Followers

Wednesday, January 4, 2012

::Al-Fatihah buat Abang Sekeluarga::

4 hari sudah berada di 2012, tak sempat apa pun nak coret di sini.  Perancangan awal untuk menggunakan sebaik mungkin penghujung hari 2011 tidak berjaya dilaksanakan setelah menerima berita sedih pada hari Jumaat yang lalu.

Hari Jumaat malam sejurus tamat program Maharaja Lawak Mega, saya menelefon Abang dengan tujuan asal untuk berbual perihal program tersebut.  Tak menonton bersama, ingin sekali dapatkan pandangan dia.  Telefon berjawab tetapi dengan bernada sugul dia memberitahu berada di hospital, ibunya sedang nazak setelah masuk hospital 5 hari.


Segera bertanya, perlukah saya ke sana dan terus bersiap.  Tiba di Hospital Kuala Lumpur lebih kurang jam 1 pagi, meninjau keadaan ibu Abang yang memang tenat benar tapi masih diberi sedikit harapan oleh pasukan pakar perubatan.  Sebagai saudara seIslam, terus menjalankan tanggungjawab dengan melagukan bacaan Yassin memohon pertolongan Allah SWT.  Bersilih ganti bacaan tanpa jemu dan ikhlas moga Allah mendengar doa mereka sekeluarga.


Namun, Allah lebih mengetahui segalanya.  Setelah bertarung dengan sakit, akhirnya ibu Abang pergi menghadap Illahi Subuh itu juga.  Kesedihan menyelimuti suasana pagi.  Walau orang luar, saya dapat merasai apa yang dialami oleh seluruh keluarga pada waktu itu.  Mengenali keluarga Abang hampir 13 tahun membuatkan mereka agak dekat juga dengan saya.


Siapa sahaja pasti tidak dapat membendung rasa sedih tatkala menerima kenyataan akan berpisah dengan orang yang disayangi terutamanya insan yang bertanggungjawab melahirkan ke dunia, membesarkan dengan penuh kasih sayang dan sentiasa ada dalam apa jua keadaan.  Riak kesedihan terpancar di wajah Abang, namun berkali dia melafazkan redha di atas ketentuan Allah.  Lagi pula mengenangkan bagaimana Arwah terpaksa menempuh pelbagai prosedur untuk mengubati sakit yang sedia ada.

Dari hari meninggal dunia hinggalah semalam, saya agak sibuk membantu Abang bukan sahaja secara fizikal tetapi mental.  Dia cuba untuk kuat tetapi ada masa kalah dengan suasana serta kenangan.  Faham apa yang ditanggung terutama tidak dapat melaksanakan permintaan :( tapi ini semua suratan.  Benar, kita boleh salahkan diri sendiri kerana kurang berusaha, namun di setiap apa yang kita lakukan adalah dari Allah.  Jika tiada izinNya, mustahil akan berlaku.


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Moga Abang sekeluarga tabah dan kuat hadapai kenyataan ini.  Bagi rakan-rakan yang sudi meluangkan masa dengan menziarah serta menghulur ucapan takziah, saya mewakili keluarga mereka mengucapkan terima kasih tidak terhingga.  Marilah kita sama-sama berdoa dan sedekahkan Al-Fatihah moga Allah tempatkan Ibu Abang iaitu Allahyarham Puan Khadijah Zainal Abidin di kalangan orang beriman serta istimewa di sisiNya.

Bersempena itu juga, segala aktiviti luar yang telah dirancang awal akan dikurangkan mengikut keperluan bagi menghormati kepemergian ibunya.  Lagi pula Abang punya banyak perkara harus diselesaikan.

2011 berlalu dengan kepedihan, kesakitan, kepayahan, penderitaan dan pelbagai lagi.  Punya kemanisan walau terlalu sedikit tetapi cukuplah buat kenangan.  Jika punya kuasa mahu saya padam segala apa yang tercoret, tapi biarlah.  Kami tutup 2011 dengan kesedihan yang teramat, harapannya biarlah 2012 penuh dengan rahsia kebaikan, Insyaallah...

  Al-Fatihah buat yang telah tiada.  Moga rohnya dicucuri rahmat.  Gambar diambil dari Google Image


Sekeping gambar kenangan Abang bersama Arwah Ibu.  Sebelah ibunya Adik dan Bapa Abang.  Kalau tak silap gambar ini di ambil dalam bulan September 2011 macam tu.



nota:  kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan segalanya..

No comments :

Post a Comment