panggang dari apilah gayanya dan selayaknya boleh dikatakan terlajak..ha..ha..ha..Memang selayaknya saya berpangkat kakak kepada gadis tersebut.  Saya beri gelaran M lah ya pada gadis tersebut.

Mula-mula saya menziarahi blog M, saya punggah semula entri-entrinya yang menjurus kepada luahan hati.  Pada mulanya tidaklah hairan sangat.  Adat bercinta begitulah gayanya dan pasti ada pasang surutnya.  Hari ini merajuk, esok lusa bertepuk tampar semula.  Kalau tidak bergaduh manakan nak kenal hati budi masing-masing.  Tetapi semakin hari semakin banyak pula luahan hatinya yang sering menggambarkan perasaan kecewa.  Mengikut corak nukilan yang diluahkan, lebih banyak bergaduh dari masa baik.  Bayangkanlah kalau dah bersama hampir tiga tahun tetapi saat gembira ibarat sebulan sahaja sepanjang tempoh tiga tahun tersebut tidakkah pelik namanya.  Saya mula berasa hairan malah perasaan kasihan timbul bersilih ganti di hati saya.  

Segala apa yang M lakukan buruk dipandangan mata Sang Lelaki.  Sehinggakan berada di kampung halaman sendiri boleh menimbulkan pergaduhan.  Cemburu jangan cakaplah.  Melaut tahap cemburunya sehinggakan M terpaksa berhati-hati untuk melangkah bagi memastikan Sang Lelaki tidak akan marah kepadanya.  M lebih banyak berendam air mata dari ketawa bergembira.  Sudahlah begitu, episod membalas dendam juga sudah sinonim dalam perhubungan mereka.  Setiap kali M melakukan kesalahan, Sang Lelaki pasti akan membuat sesuatu yang meruntun perasaan M seperti keluar bergembira dengan rakan perempuan.  Apa yang M tahu, menyesali setiap apa yang dirinya lakukan, menyalahi diri sendiri dan murung mengenang nasib perhubungan.  Dalam masa yang sama menagih simpati Sang Lelaki dengan memohon kemaafan.

Lalu saya terfikir, benarkah Sang Lelaki itu mencintai dan menyayangi M seperti mana M menyayanginya.  Maaf sekiranya saya berpihak kepada M tetapi terus terang di sini saya agak meluat juga melihat wajah Sang Lelaki tersebut.  Nak kata berupa sangat tu tidaklah, setakat sempurna sebagai manusia, itu sahaja.  Apa pun, bukanlah paras rupa menjadi ukuran, tetapi jika perangai dah tak berapa nak semenggah muka yang lawa pun dipandang hodoh. Sedangkan M boleh dikatakan antara gadis yang menjadi pilihan ibu mertua cuma mungkin kerana masalah dengan kekasih hati selalu melingkari jiwa, M kelihatan berumur dari usia yang sepatutnya.  Bukan untuk memuji diri sendiri, tetapi jika kami duduk bersebelahan, sudah pasti orang akan melihat M di umur saya dan saya di umur M.  Bayangkanlah betapa menderitanya jiwa M.  Seharusnya kekasih hati M bersyukur dikurniakan seorang wanita seperti M.  Mungkin tidak sempurna tetapi cukup untuk memenuhi ciri-ciri wanita idaman.  Itu baru dari paras rupa, belum lagi dengan sifat-sifat yang dimiliki.  Kalaulah M sanggup buat apa sahaja demi untuk Sang Lelaki, tidakkah M mempunyai perilaku yang baik??

Meluat saya bertukar menjadi marah apabila mengetahui tindak tanduk yang dilakukan terhadap M.  Tidak salah untuk cemburu, tetapi tidaklah sehingga tahap di mana M berada di kampung dan tertidur lalu gagal menjawab panggilan telefonnya, lalu M dituduh curang.  Sebagai balasan, M harus menerima balasan Sang Lelaki keluar dengan wanita lain.  Sudahlah tuduhan tidak berasas, kata-kata kesat dikeluarkan demi untuk menyakiti hati M juga turut dilakukan.  Bayangkan, hanya kerana email dari seorang lelaki yang M tidak kenali juga boleh menjadi punca pergaduhan dan dituduh curang lalu Sang Lelaki keluar menonton wayang bersama wanita lain untuk menghiburkan hatinya.  Bukankah kepercayaan itu perlu di dalam sesuatu hubungan??  Jika tidak percaya pada pasangan, bagaimana hendak melayari kehidupan bersama kelak.  M pula seboleh mungkin mengelak untuk bergaduh, setiap apa yang dilakukan pasti dilaporkan kepada kekasih hati.  Tidak salah untuk melaporkan, tetapi perlukah sampai ke tahap nak ke bilik air juga perlu diberitahu

Sayangkah sebenarnya Sang Kekasih atau sebenarnya mencari alasan sahaja untuk melepaskan diri.  Supaya dia tidak dipersalahkan, hanya M sahaja yang akan dipersalahkan.  Atau mungkin juga kekasih hatinya sudah tidak menyimpan perasaan cinta tetapi atas sebab-sebab yang kita sendiri tidak ketahui lalu mengambil langkat sebegitu.  Apa pun alasannya, Sang Lelaki tidak berhak memperlakukan M sedemikian.  Siapakah dia untuk mempersoalkan gerak geri M sedangkan ibu bapanya sendiri tidak mempunyai pertikaian.  Jika benar tiada lagi perasaan cinta dan sayang mengapa tidak dilepaskan sahaja M supaya dia tidak membuang masa menghitung hari dan menagih janji yang belum tentu pasti.  Jika tiada lagi perasaan sayang, pandanglah M seperti manusia lain yang mempunyai hati dan perasaan.  Jangan terus ditekan dengan segala hal yang remeh temeh. 

Saya juga tidak mengerti kenapa M tidak membuat sebarang keputusan bagi menangani masalah dalam perhubungan mereka.  M seperti takut untuk membuat keputusan lalu merelakan segala apa yang Sang Lelaki lakukan terhadapnya.  Adakah M mencintai secara membuta tuli??  Tidak pasti hanya M sahaja yang tahu kenapa dia sanggup berdiam diri.  Apa pun, saya memohon doa moga terbuka hati M untuk melihat kebenaran kerana bagi saya sekiranya M meneruskan hubungan, seolah dia mencari masalah diri sendiri.  Kalau marah sekali pun pada M, Sang Lelaki tidak patut menjadikan alasan keluar dengan perempuan lain sebagai denda.  Bayangkan jika mereka berkahwin, adakah perkara sama juga akan dilakukan Sang Lelaki.  Bukannya saya menggalakkan untuk mereka berpisah cuma itu sahaja yang saya rasa perlu dari terus menyakiti sekeping hati.

Buat M, adik masih muda lagi.  Perjalanan masih jauh dihadapan.  Jangan takut untuk mengorak langkah kerana adik masih mempunyai banyak masa lagi, malahan adik juga berkerjaya.  Apa yang hendak ditakutkan.  Akak yakin keluarga M pasti berada di belakang M kerana sudah pasti mereka juga tidak mahu melihat adik sentiasa berada di dalam kesedihan.  Hidup bukan untuk bertemankan air mata.  Ramai lagi jejaka di luar sana dan pasti satu di antara mereka Allah telah utuskan untuk adik.  Fikirkanlah sedalam-dalamnya.  Tidak guna kita berkasih andai kita sahaja yang perlu berkorban dan menurut sahaja apa yang diberi.  Kita mempunyai hak ke atas diri kita dan bukannya orang lain yang harus mengatur untuk kita apatah lagi orang luar yang belum tentu menjadi pasangan hidup kita kelak.

nota:  saya pasti M tidak akan membaca kerana saya adalah silent reader bagi blognya.  Jika bukan untuk M tetapi untuk orang lain yang berhadapan dengan situasi ini juga boleh dijadikan secebis panduan

No comments :

Post a Comment