Followers

Thursday, March 11, 2010

Perlukah??

Sekarang ni dah jadi macam satu budaya pula.  Bila tak suka seseorang, pasti orang yang bakal menjadi mangsa akan diselar dengan segala macam hal.  Habis segala cerita luar dalam di bawa keluar sehingga mengaibkan orang itu.  Perlukah sehingga ke tahap begitu?  Bukankah dia juga manusia seperti kita semua.  Perlukah kita mengeluarkan habis cerita-cerita peribadi dia yang kita ketahui dan sebarkan di sana sini.  Cuba lihat disekeliling kita, dan cuba juga tinjau di luar lingkungan kita dan nafikanlah perkara ini tidak berlaku.  

Bukannya untuk menunjuk sifat terpuji diri sendiri dan bukan juga untuk menuduh melulu, tetapi sebenarnya sebagai manusia yang masih lagi bernafas, sesak dada bila memikirkan ini semua sedang berlaku.  Lagi 10 atau 20 tahun lagi harus diingati bukan kita sahaja yang akan mendiami muka bumi ini.  Warisan kita bakal mengambil alih tempat kita sekarang dan adakah ini yang ingin kita tinggalkan buat mereka?  Bagi mereka yang sering menyelar orang lain dan dalam masa yang sama menambah perisa di dalam cerita sehingga menjadi fitnah untuk kepentingan diri sendiri, fikir-fikirkan sedalamnya sebelum berterusan meneruskan sifat yang tidak elok ini.  Belum terlambat untuk kita berubah demi kebaikan diri sendiri dan bukannya untuk orang lain.

Saya tidak mahu menyeret atau melibatkan mana-mana pihak dan ini hanyalah sekadar renungan buat kita semua.  Bayangkan, hari-hari bila buka sahaja surat khabar arus perdana cerita politik mengusai tajuk-tajuk utama.  Pihak A menyelar Pihak B, Pihak B menyelar Pihak A.  Segala cerita-cerita kurang enak dipertontonkan.  Cerita tersebut kita pun tak pasti sahih atau tidak kerana pihak ini menafikan dan pihak ini pula mengiakan.  Tidak berhenti setakat itu, isu peribadi juga turut menjadi bahan mainan dan gurauan sehinggakan boleh menjadi tajuk perbualan di kedai kopi.  Perlukah perkara sedemikian ini berlaku?  Bukankah yang terlibat di dalam politik itu seorang pemimpin dan bukankah pemimpin harusnya menjadi ketua yang disegani.  Rasanya tidak perlu untuk meraih simpati atau kasih sayang dari orang dengan menunjukkan cerita buruk pihak lawan.  Sementelah lagi, benarkah cerita buruk yang disampaikah?  Kalau tidak benar bukankah dah menjadi satu fitnah.  Sanggupkah bergelumang hidup dengan menabur fitnah di sana sini sehinggakan tempiasnya terkena pada orang yang tidak bersalah.  Atas alasan ini, saya sememangnya menyampah untuk membaca tajuk berita akhbar arus perdana.

Dunia hiburan juga lebih kurang sama.  Bila suka segala yang salah nampak baik di mata.  Penyanjungan yang diterima para artis kadang kala melebihi dari apa yang diberikan.  Tetapi bila dah mula tak suka, habislah cerita buruk yang selama ini tersimpan terkeluar di sana.  Orang yang bertanggungjawab kadang kala orang yang artis tersebut amat percaya.  Kerana tidak suka jugalah artis tersebut mula diselar dengan pelbagai kata nista.  Hilang segala sanjungan dan pujian sekelip mata.  Tidakkah kita sedar golongan artis juga manusia biasa.  Sepatutnya kita membiarkan mereka menjalankan tugas mereka sebagai penghibur dan biarkan apa sahaja yang mereka buat untuk kehidupan mereka.  Apa perlu mengorek di sana sini dan bila dah tak suka menjadikannya sebagai senjata untuk memusnahkan kehidupan artis.  Kemana pergi sifat hormat menghormati sesama kita?? 

Realiti disekeliling kita juga tiada beza.  Yang membezakan kita tidak diberi perhatian oleh mata dunia.  Tetapi perbuatan menyelar keperibadian seseorang tetap wujud.  Malah kadang kala lebih hebat dari yang sepatutnya.  Kalau merasakan perbuatan ini menjadikan diri anda seorang juara, lupakanlah niat buruk tersebut.  Bila berkawan segala yang tak senonoh nampak halal di mata tetapi bila dah tersentap mulalah menjaja cerita kurang enak ke corong-corong telinga.  Tanpa sedar tambah asam, garam, gula dan sebagainya bagi mengenakkan cerita lalu keluarlah sebuah fitnah.  Mangsa menanggung malu walaupun cerita tak benar.  Tertanggungkah dosa kita kerana memalu dan mengaibkan seorang insan bernama manusia??

Sering tertanya-tanya orang yang menyelar dan menabur fitnah terhadap orang lain ini tenangkah hidupnya.  Jika saya yang membuat onar sebegitu rupa, memang resah gelisah badan dan kepala memikirkan.  Tiada lagi ketenangan dalam hidup rasanya kerana sering berasa tidak puas.  

Fikir-fikirkan serta renungkan dan berhentilah menyelar keperibadiaan seseorang serta jangan berterusan menabur fitnah.  Allah Maha Agung melihat segalanya.  Timbang semula dan adili keputusan dengan persoalan PERLUKAH kita melakukan perkara sedemikian??

nota:  Mohon dari Allah SWT supaya benda ini semua dijauhkan dari keluarga serta orang-orang yang disayangi.

No comments :

Post a Comment