Followers

Monday, November 12, 2012

::Warna-Warna Kehidupan:


Sewaktu berada di zaman persekolah rendah, hati teringin sangat mempunyai warna pensil seperti di atas dengan alasan senang punyai banyak pilihan warna.

Puas memujuk GP dan GM namun berkesudahan dengan kehampaan.  Dapatlah juga, tetapi bukan pada saat saya minta.  2 atau 3 tahun kemudian baru impian menjadi realiti.  

Tika itu sesiapa yang mempunyai warna pensil lebih dari 12 batang dikira hebat dan mewah.  Bila buka sahaja set tin tersebut, banyak mata akan tertumpu sambil mulut ternganga.

Dahulu harganya boleh tahan mahal dan kebanyakkan daripada murid-murid hanya mampu memiliki yang 12 batang atau pun 6 batang.  Ada yang tak ada langsung pensil warna pun ada.

Itu cerita 20 tahun yang lampau.  Hari ini, budak-budak nak memiliki lebih dari satu tin pun boleh jika mahu.  Contohnya Buah Hati, dia punya lebih dari 1 set pensil warna. 

Tetapi adakah benar ianya amat perlu di dalam penggunaan atau lebih kepada kepuasan memiliki sesuatu yang lain dari yang lain?

Jom kita kaitkan pula dengan kehidupan sebenar.  Kita telah punya satu kehidupan yang punya warna secukupnya.  Itulah pensel warna 12 batang.  

Kesemuanya warna asas dan setiap orang memilikinya.  Tetapi kita bosan dengan 12 warna sedia ada dan mahu lebih dari itu lantas ingin menambah ke warna-warna lain. 

Maka keluarlah 12 lagi warna menjadikannya 24.  Pada saat dapat memiliki, kepuasan tak terhingga.  Lantas kita mengadun warna menjadi corak kehidupan diingini.

Sudah puas?  Manusia mana pernah puas.  Bila sudah bosan dengan warna-warna 24 itu, kita dapat tahu eh, ada lagi warna.  Ibaratnya set warna 48 batang.  Adakan di pasaran?

Lalu kita berusaha untuk melengkapkan menjadi 48 warna sama seperti orang lain.  Tak kiralah dengan apa cara sekali pun, janji dapat memiliki.

Apa pandangan orang yang tidak mampu untuk mencorakkan kehidupan seperti kita?  Samalah seperti anak-anak yang gagal membeli set-set tin warna seperti di atas.  Terkulat-kulat sambil menanam azam di dalam hati untuk mendapatkannya.

Akan berhentikah keinginan tersebut?  TIDAK!!  kerana itu hari ini jika kita tengok pecahan warna-warna terlalu banyak.  Hinggakan tak tahu hendak menyebutnya.

Contoh seperti warna hijau.  Ada hijau emerald, ada hijau ke arah biru, ada hijau ke arah hijau, hijau ke arah kuning, ada hijau pucuk pisang, hijau pucuk mangga muda dan macam-macam lagi.

Tetapi sedarkah kita, segala warna-warna itu datang dari 12 warna asas tadi yang kemudian di blend menjadi satu hasil lain.

Lihatlah betapa kita amat sukar untuk berpuas hati lantas mencari dan mencari lagi.  Tidak menjadi kesalahan pun.  Bukankah kita harus berusaha memperbaiki lompong-lompong sedia ada?

Cuma warna-warna itu pasti lebih menarik sekiranya ia adalah dari paduan kita sendiri.  Paduan 12 warna sesama sendiri sehingga terbit satu warna tersendiri dan megundang kepuasan tahap maksima.

Kita tidak perlu menjadi orang lain yang punya 1001 warna dan kita turut mengejar sama supaya memiliki warna-warna tersebut.  Apa yang ada sudah cukup menjadikan ianya lebih cantik jika pandai mewarnakannya.

Terpulang samada mahu memiliki 12 atau 24 atau 48 batang pensil warna kerana kesudahannya adalah bergantung kepada kita sendiri.

Punya banyak warna tetapi tidak pandai menggunakannya pun tidak mengubah apa-apa kenyataan dalam kehidupan.  

Sebahagian dari kita sesuai dengan "less is more" dan ada di antara kita tergolong di dalam "the more the merier".

Tidak kiralah apa warna sekali pun kerana ianya HITAM PUTIH KEHIDUPAN dan tanpa kita sedar akhirnya kita kembali kepada dua warna tersebut dalam meniti jalan sebagai hambaNya.




nota:  cuba untuk bermetafora





 








  

No comments :

Post a Comment